Friday, October 19, 2012

Kecenderungan pembangkang bantah apa saja inisiatif kerajaan



Dalam satu minit, dilemparkan persoalan supaya disebutkan sekurang-kurangnya satu dasar atau inisiatif kerajaan persekutuan yang diterima positif oleh pembangkang – apa jawapannya?

Ramai yang tidak dapat memberikan jawapan, tidak kira sama ada daripada pihak kerajaan atau pun daripada pembangkang.

Pengertian istilah ‘dasar’ berhubung pelbagai pendirian pembangkang bukan bermaksud ‘dasar’ pembangkang secara generik, tetapi dalam ekspresi meluat dengan sikap mereka yang keterlaluan.

Terbaru, apabila idea pelaksanaan sistem penguatkuasaan trafik dicetuskan, pembangkang lebih ke hadapan mengupas dari A-hingga Z. Semuanya berbaur negatif dan menghentam tanpa berlapikkan sesuatu yang konstruktif bagi membantu menyelesaikan masalah.

Dengan pelaksanaan AES, pembangkang kini kembali menyerang secara populis, menghasut kalangan rakyat yang cetek pemikiran dan kurang menganalisis keadaan.

Pembangkang melemparkan tuduhan kononnya pelaksanaan AES hanya topeng bagi usaha licik untuk meraih keuntungan sebagai menebus kembali jumlah yang diagihkan di bawah inisiatif BR1M pertama tempoh hari.

Mereka turut menyerang syarikat yang dilantik untuk membantu melaksanakan sistem berkenaan.
Maka itu, disebabkan asakan demi asakan yang dilemparkan melalui media-media mata juling di Internet, mereka sedikit sebanyak telah berjaya menjayakan agenda untuk menggoncang pegangan kerajaan pada inisiatif tersebut.

Sekarang isu AES bukan sahaja ditentang oleh ahli-ahli pembangkang, tetapi juga oleh segelintir ahli parlimen pro-kerajaan.

Dalam keghairahan menyerang menggunakan isu yang dianggap begitu populis itu kerajaan kini seolah-olah tersentak seketika.

Justeru itu, agensi-agensi berkaitan, seperti PDRM dan JPJ masing-masing mengeluarkan kenyataan untuk cuba menenteramkan keadaan.

Sebenarnya tidak perlu berbuat demikian, kerana pada asasnya tiada apa-apa yang salah dalam inisiatif AES itu.

Sekiranya pembangkang mendakwa syarikat terbabit akan meraih keuntungan hingga RM700 juta daripada tindakan saman pengguna jalan raya yang melebihi had laju atau cara pemanduan lain, tidakkah diambil kira bahawa wang hanya akan masuk jika kesalahan direkodkan? Jika rakyat patuh kepada undang-undang, maka tidaklah perlu dikeluarkan saman dan persoalan syarikat terbabit serta kerajaan menekan rakyat juga tidak akan timbul.

Persepsi melanggar peraturan jalan raya begitu berkesan sejak AES dilaksanakan. Angka pesalah menurun dengan mendadak, tetapi keadaan positif ini tidak digemari pembangkang dan sebahagian besar pengguna jalan raya. Kenapa?

Kerana mereka tidak suka dikenakan tindakan walaupun terbukti melanggar undang-undang? Apakah ini satu daripada falsafah masyarakat sivil yang begitu ghairah dipupuk pembangkang?

Bukan AES saja yang dipertikaikan, tetapi isu tindakan tegas Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) terhadap lori-lori yang membawa lebih muatan.

Tindakan tegas penguat kuasa SPAD terhadap lori-lori diambil berikutan risiko bahaya jika keadaan sedemikian dibiarkan.

Bagaimana pun, SPAD dan kerajaan dijadikan sasaran kerana kononnya mengganggu ‘periuk nasi’ sektor pengangkutan berlori. Isu risiko bahaya dan kemalangan maut yang sering berlaku membabitkan lori membawa lebih muatan tidak sikit pun diambil kira.

Berikutan isu lori dan kenderaan persendirian yang ditangani kerajaan melalui pelbagai cara, pengusaha bas ekspres turut terheret meniti mentaliti yang sama apabila membantah tindakan tegas JPJ.

Oleh itu, mengambil kira rungutan dan bantahan yang tidak berasas berhubung isu-isu ini, maka rakyat perlu memikirkan keadaan dengan waras, sama ada ingin lebih cenderung memupuk anarki atau menjadi masyarakat yang berdisiplin?

No comments: