Wednesday, October 17, 2012

Keselamatan Koleksi Tetap seni tanggungjawab semua staf



Laporan Ketua Audit Negara yang mendapati bangunan menyimpan Koleksi Tetap seni visual negara mendedahkan lebih 4,000 karya seni bernilai RM65juta kepada bahaya, sesuatu yang serius.

Koleksi Tetap mengandungi lukisan, foto, ukiran dan lain-lain karya yang kebanyakannya merupakan hadiah daripada tokoh-tokoh korporat, pengumpul, kedutaan dan persatuan pelukis.

Asasnya, walaupun jawapan diberi untuk segala kepincangan, namun di atas segala-galanya ialah isu kepekaan serta komitmen kakitangan.

Piagam dan misi jabatan amat jelas. Prosedur kepiawaian taraf antarabangsa untuk menyenggara objek-objek seni difahami semua, termasuk Ketua Pengarah dan Kurator. Bagaimana pun, ia tidak bermakna jika seluruh kakitangan tidak sensitif kepada misi jabatan.

Setiap jabatan mempunyai misi tersendiri berpandukan fokus jabatan. Oleh itu, jika seluruh kakitangan sekadar bertugas dengan cara memegang kepada hanya aspek acuan pentadbiran generik yang standard, maka akan lemah pelaksanaan misi dan piagam.

Kelemahan sebegini bukan hanya berlaku di gedung seni negara, tetapi hampir di semua jabatan.
Oleh yang demikian, perlu dirumuskan cara untuk menyedarkan kesemua kakitangan keunikan tugas mereka seiring fokus jabatan.

Dalam konteks Koleksi Tetap, kesemua aset bernilai itu dilaporkan terdedah kepada kebocoran alat pemadam api berasaskan air, dan memerlukan tindakan segera bagi memastikan ia tidak rosak.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, bangunan yang diguna untuk menyimpan koleksi itu mempunyai laluan kecemasan yang dihalang pelbagai objek, sementara kamera litar tertutup yang mengawasi hampir setiap penjuru bangunan merakamkan imej tidak jelas, selain tidak mempunyai keupayaan rakaman dalam gelap.

Laporan tersebut mencadangkan naik taraf ciri-ciri keselamatan, termasuk pemasangan alat pengesan awal asap.

Berikutan pendedahan itu, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara berkata kerja-kerja membaiki bahagian bumbung hampir siap 90 peratus pada Ogos lalu, dan permohonan akan dibuat kepada Kementerian Kewangan bagi dana untuk kelengkapan sistem pemadam api kering.

Lembaga juga akur dengan kelemahan pada sistem kamera litar tertutup, dan akan melengkapkannya dengan ciri-ciri rakaman dalam gelap.

Ruang bangunan yang tidak mampu menampung simpanan yang banyak itu juga dikatakan menyebabkan koleksi tersebut diserang kulat ekoran penyenggaraan yang lemah dari aspek kawalan suhu dan kelembapan bangunan.

Bagi mengatasi masalah itu laporan mencadangkan bahagian dinding digantikan dengan jenis kayu yang sesuai.

Satu lagi kelemahan ialah kelewatan pembaharuan polisi insurans, yang menyebabkan keselamatan seluruh koleksi tidak terjamin.

Sebagai jawapan, pihak lembaga berkata sebuah syarikat insurans telah dilantik untuk setahun, dan tarikh luput polisi perlindungan akan diperingatkan melalui komputer.

Agak robotik semua jawapan yang diberikan, namun hakikatnya kelemahan terdapat pada peringkat pelaksana yang dilantik khas untuk menjalankan tugas-tugas yang perlu bagi menjamin keselamatan harta seni negara.

Kepincangan atau kelonggaran dalam aspek pelaksanaan perlu ditanggung oleh pihak jabatan dan diharap jangan pula dituding jari ke arah menteri dan kementerian bertanggungjawab, kerana akhirnya ia akan di manipulasi pembangkang untuk tujuan rakus mereka.

No comments: