Monday, July 30, 2012

Satu Merdeka, 1 Malaysia, Lain Rasa?



Berbagai-bagai kekecohan timbul berhubung tema, logo, lagu, lirik dan entah apa lagi yang bakal dikontroversikan mengenai cara mempromosikan hari kemerdekaan negara yang ke-55.

Kerajaan mendengar apa yang disuarakan, walaupun pada dasarnya sama ada logo yang dipertikaikan itu diterima pakai mungkin sesuatu yang subjektif.

Bagaimana pun, bagi kalangan seni grafik, rata-rata apa yang dihasilkan itu tidak memenuhi ciri-ciri optimum dari segi asas dan pendekatan dalam mereka cipta logo berkenaan.

Namun, segala itu kini telah menjadi kisah yang berlalu, kerana Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim telah menjelaskan bahawa logo yang menjadi kontroversi itu bukannya logo rasmi seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Ia dikatakan sebahagian daripada beberapa komponen elemen yang digunakan ke arah meraikan hari kemerdekaan negara yang ke-55 pada 31 Ogos depan.

Tetapi, walaupun satu aspek ketidakpuasan hati sesetengah rakyat diselesaikan, bagi pembangkang ia telah membuka lagi peluang bagi mereka mengeksploitasikan keadaan. Mereka sedaya upaya memburu dan membina aspek-aspek picisan untuk membina wajah buruk bagi menghentam kerajaan.

Justeru, keadaan demikian menggerakkan PAS menyatakan kemungkinan negeri-negeri Pakatan Rakyat menggunakan slogan dan tema lain untuk hari kebangsaan.

Bagi mereka yang arif dengan taktik ala gerila, cara paling berkesan untuk menggugat ialah dengan sentiasa memaksimumkan impak menggunakan apa saja cara bagi memastikan kesinambungan kemarahan rakyat terhadap pemerintah.

Dan dalam konteks perjuangan pembangkang masa kini, ia bererti tidak memberikan walaupun seinci di mana-mana dimensi untuk berbuat demikian – sama ada dari segi agama, patriotisme, peradaban atau apa saja. Semua boleh diperalatkan demi perjuangan untuk menjatuhkan kerajaan yang sah dipilih rakyat melalui proses demokrasi.

Tiada apa-apa yang pihak kerajaan boleh lakukan dari segi undang-undang dalam hal meraikan hari kemerdekaan negara dengan cara sendiri.

Bagi kerajaan pimpinan BN, sepatutnya mereka berhak melakukan apa saja asalkan tidak menyalahi undang-undang dalam soal menyiapkan negara bagi merayakan hari paling bermakna itu. Tetapi, suara hati sebagai pemimpin yang tidak dapat lari daripada hakikat bahaya mereka berada di atas kerana rakyat yang memilih, tentu sekali pandangan rakyat perlu diambil kira.

Oleh itu, kita bakal melihat kelompok-kelompok perayaan yang berbeza temanya di beberapa tempat menjelang Hari Kemerdekaan ke-55 ini.

Seperti ucapan hari raya, dan sebagainya, kita merayakannya, tapi slogan, ucapan yang digunakan dalam kad ucapan atau pengucapan seseorang semuanya berbeza.

Satu Merdeka, lain rasa...

No comments: