Monday, March 5, 2012

Mana kaca, mana permata di antara NGO


Dalam post terbaru beliau pada blog www.chedet.cc, Tun Mahathir mengupas agenda kuasa asing melalui kaedah mempengaruhi dan menguasai NGO.

Beliau merujuk kepada penangkapan 10 rakyat Amerika di Mesir baru-baru ini.

Memetik apa yang dilaporkan majalah Newsweek, Mahathir berkata NGO-NGO berkenaan kononnya terbabit membawa demokrasi ke Mesir. Justeru, nama-nama NGO seperti National Democratic Institute (NDI), International Republican Institute (IRI) dan Freedom House dilonjakkan untuk tatapan dunia.

Seperti pernah dikupas penulis ini beberapa kali, kesemua NGO tersebut menerima bantuan dana daripada kerajaan Amerika Syarikat, yang jika dihalusi selanjutnya, mempunyai kaitan mendalam dengan agenda puak Zionis dan penyokong-penyokong mereka seperti penyangak mata wang antarabangsa George Soros, Paul Wolfowitz, dan ramai lagi.

Operasi ke atas NGO-NGO tertentu, selain menyoal siasat warga Amerika dan seterusnya menyekat mereka daripada meninggalkan Mesir sementara menunggu siasatan selesai kini menyebabkan hubungan Amerika Syarikat-Mesir menjadi tegang tiba-tiba.

Dan kerana mengganggu kepentingan mereka, dana AS$1.3bil yang dijanjikan Amerika kepada Mesir sebagai bantuan ketenteraan mungkin terjejas.

Sewaktu pentadbiran Hosni Mubarak, NGO dilarang menerima pembiayaan dari Amerika Syarikat, kecuali NGO yang berdaftar melalui organisasi-organisasi tertentu, seperti Bureau of Democracy, Human Rights and Labour. Kini, dengan ketiadaan Hosni Mubarak, Amerika rakus menyalurkan sebanyak mungkin bantuan kewangan kepada NGO-NGO tidak berdaftar bagi memantapkan agenda neo-penjajahan Amerika di sebalik topeng pelaksanaan demokrasi mutlak di Mesir.

Gambaran yang dilakarkan di Mesir perlu diambil iktibar di Malaysia, kerana kita maklum betapa Amerika Syarikat memberi sokongan padu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dan seperti di Tunisia, Mesir dan lain-lain negara Arab yang dicengkam agenda pertukaran kerajaan, seperti itu juga di Malaysia, tidak kurang NGO yang didalangi anasir-anasir luar. Mereka berdiri di sisi ketokohan Anwar yang di perhebat media barat bagi mensahihkan hasrat.

Mengambil iktibar daripada apa yang berlaku di Mesir seperti yang disoroti Tun Mahathir, kita perlu berhati-hati memeluk sebarang agenda NGO yang menggunakan premis hak asasi sebagai belantan untuk meyakinkan sokongan.

Garis perbezaan di antara apa sebenarnya yang dimaksudkan sebagai hak asasi manusia dan agenda licik kuasa asing perlu dihalusi walaupun sepayah mana. Ini kerana hampir rata-rata hati dan minda rakyat Malaysia, terutama sebahagian besar generasi muda telah dipengaruhi budaya Amerika – budaya yang secara tidak disedari menguasai arus pemikiran.

Amaran yang diberikan Tun Mahathir tidak bererti semua NGO tidak boleh diterima pakai.

Seperti disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kelmarin, kerajaan akan mendekati NGO-NGO yang boleh memanfaatkan kesejahteraan rakyat.

Justeru, apa yang diumumkan Najib itu perlu diterima secara berhemah kerana laluan melalui NGO antara pendekatan subversif paling licik oleh kuasa asing.

No comments: