Saturday, March 24, 2012

Jangan berjudi dengan kemungkinan di Perak


Memang baik diulangi ketegasan mengenai sesuatu, tetapi jika apa yang disuarakan tidak jelas mesejnya, boleh menimbulkan persepsi negatif.

Inilah yang dilihat pada kenyataan terbaru Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Beliau memberi amaran kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) bahawa mereka akan digugurkan jika didapati prestasi merosot.

Menurut Zambry, walaupun senarai nama-nama berpotensi sudah siap, namun sesiapa saja boleh dikecualikan berdasarkan prestasi masing-masing.

Kata beliau, penilaian berhubung perkara ini diguna pakai bagi kedua-kedua wakil rakyat sedia ada dan calon-calon baru, tanpa diberikan keistimewaan kepada mana-mana pihak.

Apa yang diulangi Zambry memang patut, tetapi timbul keraguan maksud beliau, kerana sejak kebelakangan ini kenyataan beliau seolah-olah tidak mantap.

Ramai masih ingat pada tahun lepas beliau juga memberi amaran yang sama, bahawa mereka yang tidak berprestasi akan digugurkan dan muka-muka baru yang lebih dinamik dipilih.

Kemudian kita mendengar pula beliau menyatakan ada calon-calon BN di Perak mungkin dikekalkan walaupun hampir kalah pada PRU lepas.
Inilah yang menimbulkan tanda tanya di kalangan ramai pemerhati.

Elok juga Zambry perjelaskan perkara ini, kerana jika ditafsirkan kefahaman ramai, hanya yang berpotensi akan dipilih. Oleh demikian, mereka yang hampir kecundang sepatutnya tidak dipilih.

Jangan terus berjudi dengan kemungkinan di Perak.

No comments: