Tuesday, April 9, 2013

Ucapan selamat tinggal Kit Siang bertanding di Johor - akhir sebuah impian



Kebarangkalian Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman bertanding kerusi Parlimen Gelang Patah kini mengucar-ngacirkan rancangan licik DAP, yang sebelum ini menamakan Lim Kit Siang sebagai calon.

Mungkin ini yang dimaksudkan dengan angin perubahan yang disebut-sebut puak Pakatan Rakyat sejak pemimpin DAP Lim Kit Siang tiba di Gelang Patah untuk menzahirkan harapan tersebut.

Ramai yang pernah menghadiri ceramah DAP di Johor rasa terpanggil untuk akur dengan perkara ini, memandang jumlah hadirin setiap kali Kit Siang naik ke pentas mudah alih yang dilengkapkan pada trak Ubah DAP begitu besar, dengan diiringi sorakan, tepukan gemuruh dan tiupan vuvuzela.

Senario melakarkan seolah-olah angin perubahan di negeri itu milik orang Cina.

Beberapa orang pemerhati berpendapat kaum Cina di Johor begitu seronok mendapatkan peluang awal mengikuti ceramah politik – mereka berasa begitu teruja.

Apa tidaknya, sebelum ini DAP di Johor tidak pernah mengalami keterujaan sebegini,  justeru apa yang dilihat dirasakan menjurus ke arah kemenangan.

Bagaimana pun, semuanya terhenti beberapa hari lalu apabila Ghani menyatakan kesediaan melawan Kit Siang di Gelang Patah.

Apa? Ghani yang lemah lembut itu? Tapi siapa sangka di sebalik pesona tertib itu wujud tenaga untuk menyekat hasrat Kit Siang?

Dengan itu, pelan DAP nyata kecundang belum pun pesawat ubah mereka dapat berlepas ke langit Johor.
Kini harapan yang mulanya dirasakan orang Cina DAP Johor sebagai 100 peratus akan menang sudah menjadi 50:50 dengan hanya penyataan Ghani untuk menentang Kit Siang.

Putrajaya telah menyetujui pertandingan tersebut dan jentera sokongan BN sudah siap siaga.
Bagaimana pun, kesepian dari Putrajaya adalah kerana mereka menantikan kepastian bahawa Kit Siang benar-benar akan ‘menceroboh’ di Gelang Patah.

Sikap berhati-hati Putrajaya ini menyusul ekoran apa yang dianggap sebagai usikan ‘April Fool’ Anwar yang kononnya akan bertanding di Perak.

BN, terutama BN Johor sedia menanti untuk mengiring Kit Siang ke penghujung senja karier politiknya.
Menurut kajian rambang pada 25 Mac lalu membabitkan pengundi Cina, 51 peratus dari mereka menyatakan kesediaan untuk memilih Kit Siang, sementara yang bakinya ‘tidak pasti,’ ‘tidak tahu’ atau ‘menentang’

Tetapi, sehari selepas berita mengenai pertentangan Kit Siang dan Ghani diketahui, hanya 34 peratus daripada orang Cina masih komited dengan pemimpin veteran DAP itu.

Peratusan orang Cina yang sebelum ini rasa berbelah bagi meningkat dari 23 peratus kepada 32 peratus.
Kategori ‘tidak tahu’ turut bertambah dari 7 peratus kepada 27 peratus.

Tetapi, lebih menakjubkan daripada itu, kajian lebih kualitatif dijalankan selepas berita Ghani tersebar luas. Ia menunjukkan tidak seorang pun orang Melayu yang ditemu ramah berkata mereka akan menyokong Kit Siang.

"Mungkin terlalu awal untuk membuat kesimpulan, tetapi nampaknya tsunami DAP di Johor  yang dirancang sudah berakhir," kata seorang penganalisis.

Yang nyata, masalah imej Kit Siang di kalangan orang Melayu masih kental – mereka tidak mudah lupa.
Apa tidaknya, usaha beliau berdekad lamanya membantai DEB, kakitangan kerajaan, polis dan juga UMNO hanya mengukuhkan lagi azam orang Melayu untuk menolak beliau.

Pada mereka, Kit Siang anti-Melayu.

Semuanya akan berakhir di Gelang Patah untuk Lim Kit Siang.

Antara faktor positif pada Ghani, beliau dilihat sebagai antara pemimpin Melayu yang tidak terlalu ‘Malay-centric’, lantaran beliau mudah diterima masyarakat Cina di Johor.

Ghani tidak celopar atau menembak dulu, berfikir kemudian, atau pun gila publisiti. Beliau spesies pemimpin Melayu yang hebat.

Para pemerhati dalam BN berpendapat Kit Siang sendiri yang membuka jalan untuk Melayu mencabarnya.
Masih kita ingat dua minggu lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kini masa untuk Kit Siang, 72 tahun, bersara.

Tetapi, Kit Siang tidak mengambil iktibar dari saranan itu, malahan beliau lantang mencabar Mahathir bertanding menentang beliau.

Tetapi, malang bagi Kit Siang, cabarannya itu disambut pula oleh Ghani – lebih parah bagi DAP.
Berikutan itu, satu ceramah PAS di sebuah kampung Melayu berhampiran Pelabuhan Tanjung Pelepas pada malam Sabtu hanya mampu menarik sekitar 100 orang.

Bayangkanlah walaupun usaha pembangkang gah dan kedatangan hadirin diraikan dengan makan minum, namun boleh dikira dengan jari mereka yang muncul untuk mendengar naib presiden PAS Salahuddin Ayub yang akan bertanding di kerusi negeri Nusajaya dan kerusi Parlimen Pulai.

Apa lagi yang boleh dicakapkan selain mengaku jumlah yang hadir agak ‘menggalakkan’ berbanding sebelum PRU 2008 yang hanya menarik kira-kira 20 orang ke majlis-majlis anjuran PAS.

Kemunculan Lim di Johor mungkin agak menerujakan sesetengah orang Cina Johor, tetapi di sebalik itu ia juga berfungsi untuk mengukuhkan lagi sokongan Melayu terhadap BN.

Akhir kata, langkah sumbang Kit Siang terpaksa juga di kongsi oleh PKR dan PAS di Johor.

No comments: