Sunday, April 8, 2012

Masalah 'Nur Alert' perlu ditangani segera


Terbaru Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie berkata system ‘Nur Alert’ tidak boleh aktifkan serta merta apabila seseorang kanak-kanak dilaporkan hilang bagi memastikan keselamatannya.

Beliau berkata polis perlu terlebih dulu menyiasat sekiranya kanak-kanak berkenaan telah diculik.

Di sini, menurut Heng, rasionalnya kerana jika sistem tersebut diaktifkan bagi kanak-kanak yang diculik, ia akan membahayakan keselamatan kanak-kanak itu pula.

Berdasarkan premis ini, ramai yang bertanya apa gunanya sistem ‘Nur Alert’ jika elemen ‘penggera’ yang menjadi pemangkin sistem tersebut tidak diutamakan?

Kita faham keperluan pihak polis dalam hal ini, tetapi bagaimana pun isu berkenaan perlu diatasi segera demi kepentingan yang sama, iaitu menyelamatkan kanak-kanak yang hilang.

Sistem ‘Nur Alert’ yang merentasi pelbagai platform telekomunikasi, dan sebagainya, merupakan kaedah yang juga digunakan di beberapa buah negara dalam bentuk sama, tetapi dengan nama berbeza.

Di Amerika Syarikat ia dikenali sebagai ‘Amber Alert’, dan di tahap awal penggunaannya pelbagai isu timbul, seperti mana yang dihadapi di Malaysia sekarang.

Oleh yang demikian apa kata kalau polis dan lain-lain pihak mencari jalan pintas bagi mengatasi perkara ini dengan mencontohi pendekatan polis di Amerika, jika dianggap sesuai.

Kekerapan laporan kanak-kanak hilang atau diculik memerlukan tindakan segera.

No comments: