Wednesday, August 8, 2012

Apa sebenarnya yang diperjuangkan BN dan PR?


Dalam kancah polemik dan pelbagai kontroversi yang dikaitkan dengan Barisan Nasiona (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), agak ramai di kalangan rakyat seolah-olah semakin keliru apa sebenarnya diperjuangkan mereka.

Di pihak BN, kebenaran demi keutuhan negara Malaysia menjadi pegangan perjuangan berasaskan apa yang termaktub dalam perlembagaan. Bagi PR pula, ditonjolkan isu-isu kebebasan mutlak, hak asasi dan apa yang ditakrifkan sebagai ‘keadilan’ untuk semua rakyat Malaysia.

Jadi, menyorot kedua-dua perspektif ini, apa yang membezakan BN dan PR?

Sekilas pandang agak sama saja kedua-dua premis yang dipegang. Kedua-dua mahukan keadilan di bawah payungan satu Malaysia, walaupun bagi PR slogan 1Malaysia sesuatu yang tidak boleh disentuh, jangan disebut kerana maksudnya dianggap menjurus kepada strategi populis BN untuk mengekalkan kedudukan.

Dalam pada itu, di pihak PR, walaupun sebutannya lain, namun semangat perjuangan mereka juga menjurus kepada semangat perpaduan dan kesatuan di bawah satu negara dan sebagainya. Ia sememangnya menghayati semangat 1 Malaysia pun.

Oleh yang demikian, apa sebenarnya yang diinginkan BN dan PR?

Premis 1Malaysia atau apa jua variasi yang diajukan PR, hanya satu matlamat, tetapi hakikatnya denai-denai yang membawa kepada matlamat itu banyak berbeza dan ‘dipenuhi’ pelbagai ‘ranjau dan duri’ – halangan yang sama ada realistik, nyata atau hanya igauan berpaksikan pembohongan atau rekaan semata-mata.

Di sinilah terletaknya perbezaan. BN menganggap pihak musuh sebagai sengaja mewujudkan isu serta kontroversi bagi melukiskan kehitaman di pihak pembangkang, dan sebaliknya PR pula beranggapan serupa terhadap BN.

Dengan berasaskan itu, masing-masing mencungkil dan menonjolkan apa saja yang negatif, selain memperagakan segala yang positif, walaupun yang positif itu sinonim di kedua-dua belah pihak.

Oleh itu, apa tujuannya semua ini?

Sebenarnya perjuangan BN dan PR terlalu nipis perbezaannya, maka disebabkan itulah fokus perang saraf kedua-dua pihak berpaut kepada pencarian mengenai kepincangan pihak di sebelah sana.

Dari segi strategi propaganda dan perang saraf, kontroversi lebih membawa impak. Maka disebabkan itu timbul tohmahan, tuduhan tidak berasas dalam usaha memburukkan lawan.

Apabila tiba di peringkat ini, maka masing-masing mula meniti di dahan rapuh, kerana tohmahan dan pembohongan sering kali dibawa ke muka pengadilan bagi mahkamah dan undang-undang menentukan siapa benar dan siapa yang salah.

Keadaan sebegini tidak mampu untuk menarik sokongan rakyat yang dewasa ini begitu bermaklumat dan sentiasa mengetahui apa yang berlaku walaupun sesuatu dirahsiakan.

Oleh itu, bagi kedua-dua pihak hanya strategi berpaksikan kebenaran akan membawa kemenangan pada hari penentuan kelak.

Tetapi, dalam konteks politik Malaysia, kebenaran itu sesuatu yang subjektif. Ia bergantung dari arah mana seseorang menyoroti keadaan.

No comments: