Thursday, April 12, 2012

Karya pincang seorang 'patriot'?


Terlalu mudah bagi seseorang bergelar sasterawan atau pendukung seni mengetepikan segala yang terpahat dan nyata pada pihak berkuasa.

Sifat individualisme dan ketegaran berpegang kepada sesuatu perspektif atau prinsip itulah yang menjadikan golongan ini lebih menonjol daripada anggota masyarakat biasa.

Oleh yang demikian begitulah adanya dengan buku terbaru yang di karya oleh pelakon teater dan aktivis seni pentas yang agak terkemuka, sekurang-kurangnya dalam sfera kecil penggiat seni teater kontemporari di Malaysia, yakni Kee Thuan Chye.

Buku terbarunya yang ditulis dalam bahasa Inggeris, ‘No More Bullshit, Please, We’re All Malaysians’ (terjemahan kasar: ‘Jangan Mengarut, Kita Semua Orang Malaysia) ketara begitu ngeri personanya hingga begitu mudah melabel si anu dan si ini sebagai rakus, ‘autokratik’ dan sebagainya.

Kesempitan interpretasi dalam penghasilan buku tersebut dilonggokkan dengan pelbagai pujian oleh penyokong yang mengulas apa yang tersirat, justeru meletakkan si penulis sebagai seorang patriot tulen.

Dalam pada itu, walaupun Kee mengaku payah untuk orang kebiasaan memahami iklim politik di Malaysia, namun penulis berjaya juga melukiskan keadaan, percanggahan dan segala pergelutan rakyat Malaysia yang mempunyai rasa cinta terhadap negara ini.

Siapakah agaknya yang memahami mesej yang tersirat dalam benak si penulis itu? Mungkin ia sekadar rasa optimistiknya semata-mata berdasarkan keegoan sebagai seorang pengkarya.

Secara ringkas muka-muka surat awal karya tersebut melihat bagaimana Kee mencuba meyakinkan sahabat-sahabatnya yang berhasrat meninggalkan Malaysia supaya bertahan dan berdiri untuk berjuang untuk Malaysia. Di akhir bab pertama penulis dengan nada kecewa bertanya “tetapi apakah negara ini benar-benar mempedulikan sama ada kita pergi atau terus menetap di sini?”

Dengan modal yang dipegang dan ditonjolkan di bab pertama, jelas buku itu memperlihatkan bagaimana liciknya penulis merentap hati dan membelai hati nurani pembaca supaya berkongsi sentimen pincang semangat kenegaraan dengan penulis.

‘No More Bullshit, Please, We’re All Malaysians’ diterbitkan oleh Marshall Cavendish yang pernah menerbitkan buku mengenai Tun Dr Mahathir oleh Tom Plate berjodol ' Conversations with Mahathir Mohamad: Dr M: Operation Malaysia.'

No comments: