Wednesday, June 13, 2012

Ramifikasi Pindaan Akta Profesion Undang-undang 2012...



Setelah tiga hari Dewan Rakyat membahaskan dengan terperinci Pindaan Akta Profesion Undang-undang 2012, akhirnya ia diluluskan.

Dengan ini, firma-firma asing akan dibenarkan membuka cawangan di Malaysia dan peguam-peguam dari luar negara akan dapat mengamalkan undang-undang di sini.

Tujuan rang undang-undang (pindaan) ini ialah untuk liberalisasi profesion undang-undang ke arah menjadikan Malaysia sebuah pusat kewangan Islam antarabangsa, dan sekali gus memperluaskan kepakaran dalam industri berkenaan.

Bagaimana pun, dengan kelonggaran yang diwujudkan melalui pindaan itu tidak bermakna peguam asing boleh sesuka hati masuk dan keluar dari Malaysia. Ini kerana tujuan membenarkan mereka ke sini juga bagi memastikan agar kepakaran dapat dimanfaatkan oleh peguam tempatan.

Oleh yang demikian, peguam-peguam asing yang berhasrat mengamalkan profesion mereka di Malaysia secara jangka pendek, perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Peguam Negara selain membuat permohonan kepada mahkamah.

Justeru prosedur yang bakal di zahir melalui syarat seorang rakan (peguam) kanan berpangkalan di Malaysia dan seterusnya berada di sini sekurang-kurangnya 182 hari dalam setahun akan menenteramkan hati golongan peguam muda dan mereka yang merasakan kedudukan mereka digugat.

Jelas, tujuan utama pindaan akta tersebut bagi melonjakkan industri kewangan Islam Malaysia, tetapi mungkin juga di sebalik hasrat murni itu terdapat kegunaan lain yang bersifat subjektif.

Jika dilihat kepada Singapura, parlimen negara itu meluluskan pindaan kepada Akta Profesion Perundangan (LPA) yang memudahkan pihak mahkamah membenarkan pakar perundangan luar, seperti Queen’s Counsel (QC) menghadirkan diri di mahkamah Singapura.

Seperti di Dewan Rakyat, di parlimen Singapura juga perkara tersebut dibahaskan dengan hangat apabila Ahli Parlimen melahirkan kebimbangan impak pindaan itu ke atas peguam-peguam Singapura bertaraf ‘Senior Counsel’ (SC) yang dianggap mempunyai kaliber setaraf dengan QC British.

Seperti di Malaysia, pindaan berkenaan disambut baik Pihak Berkuasa Kewangan Singapura, bank dan mereka yang berkepentingan.

Juga, seperti di Singapura, di Malaysia mungkin timbul persoalan apakah ia akan membuka luas saluran bagi mencabar dan mengambil tindakan mahkamah ke atas bank, syarikat besar atau kerajaan sendiri yang dianggap lebih berupaya mendapatkan representasi guaman terbaik?

No comments: