Friday, April 27, 2012

Jangan jadi peguam jika tidak mampu patuh undang-undang



Sekiranya anda membaca buku panduan ‘Tanggung Jawab dan Kod Profesional Peguam’, anda mungkin merasakan bahawa untuk menjadi seorang peguam yang baik, anda perlu hampir menjadi seorang wali atau separuh wali.

Ini kerana profesion perundangan merupakan satu kerjaya yang mulia.

Yang membezakannya daripada profesion-profesion lain kerana ia menangani hak masyarakat harian – jangan melanggar undang-undang, dan anda tidak akan didakwa.

Berpandukan ini, maka daripada ramai anggota masyarakat, para peguam merupakan golongan yang perlu sentiasa ingat bahawa tiada siapa pun berada di atas undang-undang.

Justeru, sebagai pelindung atau pemelihara undang-undang, peguam memegang peranan amat penting dalam sesebuah masyarakat.

Bagi memenuhi peranan ini memerlukan para peguam memahami hubungan mereka dengan fungsi sistem perundangan negara.

Antara tanggung jawab peguam ialah memastikan pematuhan tertinggi terhadap etika profesion berkenaan.

Oleh yang demikian, apabila kita mendengar tentang peguam yang didakwa kerana melanggar undang-undang, kita berasa amat kecewa.

Apa tidaknya, memandangkan mereka sepatutnya menjadi pemelihara undang-undang.

Sehubungan masalah ini, setiap tahun Lembaga Disiplin Peguam menerima purata 900 aduan, termasuk bersabit jenayah pecah amanah dan melanggar kod etika guaman.

Mereka digugurkan daripada daftar guaman.

Hari ini, profesion guaman semakin sesak dengan lebih 14,000 orang peguam di semenanjung, dan semakin ramai graduan menyertai lapangan itu setiap tahun.

Disebabkan kesesakan yang membawa kepada persaingan hebat, tidak kurang didapati antara mereka yang mencari jalan licik dan tidak beretika untuk mendapatkan keuntungan.

Bagi yang pintar, dan petah berhujah, gelanggang mahkamah menonjolkan betapa mereka dapat menggunakan putar belit undang-undang untuk mendapatkan kemenangan kes daripada segi teknikal, walaupun bukti jelas menunjukkan tertuduh bersalah.

Juga sejak kebelakangan ini tidak kurang yang menumpukan perhatian kepada politik dan menawarkan kepintaran songsang mereka dalam perundangan bagi menyokong kebiadaban pihak tertentu.

Kebanyakan daripada peguam yang berbuat demikian terdiri daripada peguam-peguam muda yang baru mula celik dunia dan berasa terlalu ghairah dengan status ‘palsu’ kononnya merekalah yang hebat dan maha tahu.

Mereka memegang kepada falsafah yang tidak selari dengan suasana tempatan, terutama disegi undang-undang perlembagaan serta sosial politik.

Bagi mereka terdapat hanya satu acuan untuk membentuk dunia sempurna, iaitu kononnya prinsip dan konsep demokrasi daripada kaca mata barat.

Justeru itu mereka membiarkan diri diperalatkan oleh anasir-anasir luar yang begitu licik bergerak di serata dunia, termasuk di Malaysia.

Keadaan kini membawa kepada isu yang sedang dan kita akan hadapi pada Sabtu apabila didakwa puluhan ribu orang penyokong puak pembangkang akan berkumpul untuk protes di Dataran Merdeka.

Mereka tegar mencabar undang-undang. Bukan undang-undang hak perhimpunan aman yang kini tidak lagi menjadi kesalahan, tetapi undang-undang dan peraturan sampingan yang melarang perhimpunan diadakan di kawasan tertentu.

Ketegaran mereka jelas membuktikan mereka mencabar undang-undang – dan di tengah-tengah persekongkolan yang di namakan Bersih 3.0 itu ialah kumpulan peguam.

No comments: