Thursday, September 27, 2012

ADAB protes kerajaan Amerika Syarikat berhubung filemlet 'Innocence of Muslims'



Berikutan tindakan biadab produksi ‘filmlet’ berjodol‘Innocence of Muslims’ oleh seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, Lembaga Peradaban Melayu (ADAB) pada Rabu mengemukakan surat protes kepada Duta Besar AS, Paul W. Jones.

Pengerusi Majlis ADAB, Tan Sri Dato’ Mohd Yusof Hitam berkata reaksi kepada tindakan tidak sopan dan tidak menghormati sentimen serta sensitiviti umat Islam itu melanggar ketidaksusilaan masyarakat dunia yang bertamadun.

Justeru, menurut beliau kerajaan Amerika Syarikat perlu mengambil tindakan segera dan tegas bagi menangani perbuatan sebegitu yang cuba berselindung di sebalik prinsip sejagat ‘Kebebasan Berekspresi’.

Filem dalam bahasa Inggeris yang menghina Nabi Muhammad itu diterbitkan di California oleh seorang yang menggunakan nama samaran “Sam Bacile”,  dan seterusnya trelernya disiarkan di Internet melalui YouTube dengan pelbagai variasi, termasuk “Innocence of Muslims”.

Walaupun pejabat YouTube di Malaysia telah berusaha menyekat akses kepada treler filem tersebut, namun ia tidak dapat membendung usaha muat naik yang rancak dilakukan pihak-pihak tidak bertanggung jawab di serata dunia.


No comments: