Monday, August 27, 2012

Strategi DAP Memantapkan imej dan kredibiliti



Dalam perkembangan terbaru setelah lebih sebulan meraih anjakan sempena puasa Ramadan apabila ramai dalam UMNO ‘merehatkan’ senjata, DAP kini menyambut lebih ramai rekrut baru ke dalam parti itu.

Dilihat sebagai antara persiapan akhir untuk melonjakkan imej, tokoh-tokoh yang diterima masuk termasuk penganalisis politik Dr Ong Kian Ming dan jurutera gas dan petroleum Yeo Bee Yin.

Kedua-dua yang berkelulusan University Cambridge, merupakan di antara beberapa orang tokoh profesional berprofil tinggi yang sejak sekian lama dilamar dengan begitu agresif oleh DAP.

Sebagai penganalisis politik, Ong terkenal dengan rencana serta sorotan yang sering disiarkan oleh Malaysiakini,. Beliau juga pensyarah sambilan di Kolej University UCSI.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan kemasukan Ong  sebagai membantu strategi pilihan raya parti, sementara bagi Yeo pula, membantu DAP dalam merumuskan strategi media sosial untuk menarik sokongan generasi muda.

Beberapa orang pemerhati tidak partisan melihat perkembangan tersebut sebagai sesuatu yang perlu diambil iktibar oleh UMNO.

Menurut mereka, ini kerana selain mengharapkan kepada bantuan beberapa kumpulan pejuang media sosial yang sering kali membawa pelbagai risiko berikutan kecetekan minda dan kegersangan pengetahuan perundangan dan politik, UMNO perlu lebih berhati-hati.

Bagi DAP rekrut baru dari kalangan profesional dan cendekiawan memantapkan lagi imej dan apa yang mereka sifatkan sebagai kredibiliti di mata pengundi dan penyokong.

Sehingga kini, sama ada secara langsung atau pun tidak, Pakatan Rakyat, terutama DAP menggunakan strategi serampang dua mata, apabila golongan profesional yang berpengalaman dalam lapangan masing-masing dijadikan anggota ‘think tank’ bagi membekalkan bahan-bahan perang saraf di samping bertindak sebagai anggota barisan pejuang siber parti tersebut.

No comments: