Saturday, April 27, 2013

Pengundi Cina perlu fikir sekali lagi jika menyangka Anwar menguntungkan mereka



KUALA LUMPUR, 27 April – Pengundi Cina perlu menilai ketidakupayaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menguruskan ekonomi negara, dengan mengambil iktibar kelemahan beliau menangani krisis ekonomi Malaysia pada 1997, sewaktu memagang jawatan Menteri Kewangan.

Mereka bakal melakukan kesilapan besar jika menganggap Anwar tokoh yang bakal menyelamat dan memberi seluas peluang kepada mereka.

Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Chandra Muzaffar berkata, agenda pertama Anwar jika menjadi Perdana Menteri ialah mengubah dasar luar terhadap negara China sebagai antara syarat akur kepada kemahuan Amerika Syarikat (AS).

Dakwanya, Anwar yang cukup dikenali dunia sebagai ‘anak emas’ Amerika Syarikat dan pelobi Yahudi akan memastikan hasrat negara China untuk muncul sebagai kuasa ekonomi dunia terhalang dengan membenarkan Amerika menguasai Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Beliau mengingatkan mereka  sebagai kaum peniaga, supaya sedar apa yang berlaku kepada ekonomi negara pada 1997. Rekod Anwar pada ketika itu perlu dinilai... apakah beliau berkemampuan atau sekadar bertindak mengikut telunjuk Tabung Kewangan Dunia (IMF) sehingga rakyat menderita?

“Jika pengundi Cina fikir Anwar akan memberikan segala-gala kepada mereka, itu kesilapan paling besar. Anwar merupakan alat kepada AS, dan jika dia terpilih menjadi Perdana Menteri, hasrat pengundi Cina mahu melihat hubungan mesra Malaysia-China kekal akan berakhir,” katanya.

Dr Chandra melahirkan pandangan tersebut ketika memberikan hujah selaku ahli panel pada Forum Nasional Pakatan Tak Sepakat – Apa Kata Mereka anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini Bukit Kiara, petang Jumaat.

No comments: