Wednesday, March 14, 2012

Siapa kata Najib tak mampu berbelanja untuk anaknya?


Pejabat Perdana Menteri telah menafikan bil bagi majlis pertunangan anak perempuan Datuk Seri Najib Tun Razak yang diadakan di Hotel Shangri-La di Kuala Lumpur dan bagi mengadakan majlis sambutan hari jadi beliau dibiayai menggunakan wang kerajaan.

Kita perlu terima penafian tersebut, selain jika terdapat bukti kukuh mensahihkan dakwaan pengarah strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli itu.

Bagi invois dan bil untuk sesuatu majlis diajukan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) bukan sesuatu yang ganjil atau menghairankan. Yang penting dari mana atau dari siapa pembayaran dibuat.

Dalam isu ini, payah diterima dakwaan Rafizi kerana tidak mungkin Najib sanggup berbuat demikian setelah bersusah payah membuktikan kepada rakyat betapa di bawah pentadbiran beliau segala-galanya perlu berintegriti.

Namun demikian, sepertimana agenda pembangkang untuk mengasak kerajaan diatur secara berkala, isu-isu sebegini menjadi santapan enak untuk mengenyangkan hati dan minda mereka yang begitu mudah mempercayai sesuatu tanpa menghalusi keadaan.



Bagi individu-individu tertentu dalam pembangkang, apa yang perlu dirisaukan jika melempar tohmahan atau fitnah?

Mungkin pada mereka peribahasa ‘alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan’ boleh diambil pakai. Ini kerana ramai daripada mereka pun hanya menunggu hari sebelum diheret ke mahkamah untuk diadili bersabit pelbagai fitnah.

Dakwaan kononnya sukar dipercayai dengan gaji sekitar RM22,800 sebulan, Najib mampu berbelanja begitu besar untuk majlis-majlis peribadi, satu pandangan cetek.

Mereka yang tergolong dalam generasi lebih dewasa daripada Rafizi yang baru ‘setahun jagung’ mengenali dunia, maklum betapa Najib dan keluarganya berkemampuan. Lihat saja pada salasilah generasi kekeluargaan beliau untuk mengetahui lebih lanjut.

Dan jika ingin dipertikaikan juga, tiada kesalahan bagi seseorang seperti Najib mewarisi harta keluarga turun temurun. Bukannya salah untuk menjadi orang kaya, bukan begitu?

Pada peringkat ini yang perlu dijadikan fokus ialah situasi ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kita ingin bertanya, dari mana beliau mendapat wang begitu banyak untuk menampung aktiviti yang jika dihitung, berjumlah puluhan atau ratusan juta, walhal kita masih ingat imej beliau sebagai aktivis pelajar dengan berbaju Melayu dan bercapal sewaktu menguruskan Yayasan Anda.

Dari mana datangnya wang puluhan juta yang kita maklum dalam penguasaan beliau? Renungkan ini semua.

Dalam pada itu, bandingkan kedudukannya dengan kedudukan keluarga Najib sendiri?

Di sini apa yang perlu dihalusi bukan soal pegangan feudal atau sebagainya, tetapi kenyataan. Apakah salahnya apabila sebuah keluarga turun temurun dilimpahi rezeki yang bukan dikumpulkan secara sekelip mata?

Yang seorang lagi itu pula, ‘rezeki’ terus menjulang apabila menjadi Timbalan Perdana Menteri…

Itulah yang amat perlu disiasat dan direnungi rakyat.

No comments: