Thursday, August 30, 2012

Roslan membela yang daif di kampung sendiri



Siapa yang tidak kenal Roslan Latiff, anak Lenggong yang masih memegang kuat kepada pertalian dengan daerah kecil yang kini terpahat dalam peta sejarah dunia sebagai Tapak Warisan Pra-Sejarah?

Mungkin bagi sesetengah anak Lenggong yang sudah sebati dengan kehidupan di kota, setelah membongkar sauh selepas pemergian ibu bapa atau di atas sebab-sebab lain, nama Lan Latip atau Lan Malau agak samar – “Pernah mendengar, tapi di mana, ya?”

Bagi anak kampung berkelulusan Bsc dari University of Southern Illinois, Amerika Syarikat dan Phd dari University of South Australia ini, dan pernah aktif dalam pergerakan UMNO Lenggong, hari-hari mengejar impian untuk membantu orang kampung melalui institusi politik itu kini melewati senja setelah kecundang beberapa kali.

Justeru itu, ramai juga rakan dan kenalan di Lenggong merasakan seolah-olah dia telah merajuk. Merajuk mungkin tidak bagi ‘stalwart’ UMNO yang sejak puluhan tahun menyokong perjuangan parti itu, tapi kecewa mungkin realiti yang tidak dapat dinafikan.

Beliau, yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Shabery Cheek sejak 2009, selain bergiat sebagai ahli korporat dan beberapa NGO membuka lembaran baru pada Ramadan baru-baru ini.

Ketika menziarahi kampung halaman untuk mengeratkan pertalian silaturahim dengan orang kampung, beliau tiba-tiba berhadapan dengan satu realiti yang sejak sekian lama seolah-olah tidak signifikan kepada masyarakat Lenggong.

Dia menitiskan air mata apabila melihat di Kampung Gelok, ibu-ibu tunggal dan orang tua yang hidup merempat tanpa mendapat pembelaan daripada sesiapa.

Bagi Roslan, untuk mengharungi birokrasi bagi mendapatkan bantuan tidak lagi terlintas di hatinya kerana apa yang disaksikan di depan mata memerlukan tindakan segera.

Mungkin dia tidak akan mampu menyelesaikan masalah untuk semua yang dimaksudkan, tetapi sekadar untuk memberi harapan dari satu detik pada Ramadan 2012 itu, sesuatu yang boleh dilakukan.

Justeru, Roslan menyeluk ke dalam sakunya sendiri untuk membeli dan membahagi-bahagikan bantuan beras dan gula kepada golongan sasaran.

Tidak payahlah diselami impak ikhtiar secara spontan beliau, kerana yang penting hati kecilnya telah menjawab kepada Allah SAW bahawa dia telah menjalankan sesuatu yang dituntut terhadap insan-insan yang kehidupan amat terhimpit itu.

Apabila melihat seorang tua hidup dalam reban ayam dengan berselerakan dengan najis, Roslan sekali lagi mengalirkan air mata. Lantaran dia meminta bantuan anak-anak muda  kampung untuk membantu. Dia meminta segelintir yang dipinggirkan masyarakat kampung kerana pernah terjebak dengan pelbagai masalah sosial.

Roslan berhujah dengan mereka. Dia menanam semangat dan sedikit sebanyak rasa insaf walaupun keadaan mereka sedemikian, untuk bergotong royong membantu orang tua yang cacat penglihatan itu.

Kalau mengikut frasa Inggeris “much water has flowed under the bridge since then,”, begitu juga dengan sorotan mengenai insiden yang tidak ingin didendangkan sama ada oleh Roslan atau sesiapa pun.

Bagaimana pun, bagi penulis ini apa yang berlaku sesuatu yang mulia dan perlu diceritakan sebagai titik permulaan.

Buat masa ini Roslan sibuk mengatur strategi untuk mendapatkan bantuan secara komprehensif. Inisiatif beliau berjaya menarik perhatian beberapa buah syarikat Bumiputera dan individu-individu korporat yang tampil mengambil ibu-ibu tunggal dan orang-orang tua miskin di Kampung Gelok sebagai ‘anak angkat.’

Tunggu lanjutannya mengenai pencerahan terhadap golongan malang yang dibela oleh Roslan Latif dalam sorotan di hari lain kelak.

No comments: