Tuesday, October 16, 2012

Tiba masa Melayu bermuhasabah, cukuplah mengalah…


Bertegas tidak bererti kita lemah atau sombong, malahan bertegas antara nilai yang terhormat pada seseorang atau pun sesebuah bangsa.


Maka itu, senada dengan inilah dibangkitkan persoalan mengapa orang Melayu perlu terlalu banyak memberi jalan kepada kaum lain hinggakan maruah bangsa sendiri digadaikan?

Sejak berzaman lagi orang Melayu dikatakan terlalu berhemah, memberi peluang, memberi jalan dan memberi muka kepada orang lain hinggakan kini hampir luput identiti sebenar Melayu.

Apa tidaknya? Daripada nama asal Tanah Melayu, kepada Bahasa Melayu dan terbaru, Raja-Raja Melayu pun seolah cuba diubah kepada Raja-Raja Malaysia.

Legasi sejarah bangsa tidak sepatutnya diubah atau pun dicairkan. Ia perlu wujud kental untuk diabadikan selama-lamanya.

Menyentuh tentang Bahasa Melayu, sememangnya ia bahasa yang sejak ribuan tahun digunakan orang Melayu, tetapi apabila negara Malaysia di acuan berdasarkan kepelbagaian etnik, maka timbul rasa perlu (sekurang-kurangnya bagi segelintir bijak pandai) untuk menyamaratakan lingua franca tersebut sebagai Bahasa Malaysia.

Pertukaran itu tidak perlu memandangkan walaupun Bahasa Melayu dinaiktarafkan sebagai bahasa rasmi negara Malaysia, namun ironinya bahasa-bahasa lain masih tebal digunakan di sekolah-sekolah vernakular.

Realitinya, dalam keadaan demikian Bahasa Melayu dijadikan seperti boneka – tanpa nyawa, tanpa roh, kerana di sekolah-sekolah Cina dan sekolah-sekolah Tamil bahasa ibunda Melayu masih tersepit di kelas kedua. 

Ini bagi memberi ruang penonjolan serta kesinambungan mendaulatkan bahasa etnik sekolah-sekolah tertentu – seperti mana misi dan hasrat sekolah-sekolah tersebut diwujudkan di bumi Tanah Melayu.

Sedikit ruang yang diberikan orang Melayu kini dilebarkan lagi untuk membolehkan orang lain mendesak bermacam-macam lagi. Sebagai contoh lihat kepada desakan melalui pelbagai ‘ancaman’ Dong Zong.

Pencairan identiti Melayu perlu dikawal. Masih tidak terlembat berbuat demikian.

Kerana terlalu memberi ruang kepada orang lainlah maka hinggakan muncul pihak-pihak yang bertindak biadab terhadap institusi Raja-Raja Melayu. Sikap biadab mereka diperkukuhkan dengan asakan ‘liberalisme’ yang diperjuangkan kononnya demi menjadikan Malaysia sebuah negara progresif.

Apa nilai progresif dalam konteks ini?

Sikap biadab yang dicetuskan daripada budaya liberalisme dan kebebasan yang membenarkan pelbagai persoalan di atas nama hak asasi manusia kini memakan diri orang Melayu – kerana terlalu lama memberi ruang.

Menyentuh tentang institusi raja, dengan didahului dengan ‘Ampun Tuanku’ , penulis ini berhasrat mempertahankan premis kedaulatan negara, perlembagaan dan Raja-Raja Melayu.

Dan apabila pada Isnin malam RTM menyiarkan pengumuman tarikh Hari Raya Aidil Adha oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu, tidak kurang ramai yang tersentak apabila ia ditukarkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

Pada yang hanyut dengan pengaruh ‘liberalisme’ ia bukan isu pun dan tidak menimbulkan apa-apa reaksi. Bagaimanapun, dalam konteks keperkasaan serta keutuhan bangsa Melayu, ke mana kini arah kita, hinggakan fakta pun diubah?


No comments: