Saturday, September 29, 2012

Kritikan kecewa pembangkang - Makan Hati Ulam Jantung...



Belum pun masuk 24 jam selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengakhiri pembentangan Belanjawan 2013 kelmarin, pelbagai kecaman, sindiran dan kritikan diajukan pembangkang.

Ia memang dijangka, kerana setiap tahun mereka mengulangi rentak yang sama.

Hari ini, portal-portal media dan akhbar yang ‘mewakili’ pelbagai kepentingan, rancak cuba mengupas dan mewujudkan bermacam-macam persoalan berhubung segala yang dibentangkan Najib.

Petang kelmarin, dalam ribuan tweet yang mengiringi agenda kerajaan dalam pembentangan belanjawan itu, hanya satu yang agak ketara dan berhemah.

Pengumuman sistem pengangkutan awam RapidKuantan diterima positif oleh Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh. Beliau melahirkan rasa lega kerana penduduk bandar tersebut akhirnya akan dapat menikmati perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih teratur dan selesa.

Bagaimana pun, tindakan positif seperti yang disuarakan oleh Fuziah tidak dikongsi oleh rakan-rakannya dalam pakatan pembangkang mengenai perkara-perkara lain dalam Belanjawan 2013 itu.

Terlalu banyak kecaman daripada pemimpin serta penyokong pembangkang hinggakan jika saluran siber menggunakan kaedah wayar, mungkin ia sudah cair disebabkan kepanasan talian!

Biarlah setiap kritikan terjawab oleh pelaksanaan dan rasa lega serta kesyukuran rakyat yang menjadi sasaran utama segala yang diumumkan Perdana Menteri semalam.

Kesemua insentif yang diumumkan itu bukan bertujuan untuk menggula-gulakan rakyat supaya mengundi Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang. Kesemuanya adalah hasil ekonomi negara yang diurus dengan sebaik mungkin oleh sebuah pentadbiran yang meletakkan yang terbaik untuk rakyat, sepertimana slogan “…rakyat diutamakan’

Segala dasar kerajaan yang anjal dan proaktif didasarkan kepada penentuan yang dihalusi secara mendalam, dan telah membantu negara mencartakan perkembangan ekonomi yang hebat. Kesemua ini dilakukan pada waktu negara-negara lain, termasuk negara-negara maju sendiri digugat pelbagai krisis dan masalah.

Seperti yang dinyatakan Najib, kita mampu berbuat demikian  kerana Malaysia kekal sebagai sebuah wadi di tengah-tengah gurun pasir yang kontang.

Apakah faktor yang menjadikan Malaysia seperti sebuah wadi yang mampu terus menampung kehidupan rakyatnya? Ia berpaksikan dasar-dasar kerajaan yang membantu menarik pelaburan luar dan dalam sejak sekian lama.

Mungkin jika dirasai degupan jantung bumi ini, kita tidak boleh menafikan kesan negatif di negara-negara lain. Tetapi, setidak-tidaknya kita perlu berasa bangga kerana kita masih berada di zon yang sihat.

Sehubungan itu, amat terpesong jika pembangkang terus menerus melabelkan segala tindakan dan dasar kerajaan untuk memperkasakan ekonomi, seperti inisiatif berani penyenaraian Felda Global Ventures Holdings yang tercatat megah sebagai IPO kedua terbesar di dunia.

Kejayaan seperti itu membuktikan kerajaan BN sekarang bukan kerajaan populis, kerana sebuah kerajaan populis tidak mungkin dapat melunaskan segala janji yang dibuat.

No comments: