Wednesday, May 16, 2012

Pukulan Maut untuk DAP dari Tunku Aziz




Yang nyata peletakan jawatan oleh Tunku Abdul Aziz dari DAP dengan seriusnya menjejaskan imej parti ‘demokratik’ itu.

Penganiayaan terhadap Tunku Aziz kini semakin hebat berlaku melalui media sosial di Internet. Bekas naib-pengerusi DAP yang dulunya disanjung sebagai wira oleh penyokong Pakatan Rakyat apabila mengambil keputusan menyertai DAP pada 2008, kini mengubah strategi untuk mengecam, mencemuh dan cuba memalukan beliau.

Politik sesuatu permainan yang amat zalim, apatah lagi dengan ketanpanamaan dalam dunia maya Internet – dimensi yang dikatakan mampu menjadikan seseorang yang bacul lebih zalim dan tidak berhati perut berbanding ahli politik.

Ironinya, dalam kekalutan ini antara komen-komen baik ditujukan kepada Tunku Aziz dibuat oleh orang DAP sendiri. Antaranya, seorang pemimpin tertinggi dari Pulau Pinang (bukan Lim Guan Eng) yang menghantar SMS selepas pengumuman peletakan jawatan beliau di TV. Pengirim bersimpati dengan apa yang berlaku.

Bagi sesetengah ahli politik DAP yang pernah mengenali Tunku Aziz secara dekat, beliau seorang tokoh yang memegang kuat kepada prinsip. Beliau bertutur dengan beradab dan sentiasa menjaga maruah.

Tetapi segelintir kumpulan dalam DAP ini tidak mampu merubah keadaan sebenar dalam parti itu – keadaan yang hanya ditentukan oleh Lim Guan Eng.

Selepas episode bantahan beliau terhadap demonstrasi Bersih 3.0 bulan lalu, tidak ramai yang mengharapkan beliau akan kekal dalam DAP.

Yang nyata dalam hal ini Guan Eng tidak suka dibantahi atau dikritik. Mereka yang berbuat demikian akan mendapati diri diboikot dan payah untuk terus kekal dalam parti itu.

Bagaimana pun, di tengah-tengah kekalutan ini apakah impak sebenarnya terhadap DAP sendiri? Bagi Guan Eng dan yang sebulu dengannya, ia tidak memberikan apa-apa kesan kerana DAP dikuasai orang Cina dan mood parti kini dikatakan sudah cukup kuat untuk mengatasi isu seperti ini.

Yang mereka bimbang impak isu ini ke atas kalangan orang Melayu, terutama mereka yang mampu berfikir lebih mendalam. Dulunya ramai tidak menyangka seseorang tokoh seperti Tunku Aziz sanggup menyertai sebuah parti yang rakus menjuarai kepentingan pendidikan Cina dan menentang DEB – dua isu utama yang amat menyentuh kepentingan nasionalis Melayu. Kini kumpulan orang Melayu yang sama mungkin memberitahu sesama sendiri mereka sudah lama merasakan ‘perhubungan’ Tunku Aziz dengan DAP tidak akan berkekalan.

Hakikatnya, peletakan jawatan Tunku Aziz dari DAP akan mencederakan DAP dan Pakatan Rakyat, yang amat mengharapkan sokongan daripada kumpulan orang Melayu yang berpendirian berkecuali sejak sekian lama.

No comments: