Monday, March 25, 2013

MEMBINA PERADABAN BANGSA MELAYU BERTERASKAN TAMADUN ISLAM: APA RASIONALNYA?



Mukkadimmah: Pertama, Bangsa Melayu sebagai kaum majoriti di negara ini. Kedua, Bangsa Melayu sebagai bangsa beragama Islam yang elit. Dimensi ketiga ada kaitan dengan politik dan kepimpinan. Keempat ialah dimensi yang melihat betapa pentingnya kekuatan adat resam, sistem nilai, etika, budi pekerti dan budaya dalam memartabatkan Bangsa Melayu. Dan yang kelima bagaimana tamadun Islam yang begitu sebati dengan Bangsa Melayu dapat dijiwai lebih mendalam lagi bagi mengangkat tinggi integriti dan  martabat Bangsa Melayu.
Bangsa Melayu sebagai kaum majoriti di Malaysia. Suku kaum Melanau di Sarawak bukannya kaum majoriti di sana tetapi dek keunggulannya,  semua kaum di Sarawak termasuk bukan Bumiputera, akur dengan kepimpinan yang diterajui suku-kaum Melanau ini.
Suku kaum ini juga adalah di antara suku-kaum yang tergolong dalam rumpun Melayu-Polynesia, maka ia juga dianggap sebagai Bangsa Melayu. Jika ini dapat diteladani, maknanya Bangsa Melayu tidak perlu menjadi bangsa majoriti untuk menjadi dominan.
Maka, apabila menjadi bangsa majoriti, sepatutnyalah ia menjadi bangsa yang lebih unggul, maju dan makmur, yang wajar diteladani. Penulis mengakhiri perenggan ini dengan pertanyaan, adakah Bangsa Melayu di Malaysia yang kini merupakan komponen kaum majoriti merupakan bangsa yang dominan?  Penulis menjangkakan pelbagai jawapan yang berbeza dari mereka yang membaca rencana ini.

Dimensi kedua, wajarkah Bangsa Melayu yang berdasarkan definisinya, wajib beragama Islam, dan bolehkah diterima hakikat bahawa Bangsa Melayu adalah bangsa beragama Islam yang elit? Perenggan ini bermula dengan persoalan yang ingin penulis sendiri jawab dan tentunya ada pembaca yang tidak setuju. Penulis berpendapat ia adalah benar. Manakan tidak, dengan hanya sekitar 18 juta saja penduduk negara ini diklasifikasikan sebagai Bangsa Melayu beragama Islam, bersamaan hanya sekitar satu peratus daripada jumlah penduduk dunia beragama Islam, mereka mampu mendominasi pentas Islam global.
Bangsa Arab di Saudi, terutamanya,  dianugerahkan lima rahmat utama oleh Allah SWT (kebanyakan Nabi & Rasul diturunkan di sana; Islam diturunkan di sana; Kaabah berada di sana; Yahudi dijadikan musuh utama mereka untuk mengajar mereka erti keakraban dalam Islam & black gold (minyak) dilimpahkan banyak kepada mereka).  Bangsa Melayu beragama Islam di Malaysia hanya memilih menjadikan Islam Agama Persekutuan tetapi datang bersamanya rahmat  yang mereka bina sendiri.
Lima rahmat utama ialah  Sultan/Raja Ketua Agama Islam & Majlis Agama Islam yang mengatasi institusi politik & pemerintahan, Tabung Haji sebagai tabungan harta, Bank & Takaful Islam sebagai institusi kewangan & takaful, Universiti/Kolej/Sekolah/Tadika Islam menara gadingnya dan Rejimen Askar Melayu (Islam) pertahanan baginya. Mana ada negara Islam lain yang gah memartabatkan Islam sejajar dengan perundangan Maqasid Syariah yang sebegini rupa?   Bukankah itu sesuatu yang hanya mampu dilakukan oleh bangsa yang  elit status dan kemampuannya!
Ketiga, mengenai politik dan kepimpinan. Walaupun Perlembagaan Persekutuan tidak mencedok bulat-bulat kesemua 47 fasal dalam Piagam Madinah, tidak dinafikan itulah di antara premis yang diguna pakai dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan. Hakikatnya, mana ada satu perlembagaan dalam dunia ini yang sempurna, maka bagi mengukuhkan lagi sistem perundangan di Malaysia, khusus untuk mereka beragama Islam, tanpa menjejas mereka yang bukan Islam, diadakan pula sistem perundangan syariah yang kian hari hampir sempurna  diperlengkap. 
Yang barangkali sering diperdebatkan ekoran manipulasi terhadap  ‘grey areas’ atau pun ‘legal loopholes’ yang masih wujud, dan yang seolah-olah menampakkan sistem perundangan dan kehakiman di Malaysia amat lemah dan tidak Islamik. Walhal itu semua adalah polemik politik semata-mata. Inilah padahnya apabila peneraju institusi politik merasakan mereka berada di atas lain-lain institusi (beyond politics) atau mereka rasa mereka memiliki kekebalan politik untuk dieksploitasi.
Dari tiga dimensi yang sudah dikupas setakat ini, dimensi politik dan kepimpinan inilah yang menghasilkan banyak symptoms of defects terhadap kewibawaan  Bangsa Melayu Beragama Islam ini. Ada banyak lagi causal factors lain tapi dimensi politik dan kepimpinan yang paling ketara menjadi penyebab wabak pertikaian kewibawaan Bangsa Melayu.
Dimensi keempat ialah dimensi yang terabai. Dalam keghairahan mengejar kemajuan dan mendominasi kuasa kepimpinan, semua bangsa di Malaysia dilihat leka dan akhirnya mengabaikan betapa adat resam, nilai budaya, pekerti dan tata-susila yang sama pentingnya dengan kemajuan jasmaniah dalam mengejar kehidupan makmur dan sejahtera ini. Gejala ini bukan saja ibarat gejala dadah, lebih parah lagi ia membenarkan pula budaya asing yang ternyata songsang, untuk kedua kalinya meresap ke dalam sanubari dan menghancurkan sama sekali peradaban Bangsa Melayu yang baru nak dipulihkan selepas pertama kali ia dilacurkan penjajah selama lebih 500 tahun sebelum merdeka.  
Ada satu negara di dunia ini yang sungguh ajaib kebolehan mereka membangunkan kekayaan kebendaan dan kemajuan jasmaniah. Sekalipun dihancurkan tanpa peluang untuk bangkit selepas Perang Dunia Kedua, tetapi tidak sampai pun tiga dekad, mereka sudah kembali maju, malah lebih maju dari sebelumnya. Akan tetapi selepas empat dekad mereka mengecap kemajuan jasmaniah, mereka menyedari kemajuan itu banyak cacat-celanya, kerana ia tidak diimbangi dengan kemajuan rohaniah.
Bangsa tersebut dianggap bangsa tanpa agama, maka pilihan yang ada pada bangsa itu  supaya kembali kepada pegangan budaya. Mujurlah bangsa berkenaan amat kuat (fanatik) pegangan budayanya. Justeru itu, mereka menjadikan  ilmu (pendidikan) dan budaya sebagai asas kemajuan, kemakmuran bangsa dan negaranya.  Penulis pernah mengikuti rapat reformasi pendidikan & budaya yang dilakukan oleh negara berkenaan pada awal 1980an. Penulis berpendapat amat wajar bagi Bangsa Melayu meneladani dengan mengikuti  cara mereka  mengintegrasikan ilmu dan budaya sebagai tiang seri pembangunan dan kemajuan.
Penulis sengaja meletakkan dimensi ini (tamadun Islam) sebagai yang kelima dan yang terakhir dikaitkan dengan tajuk rencana ini. Ini bukan kerana ia yang kelima penting, tetapi sebagai ‘grand finale’ dan untuk bertanya  kenapa Bangsa Melayu memilih agama Islam tetapi tamadun Islamnya tempang. Manakan tidak, hampir kesemua kecacatan yang dinyatakan (sekalipun tidak dihuraikan) berpunca dari ketempangan ini.
Walaupun hanya segelintir Bangsa Melayu beragama Islam yang begitu kewibawaannya, pepatah Melayu ada berkata, ‘ibarat seekor lembu membawa lumpur semuanya terpalit’. Hanya kerana segelintir ini yang ghairah mengejar kemajuan jasmaniah dan kuasa (fame & glory), sudah cukup untuk Bangsa Melayu dihukum dan dimengerti sebagai bangsa yang mengabaikan adat resam, nilai, etika dan budaya serta menjadikan Islam sebagai kosmetik tanpa mengerti langsung worldview of Islam. Malah, perkuburan tamadun Islam jauh lebih terperosok berbanding  peminggiran adat dan budaya Bangsa Melayu yang terabai itu.
Betul, ada banyak dibina institusi bagi memartabatkan Islam; Majlis Agama Islam, ILIM, IKIM, JAKIM, IAIS, CASIS dan macam-macam lagi yang Islam, malah jika boleh, perkhidmatan teksi pun nak di Islamkan, tetapi apakah sumbangan positif dan signifikan mereka secara collective terhadap usaha memartabatkan tamadun Islam? Tepuk dada tanyalah selera.
Debaran semua rakyat menanti pengumuman PRU 13 adalah disebabkan bahang dari api yang dihidupkan bagi menyalakan ‘symptom of defects’ itu.  Isu-isu berkaitan simptom ini banyak diperkatakan, tetapi impaknya masih kabur. Justeru, Majlis Perundingan Melayu, MPM, memberanikan diri menghimpunkan cendekiawan Melayu dari pelbagai kelompok masyarakat untuk menyelami isu ini buat ke sekian kalinya.  Forum Negara di Dewan Negara yang diadakan pada Isnin 25 Mac 2013 dirancang untuk menjadikan PRU13 ini sebagai take-off point. Ia sebagai perancangan dan perlaksanaan satu agenda nasional berteraskan inti pati  Forum Negara tersebut, iaituMembina Peradaban Bangsa Melayu Berteraskan Tamadun Islam.
Bila Bangsa Melayu berperadaban tinggi, diperkukuhkan dengan pegangan kepada amalan dan tamadun Islam, mereka akan menjadi bangsa yang lebih bermartabat dan berwibawa.  Lain-lain kaum di Malaysia tidak akan rasa takut, cemburu atau tercabar kedudukan mereka jika ini terjadi, kerana apabila Bangsa Melayu sebagai bangsa majoriti lebih kuat dari segi budaya dan tamadunnya, ia akan menjadi bangsa yang lebih mampu menerajui pembangunan, kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan semua kaum di Malaysia.  
Isu-isu polemik yang sering dipolitikkan akan lenyap begitu saja. Budaya-budaya negatif dan songsang akan lenyap ditelan zaman dek kekebalan benteng peradaban Bangsa Melayu yang diwarisi sejak zaman  nenek-moyang mereka dulu.  
Bangsa Melayu wajib bangkit kerana ia mampu menjadi bangsa berperadaban tinggi, mulia dan  elit.  Namun,  banyak yang perlu dilakukan, terutama selepas PRU13 kelak.

Dr Hasan Mad
Setiausaha Agung, Majlis Perundingan Melayu, MPM
Selasa, 19 Mac 2013

No comments: