Monday, April 30, 2012

Di senja zaman politiknya, Zaharin pertikai tindakan polis



Seperti mana keadaannya dengan Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz yang mengecam tindakan perhimpunan Bersih, begitu juga keadaan dengan Zaharin Yassin yang digugurkan sebagai Setiausaha UMNO Bahagian tahun lalu.

Dulu, dah banyak kali Zaharin Yassin bertukar warna sepanjang beberapa dekad dia menganggotai UMNO.

Episod-episod yang masih diingat mengenai dirinya banyak dikaitkan dengan zaman Tun Ghafar Baba, Tun Abdullah, selain sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam UMNO.

Kini, pada senja zamannya dalam politik, ramai berpendapat Zaharin yang dulunya dianggap ‘gurkha’ mantap, telah melepasi era-era dinamik parti tersebut.

Terbaru, beliau mencetuskan kontroversi lagi apabila kononnya mendedahkan mengenai anggota polis menyamar sebagai peserta demonstrasi Bersih 3.0 Sabtu lalu.

Apa yang di pos pada laman Facebook mendakwa beliau mengenali anggota polis yang terbabit.

Kenyataan Zaharin menaikkan kemarahan ramai ahli UMNO dan blogger pro-kerajaan.

Mereka berpendapat apa yang dinyatakan beliau tidak benar dan tidak wajar.

Rata-rata mereka menganggap Zaharin sengaja mensabotaj parti, dan tindakan perlu dikenakan terhadap beliau.

Bagaimana pun, sejurus selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi Zaharin pos susulan kepada apa yang dinyatakan sebelum itu. Dia mendakwa umpannya mengena dan pengkritiknya ‘cukup kuat melatah’

"Umpan saya dimakan. tiba-tiba saya jadi glamor... dan ini memberikan gambaran cara fikir kita belum lagi sampai ke tahap cukup matang... dan yang peliknya unit media baru Umno pun ikut sama bodoh. ..kesimpulannya orang di Malaysia ni tak kira Melayu, Cina dan India.. cukup kuat melatah," kata Setiausaha BN Bandar Tun Razak itu.

Bagi yang masak dengan taktik peribadi dan tabiat Zaharin, mereka tahu apa yang sebenarnya di hati beliau...mereka hanya tersenyum sinis.

No comments: