Monday, July 2, 2012

Tiba masanya 'Manusia Perak' kembali ke Lenggong



Kelmarin, sejurus selepas pengumuman oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Dr Rais Yatim mengenai penganugerahan status Tapak Warisan Dunia daripada UNESCO kepada Lembah Lenggong di Perak, blogger ini menggesa melalui Twitter supaya dibawa pulang rangka tersebut ke tempat asalnya.

Hari ini, juga melalui Twitter, Anggota Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah menyuarakan saranan yang sama supaya dibawa pulang ‘Manusia Perak’ untuk dipamerkan di Muzium Arkeologi Lenggong di Kota Tampan.

Apa yang dicadangkan Shamsul berpaksikan potensi rangka tulen yang begitu besar impaknya kepada kajian pra-sejarah dunia kepada pelancongan di kawasan Lenggong.

Mungkin lain ceritanya jika di Lenggong tiada tempat sesuai untuk menempatkan rangka tersebut, tetapi dengan adanya Muzium Arkeologi, alasan lain tidak perlu timbul.

Buat masa ini yang dipamerkan di muzium berkenaan berupa replika ‘Manusia Perak’ lengkap dengan MyKadnya bagi memberi kepastian kepada ketulenannya.

Namun, gimik sedemikian tidak mampu menandingi impak dan tarikan pelancongan ke Lembah Lenggong.

Warisan pra-sejarah Lenggong ini jangan lagi ‘dipermainkan’ seperti mana dulunya apabila diusulkan pembinaan sebuah muzium pra-sejara, pihak bertanggungjawab mendirikannya pula betul-betul di atas tapak ekskavasi!

Selain itu, menyentuh perkembangan yang amat membanggakan bukan saja kepada Malaysia, negeri Perak, daerah Lenggong dan tidak terkecuali, tokoh yang menemui kesan pra-sejarah itu, Profesor Datuk Dr Zuraina Majid yang kini Ketua Pengarah Jabatan Warisan di bawah KPKK, pelbagai inisiatif bagi memperkasakan warisan Lembah Lenggong menjadi lebih perlu.

Lenggong memerlukan infrastruktur dan kemudahan untuk pelancong, termasuk penambahan ruang penginapan untuk menambah yang sedia ada seperti di Inap Desa Kampung Beng, Resort Tasik Raban dan Rumah Rehat Lenggong, antara lain.

Selain itu, juga perlu dipastikan pembangunan rakus tidak terus berlaku di sekitar wilayah sensitive sejarah ini seperti mana dapat dilihat berhampiran Tasik Raban yang boleh mengancam ekosistem tasik asli itu.

Program mendidik penduduk Lenggong supaya lebih mengetahui dan menghargai aset yang ada pada kampung mereka juga perlu, umpamanya lebih bertanggungjawab dan jangan membenarkan sesiapa melakarkan ‘grafiti’ di dinding gua, atau memusnahkan kesan sejarah, seperti yang berlaku pada kesan ‘batu kapur’ pra-sejarah berhampiran Kampung Bukit Sapi.

No comments: