Thursday, August 30, 2012

Roslan membela yang daif di kampung sendiri



Siapa yang tidak kenal Roslan Latiff, anak Lenggong yang masih memegang kuat kepada pertalian dengan daerah kecil yang kini terpahat dalam peta sejarah dunia sebagai Tapak Warisan Pra-Sejarah?

Mungkin bagi sesetengah anak Lenggong yang sudah sebati dengan kehidupan di kota, setelah membongkar sauh selepas pemergian ibu bapa atau di atas sebab-sebab lain, nama Lan Latip atau Lan Malau agak samar – “Pernah mendengar, tapi di mana, ya?”

Bagi anak kampung berkelulusan Bsc dari University of Southern Illinois, Amerika Syarikat dan Phd dari University of South Australia ini, dan pernah aktif dalam pergerakan UMNO Lenggong, hari-hari mengejar impian untuk membantu orang kampung melalui institusi politik itu kini melewati senja setelah kecundang beberapa kali.

Justeru itu, ramai juga rakan dan kenalan di Lenggong merasakan seolah-olah dia telah merajuk. Merajuk mungkin tidak bagi ‘stalwart’ UMNO yang sejak puluhan tahun menyokong perjuangan parti itu, tapi kecewa mungkin realiti yang tidak dapat dinafikan.

Beliau, yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Khas kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Shabery Cheek sejak 2009, selain bergiat sebagai ahli korporat dan beberapa NGO membuka lembaran baru pada Ramadan baru-baru ini.

Ketika menziarahi kampung halaman untuk mengeratkan pertalian silaturahim dengan orang kampung, beliau tiba-tiba berhadapan dengan satu realiti yang sejak sekian lama seolah-olah tidak signifikan kepada masyarakat Lenggong.

Dia menitiskan air mata apabila melihat di Kampung Gelok, ibu-ibu tunggal dan orang tua yang hidup merempat tanpa mendapat pembelaan daripada sesiapa.

Bagi Roslan, untuk mengharungi birokrasi bagi mendapatkan bantuan tidak lagi terlintas di hatinya kerana apa yang disaksikan di depan mata memerlukan tindakan segera.

Mungkin dia tidak akan mampu menyelesaikan masalah untuk semua yang dimaksudkan, tetapi sekadar untuk memberi harapan dari satu detik pada Ramadan 2012 itu, sesuatu yang boleh dilakukan.

Justeru, Roslan menyeluk ke dalam sakunya sendiri untuk membeli dan membahagi-bahagikan bantuan beras dan gula kepada golongan sasaran.

Tidak payahlah diselami impak ikhtiar secara spontan beliau, kerana yang penting hati kecilnya telah menjawab kepada Allah SAW bahawa dia telah menjalankan sesuatu yang dituntut terhadap insan-insan yang kehidupan amat terhimpit itu.

Apabila melihat seorang tua hidup dalam reban ayam dengan berselerakan dengan najis, Roslan sekali lagi mengalirkan air mata. Lantaran dia meminta bantuan anak-anak muda  kampung untuk membantu. Dia meminta segelintir yang dipinggirkan masyarakat kampung kerana pernah terjebak dengan pelbagai masalah sosial.

Roslan berhujah dengan mereka. Dia menanam semangat dan sedikit sebanyak rasa insaf walaupun keadaan mereka sedemikian, untuk bergotong royong membantu orang tua yang cacat penglihatan itu.

Kalau mengikut frasa Inggeris “much water has flowed under the bridge since then,”, begitu juga dengan sorotan mengenai insiden yang tidak ingin didendangkan sama ada oleh Roslan atau sesiapa pun.

Bagaimana pun, bagi penulis ini apa yang berlaku sesuatu yang mulia dan perlu diceritakan sebagai titik permulaan.

Buat masa ini Roslan sibuk mengatur strategi untuk mendapatkan bantuan secara komprehensif. Inisiatif beliau berjaya menarik perhatian beberapa buah syarikat Bumiputera dan individu-individu korporat yang tampil mengambil ibu-ibu tunggal dan orang-orang tua miskin di Kampung Gelok sebagai ‘anak angkat.’

Tunggu lanjutannya mengenai pencerahan terhadap golongan malang yang dibela oleh Roslan Latif dalam sorotan di hari lain kelak.

Wednesday, August 29, 2012

Yang Jahil Tidak Faham Kehalusan Bahasa...



Dalam dunia yang semakin biadab berikutan pencabulan bahasa dan ketidaktertiban generasi yang hampir melupai sopan santun dan peradaban, apabila kehalusan bahasa digunakan, sering kali ia diambil secara nilai muka.

Inilah yang cuba dimanipulasikan oleh beberapa orang pemimpin Pakatan Rakyat apabila bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan simpulan bahasa Inggeris  "Better the devil you know than the angel you don't” bagi menzahirkan apa yang tersirat di hati beliau berhubung tindakan mengundi Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional (BN).

Walaupun senarionya amat ringkas dan picisan sekali, namun ia tidak menghalang pembangkang menggunakan sepenuhnya untuk memburukkan Mahathir dan BN.

Bagaimana pun, manipulasi semantik pemimpin-pemimpin pembangkang berhubung apa yang diumpamakan oleh Mahathir tidak memberi kesan di kalangan mereka yang mampu berfikir.

Yang beria-ia cuba mengapikan keadaan dengan bertubi-tubi membangkitkan isu tersebut hanyalah beberapa orang pemimpin pembangkang dan penyokong mereka.

Di laman micro-blogging Twitter, tiada siapa yang teringin untuk melayan apa yang cuba dibangkitkan pembangkang, selain pihak mereka sendiri.

Hakikatnya, para pemimpin pembangkang yang tidak kurang berbangga dengan penguasaan bahasa sejak sekian lama memang faham akan apa yang dimaksudkan Mahathir, tetapi sengaja dipolemikkan.

Mereka berharap rakyat yang dianggap tidak ‘secerdik’ mereka akan terpengaruh dengan cubaan manipulasi bahasa itu.

Secara terpencil cuba bayangkan jika perkataan ‘devil’ yang digunakan pada simpulan bahasa oleh Mahathir itu diperluaskan kepada penggunaan perkataan sama dalam konteks isu lain? Apa reaksi dan kaedahnya?

Apa pula dengan penggunaan perkataan ‘devilling’ dalam konteks latihan guaman? Perlukah bertaubat kerana berada dalam keadaan sedemikian?

Apa pula reaksi jika Mahathir menyamakan pembangkang dengan ‘Tasmanian Devil?’ atau ungakapan ‘the devil made me do it…”  Kena bertaubat juga?

Dan apa pula jika digunakan perkataan ‘daredevil’, atau ‘obsesi’ yang asalnya ada kaitan dengan syaitan?

Oleh yang demikian diakhir-akhir zaman kerakusan pembangkang ini, nampak sangat betapa mereka bankrap idea...

Monday, August 27, 2012

Strategi DAP Memantapkan imej dan kredibiliti



Dalam perkembangan terbaru setelah lebih sebulan meraih anjakan sempena puasa Ramadan apabila ramai dalam UMNO ‘merehatkan’ senjata, DAP kini menyambut lebih ramai rekrut baru ke dalam parti itu.

Dilihat sebagai antara persiapan akhir untuk melonjakkan imej, tokoh-tokoh yang diterima masuk termasuk penganalisis politik Dr Ong Kian Ming dan jurutera gas dan petroleum Yeo Bee Yin.

Kedua-dua yang berkelulusan University Cambridge, merupakan di antara beberapa orang tokoh profesional berprofil tinggi yang sejak sekian lama dilamar dengan begitu agresif oleh DAP.

Sebagai penganalisis politik, Ong terkenal dengan rencana serta sorotan yang sering disiarkan oleh Malaysiakini,. Beliau juga pensyarah sambilan di Kolej University UCSI.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyifatkan kemasukan Ong  sebagai membantu strategi pilihan raya parti, sementara bagi Yeo pula, membantu DAP dalam merumuskan strategi media sosial untuk menarik sokongan generasi muda.

Beberapa orang pemerhati tidak partisan melihat perkembangan tersebut sebagai sesuatu yang perlu diambil iktibar oleh UMNO.

Menurut mereka, ini kerana selain mengharapkan kepada bantuan beberapa kumpulan pejuang media sosial yang sering kali membawa pelbagai risiko berikutan kecetekan minda dan kegersangan pengetahuan perundangan dan politik, UMNO perlu lebih berhati-hati.

Bagi DAP rekrut baru dari kalangan profesional dan cendekiawan memantapkan lagi imej dan apa yang mereka sifatkan sebagai kredibiliti di mata pengundi dan penyokong.

Sehingga kini, sama ada secara langsung atau pun tidak, Pakatan Rakyat, terutama DAP menggunakan strategi serampang dua mata, apabila golongan profesional yang berpengalaman dalam lapangan masing-masing dijadikan anggota ‘think tank’ bagi membekalkan bahan-bahan perang saraf di samping bertindak sebagai anggota barisan pejuang siber parti tersebut.

Wednesday, August 8, 2012

Begitu Rakus, Sambut Merdeka pun nak berbeza...



Apa yang menyebabkan sehingga Hari Merdeka pun dipolitikkan?

Kerakusan yang tidak terbendung. Itulah jawapannya secara ringkas.

Jika slogan ‘Janji Ditepati’ dicemuh dan dikecam Pakatan rakyat kononnya berbaur politik dan membawa unsur-unsur kepartian, sikap mereka sendiri menggoncang perpaduan dalam meraikan Hari Kemerdekaan juga boleh dianggap begitu.

Secara kasar memang agak payah untuk membalikkan tanggapan bahawa ketegaran Pakatan Rakyat untuk akur dengan slogan rasmi yang dicetuskan kerajaan BN sebenarnya berunsur politik.

Apa tidaknya, bagi mereka yang tidak taksub dengan pegangan politik, apa saja slogan atau label yang digunakan untuk menghiasi semangat kemerdekaan ke-55 akan diterima. Seperti seorang bayi yang baru lahir, hati mereka bersih – tanpa dicemari prasangka atau apa-apa sentimen partisan.

Menggunakan gambaran ini sebagai contoh, kita dapat melihat betapa minda yang dipenuhi rasa dengki dan kemarahan tidak lagi mampu menerima walaupun sesuatu yang tulus ikhlas, seperti slogan rasmi itu.

Justeru, sikap ketegaran Pakatan Rakyat memakan diri kini, hinggakan mereka terpaksa membetulkan keadaan dengan tiba-tiba mengumumkan bahawa semua negeri yang diperintah Pakatan Rakyat akan menggunakan satu slogan, iaitu ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa.’

Mereka terpaksa mengubah pendirian yang bercelaru bagi menidakkan tanggapan rakyat bahawa pembangkang tidak sekata, tidak sebulu, walaupun dalam menentukan pilihan slogan Hari Merdeka negara.

Pakatan Rakyat sedar betapa impak serta ramifikasi yang menunggu sekiranya ketegaran seperti dicerminkan pembawaan haluan masing-masing di kalangan negeri di bawah PR dibiarkan. Ia akan memakan diri.

Itulah sebab ‘damage control’ segera amat diperlukan, seperti mana diumumkan hari ini.
Bagaimana pun, berbeza daripada Pakatan Rakyat, kerajaan Barisan Nasional terus fokus kepada usaha menyambut Hari Kemerdekaan ke-55 di bawah payungan satu slogan yang begitu jelas mencerminkan apa yang dirasakan seluruh rakyat Malaysia kini.

Apa sebenarnya yang diperjuangkan BN dan PR?


Dalam kancah polemik dan pelbagai kontroversi yang dikaitkan dengan Barisan Nasiona (BN) dan Pakatan Rakyat (PR), agak ramai di kalangan rakyat seolah-olah semakin keliru apa sebenarnya diperjuangkan mereka.

Di pihak BN, kebenaran demi keutuhan negara Malaysia menjadi pegangan perjuangan berasaskan apa yang termaktub dalam perlembagaan. Bagi PR pula, ditonjolkan isu-isu kebebasan mutlak, hak asasi dan apa yang ditakrifkan sebagai ‘keadilan’ untuk semua rakyat Malaysia.

Jadi, menyorot kedua-dua perspektif ini, apa yang membezakan BN dan PR?

Sekilas pandang agak sama saja kedua-dua premis yang dipegang. Kedua-dua mahukan keadilan di bawah payungan satu Malaysia, walaupun bagi PR slogan 1Malaysia sesuatu yang tidak boleh disentuh, jangan disebut kerana maksudnya dianggap menjurus kepada strategi populis BN untuk mengekalkan kedudukan.

Dalam pada itu, di pihak PR, walaupun sebutannya lain, namun semangat perjuangan mereka juga menjurus kepada semangat perpaduan dan kesatuan di bawah satu negara dan sebagainya. Ia sememangnya menghayati semangat 1 Malaysia pun.

Oleh yang demikian, apa sebenarnya yang diinginkan BN dan PR?

Premis 1Malaysia atau apa jua variasi yang diajukan PR, hanya satu matlamat, tetapi hakikatnya denai-denai yang membawa kepada matlamat itu banyak berbeza dan ‘dipenuhi’ pelbagai ‘ranjau dan duri’ – halangan yang sama ada realistik, nyata atau hanya igauan berpaksikan pembohongan atau rekaan semata-mata.

Di sinilah terletaknya perbezaan. BN menganggap pihak musuh sebagai sengaja mewujudkan isu serta kontroversi bagi melukiskan kehitaman di pihak pembangkang, dan sebaliknya PR pula beranggapan serupa terhadap BN.

Dengan berasaskan itu, masing-masing mencungkil dan menonjolkan apa saja yang negatif, selain memperagakan segala yang positif, walaupun yang positif itu sinonim di kedua-dua belah pihak.

Oleh itu, apa tujuannya semua ini?

Sebenarnya perjuangan BN dan PR terlalu nipis perbezaannya, maka disebabkan itulah fokus perang saraf kedua-dua pihak berpaut kepada pencarian mengenai kepincangan pihak di sebelah sana.

Dari segi strategi propaganda dan perang saraf, kontroversi lebih membawa impak. Maka disebabkan itu timbul tohmahan, tuduhan tidak berasas dalam usaha memburukkan lawan.

Apabila tiba di peringkat ini, maka masing-masing mula meniti di dahan rapuh, kerana tohmahan dan pembohongan sering kali dibawa ke muka pengadilan bagi mahkamah dan undang-undang menentukan siapa benar dan siapa yang salah.

Keadaan sebegini tidak mampu untuk menarik sokongan rakyat yang dewasa ini begitu bermaklumat dan sentiasa mengetahui apa yang berlaku walaupun sesuatu dirahsiakan.

Oleh itu, bagi kedua-dua pihak hanya strategi berpaksikan kebenaran akan membawa kemenangan pada hari penentuan kelak.

Tetapi, dalam konteks politik Malaysia, kebenaran itu sesuatu yang subjektif. Ia bergantung dari arah mana seseorang menyoroti keadaan.