Thursday, September 13, 2012

Tengok kebajikan orang bawahan jika mahukan pekerja taraf dunia



Saranan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa menggesa semua ketua jabatan dan agensi kerajaan mengambil berat kebajikan serta kemudahan penjawat awam, sesuatu yang patut direnungi secara serius.

Sememangnya, dalam perkhidmatan awam terdapat ramai kakitangan yang mahir, berkaliber dan mempunyai potensi taraf dunia, tetapi mereka terus berada di takuk lama kerana soal kebajikan tidak ditangani oleh orang atas.

Kebajikan mereka perlu diberi perhatian kerana, seperti kata Napoelon Bonaparte, ‘Sebuah Tentera Bergerak di Atas Perutnya.’ Apa yang dimaksudkan jeneral terbilang Perancis itu bahawa kebajikan orang bawahan dan pekerja yang mengapungkan kejayaan sesebuah negara atau organisasi perlu diberi perhatian penting dan utama.

Apa tidaknya? Bayangkan, di manakah seorang ketua jabatan dari segi prestasi dan reputasi tanpa input gigih dan positif daripada penjawat bawahan?

Bayangkan juga betapa jauh lonjakkan dan prestasi seseorang ketua jabatan yang berkaliber apabila berlaku sinergi dengan input orang bawah. Lebih beruntung jabatan berkenaan dan lebih dinamik negara.

Menurut Dr Ali Hamsa, jangan hanya mengharapkan mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan berkelas dunia kepada rakyat namun pada masa sama mereka bekerja dengan kemudahan dan suasana sebaliknya.

"Ketua jabatan jangan hanya melihat apa yang berlaku di hadapan kaunter perkhidmatan, lihat juga apa yang ada di belakang kaunter sama ada ia juga bertaraf dunia," katanya.

Realitinya, seperti pernah disuarakan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan,  Datuk Seri Dr Rais Yatim baru-baru ini, pengorbanan dan integriti penjawat awam dalam melaksanakan tugas juga antara wajah kemerdekaan yang perlu, selain hanya mengibarkan bendera dan melaungkan ‘Merdeka!’.

Saranan yang secara kebetulan disambut oleh Dr Ali Hamsa itu melengkapkan premis bahawa sikap peka ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan terhadap anak-anak buah mereka sesuatu yang penting demi usaha memperkasakan perkhidmatan awam dan seterusnya negara.

No comments: