Wednesday, April 16, 2014

Bantah dikembalikan status warganegara kepada kumpulan yang koyakkan paspot.

Saya membantah sebarang tindakan mempertimbang atau membenarkan mana-mana bekas warga Malaysia daripada kembali ke negara ini sebagai rakyat.

Dalam konteks kumpulan yang kini berada di United Kingdom, jangka masa 17 tahun bukan sesuatu yang boleh diterima. Kategori manusia seperti mereka wajib tidak dibenarkan masuk ke negara ini, walaupun sebagai pelancong. Mereka sepatutnya kekal dikategorikan dalam status 'persona non grata.'

Isu membenarkan atau memberikan status kewarganegaraan kepada mereka yang telah melepaskan taraf tersebut, satu isu yang penting, dan perlu ditangani dengan tegas.

Mereka dengan sukarela meninggalkan negara ini, dan seterusnya mengoyakkan paspot masing-masing, apabila dibenarkan tinggal di United Kingdom.

Ini cukup membuktikan betapa mereka tidak lagi suka tinggal di Malaysia. Oleh yang demikian, mengapa sekarang mereka ingin kembali?

Orang macam ini tidak seharusnya dibenarkan menjejak kaki ke negara ini.

Hanya Allah yang tahu apa yang dicerita dan dikarutkan kepada pihak berkuasa di UK, dalam usaha supaya diberikan dokumen British.

Terlalu kerap kita mendengar sesetengah daripada keturunan etnik tertentu lantang menyuarakan pendirian biadab yang meniti penderhakaan apabila berada di negara lain. Mereka mendakwa kononnya dilayan seperti warga kelas dua di Malaysia.

Saya yakin perangai sebegini tidak mungkin tidak menyentuh sensitiviti patriotik rakyat Malaysia.

No comments: