Friday, June 22, 2012

Diplomat Singapura hadir Bersih 3.0 atas kapasiti peribadi?Logik?



Dalam satu reaksi yang dilaporkan beberapa media tempatan hari ini, Pesuruhjaya Tinggi Singapura mempertahankan tiga orang pegawainya yang didakwa menghadiri demonstrasi jalanan Bersih 3.0 pada 28 April lalu berbuat demikian dalam kapasiti peribadi.

Reaksi tersebut ekoran beberapa laporan, termasuk oleh Lenggong Valley sendiri berikutan maklumat yang dibekalkan beberapa sumber.

Justeru, cubaan penafian pihak Pesuruhjaya Tinggi Singapura pagi Jumaat dipersoalkan banyak pihak yang mendapati alasan tersebut begitu cetek dan tidak masuk akal.

Mereka menyoal mengapa diasingkan kapasiti peribadi seorang diplomat dengan kapasitinya sebagai wakil terhormat sebuah negara lain.

Etika anggota perwakilan asing yang termaktub di bawah Vienna Convention on Diplomatic Relations, 1961menggariskan dengan jelas di bawah Perkara 41 bahawa mereka bertanggung jawab untuk tidak mencampuri hal ehwal serta urusan negara tuan rumah.

Konvensyen tersebut dalam perkara berkenaan tidak pula menyatakan sama ada mereka boleh berbuat demikian dalam kapasiti peribadi.

Ini kerana dalam konteks hubungan diplomatik, amat sukar untuk membezakan tugas diplomatik dan tugas persendirian, seperti keterlibatan dalam demonstrasi Bersih 3.0 itu.

Dan juga disebabkan kesukaran inilah maka kebanyakan kedutaan asing dan pejabat pesuruhjaya tinggi mempunyai unit atau atase khas dalam soal perisikan dan pengumpulan maklumat.

Ada juga pemerhati yang secara sinis menggambarkan senario apabila seorang pemerintah tentera tiba-tiba mengambil cuti daripada pertempuran untuk berjuang bersama pihak musuh di atas kapasiti peribadi.

Jika ini boleh berlaku, maka nampak sangat cubaan untuk ‘spin’ keadaan yang berlaku pada 28 April itu.

No comments: