Saturday, March 3, 2012

Apa Di sebalik 'Pertukaran Rejim' Diinginkan Amerika?


Dalam blog beliau pada 13 Februari, 2012, bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik apa yang disifatkan sebagai ‘politik pertukaran rejim’ yang diamalkan Amerika Syarikat. Beliau melahirkan kebimbangan Malaysia akan turut menjadi sasaran ‘pertukaran rejim’, dan calon pilihan Amerika yang akan diberikan sokongan penuh oleh Amerika Syarikat, tidak lain daripada ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengapa Amerika Syariat mahukan pertukaran rejim di Malaysia, walhal Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah berusaha memperkukuhkan hubungan dengan Washington? Malahan beliau juga telah menggunakan perkhidmatan APCO, sebuah syarikat perhubungan awam yang berpangkalan di Washington bagi merangsang imej Malaysia di Amerika. Selain itu, hubungan peribadi di antara Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan Najib juga dikatakan berada pada tahap ‘terbaik’.

Oleh itu, agak meyakinkan sekiranya kuasa-kuasa yang membentuk sikap Washington terhadap politik Malaysia dan barisan pemimpin di Malaysia lebih mengutamakan Anwar daripada Najib kerana sebab-sebab tertentu.

Pertama, walaupun Najib mempunyai pertalian dan kemesraan dengan pemimpin-pemimpin formal dan negara formal dalam sistem kerajaan Amerika Syarikat, yang nyata, Anwar tokoh yang di rasa lihat mempunyai pertalian lebih intim dengan kuasa sebenar dalam sistem kerajaan Amerika. Kuasa sebenar yang dimaksudkan tidak lain kumpulan berkepentingan kuat, seperti kumpulan pelobi Zionis, puak pejuang hak Kristian ‘Christian Right’, pemegang pengaruh kewangan yang berkuasa di Wall Street, pemilik syarikat-syarikat minyak, penjual senjata dan pemilik syarikat-syarikat media – merekalah sebenarnya kuasa tidak formal (kuasa sebenar) di Amerika Syarikat.

Untuk memahami perbezaan di antara kedua-dua entiti atau kuasa ini, kita perlu menghalusi inti pati ucapan Obama di Kaherah pada 4 Jun, 2009. Beliau secara terang-terangan menyatakan bahawa “Amerika Syarikat tidak sekali-kali akan menerima pengiktirafan wilayah yang terus diduduki Israel”, walhal hakikatnya kumpulan pemimpin formal Amerika sememangnya terpaksa tunduk dan memberi jalan kepada puak Zionis and Christian Right, yang merupakan kumpulan begitu ghairah mempromosikan pengembangan kuasa Zionis dengan membelakangkan hak rakyat Palestin.

Penyertaan Anwar dalam kumpulan kuasa sebenar direalisasikan melalui keakraban beliau dengan bekas Setiausaha Pertahanan Amerika, Paul Wolfowitz, yang merupakan antara penyokong utama kuasa Zionis.

Justeru, melalui pengaruh dan kuasa Wolfowitz Anwar dilantik menjadi pengerusi pertama Foundation for the Future pada 2005. Organisasi tersebut di tubuh bagi mempromosikan demokrasi di Asia Barat dan Afrika Utara (WANA), yang sebenarnya mempunyai niat tersirat menebarkan cengakaman kuasa Amerika-Israel di kedua-dua wilayah berkenaan.

Kecenderungan Anwar kepada idealisme dan rancangan Amerika-Israel dapat dirasakan seawal 1998, ketika rantau ini digugat Krisis Kewangan Asia yang memperlihatkan bagaimana beliau berkeras mengajukan penyelesaian berteraskan campur tangan IMF bagi kononnya menyelesaikan masalah ekonomi negara.

Itu sebab sewaktu dua perbicaraan pertama bersabit tuduhan penyalahgunaan kuasa dan sodomi di antara 1998 dan 2004, dan pada perbicaraan sodomi baru-baru ini, media arus perdana Amerika bersungguh menuntut supaya kerajaan Malaysia membebaskan Anwar. Desakan turut disuarakan secara bersama oleh Wolfowitz dan bekas Naib Presiden Amerika, Al Gore dalam akhbar The Wall Street Journal pada 4 Ogos, 2010. Mereka mendesak kerajaan Amerika memujuk kerajaan Malaysia supaya bertindak ‘secara bijaksana’ dalam menangani perbicaraan Anwar.

Sehari sebelum beliau dibebaskan, iaitu pada 8 Januari, 2012, akhbar The Washington Post dalam rencana khas lidah pengarang memberi amaran “Jika keputusan mahkamah gagal dalam ujian tersebut (komitmen Malaysia terhadap demokrasi dan kedaulatan undang-undang), Najib akan menerima padahnya dari Washington.” Ini jelas usaha terang-terangan oleh sebuah akhbar yang berpengaruh untuk memberi tekanan ke atas sebuah negara berdaulat supaya tunduk kepada kehendaknya.

Kedua, sebahagian sebab Anwar dijadikan ‘anak emas’ oleh kuasa sebenar Amerika Syarikat ialah kerana pendirian beliau berhubung Israel. Dalam satu wawancara dengan Wall Street Journal pada 26 Januari, 2012, beliau mengulangi sokongan kepada “semua usaha melindungi keselamatan negara Israel.” Perlu ditekankan di sini bahawa sokongan kepada keselamatan Israel, berbeza daripada apa yang nyatakan beliau sekarang – bukan bergantung kepada sama ada “Israel menghormati aspirasi rakyat Palestine.” Dalam wawancara itu, aspek keselamatan Israel dinyatakan secara sendirian tanpa dikaitkan dengan pergantungan terma lain. Yang Anwar kaitkan dengan aspirasi Palestin ialah pengiktirafan hubungan diplomatik dengan Israel.

Mengutamakan keselamatan Israel sesuatu yang amat dipuji olek kuasa sebenar Amerika Syarikat dan dunia Zionis, lebih-lebih lagi apabila pejuangnya seorang pemimpin Islam. Ini kerana keselamatan Israel dijadikan justifikasi bagi tindakan menceroboh, menjajah, dan seterusnya menguasai wilayah Palestin sejak 63 tahun lalu.

Keselamatan Israel satu bebanan yang tidak menampakkan penghujung bagi rakyat Palestin dan negara-negara Arab. Tanah dan maruah mereka telah dirampas oleh sebuah kuasa penjajah. Dengan cara mengakui kepentingan keselamatan Israel, Anwar memberikan isyarat jelas kepada kuasa sebenar Amerika, Tel Aviv dan Washington bahawa beliau seorang yang mereka boleh percayai.

Berbeza dengan pendirian Anwar, walaupun kerajaan pimpinan Najib berusaha menjalinkan hubungan rapat dengan Washington, ia masih berpendirian kritikal terhadap kerakusan dan penjajahan Israel. Najib pernah menggambarkan kerajaan Israel seperti seorang ‘pembunuh bersiri’ dan ‘gangster.’

Pandangan ini tidak disenangi oleh kuasa sebenar Amerika, kerana 20 tahun dulu Anwar pernah memberitahu sahabat Zionisnya di Washington beliau kesal menggunakan istilah-istilah seperti ‘pencerobohan Zionis’ (Jackson Diehl, “Flirting with Zealotry in Malaysia – The Washington Post, 28 Jun, 2010).

Ketiga, Anwar menjadi pilihan kuasa sebenar Amerika kerana sebab lain. Beliau dilihat sebagai faktor yang semakin penting bagi Israel dalam konteks kebangkitan China dan pengertiannya dalam struktur hegemoni global Amerika.

Kuasa sebenar Amerika telah meyakinkan Obama bahawa China merupakan ancaman kepada negara-negara jirannya, dan juga ancaman kepada peranan dominan Amerika di Asia-Pasifik. Dengan mewujudkan sebuah pangkalan tentera di Darwin, Australia, menghidupkan kembali perikatan tentera Amerika dengan Filipina, mempengaruhi Jepun supaya memainkan peranan ketenteraan lebih besar di rantau ini, menghasut Vietnam supaya mencabar China berhubung Kepulauan Spratly, dan menggalakkan India mengimbangi kuasa China – semua ini sebahagian daripada agenda lebih meluas Amerika untuk mengepung dan mengehadkan perkembangan pengaruh China. Dalam usaha mengejar agenda ini Amerika mahukan sekutu yang boleh diharap, dan bukan hanya sahabat di Asia.

Sehubungan itu, Malaysia dianggap penting kerana kedudukannya sebagai sebuah negara di kawasan pantai (litoral) yang mempunyai hak ke atas Selat Melaka, iaitu laluan paling penting bagi membangunkan ekonomi China.

Apakah usaha untuk menyekat dan mengehadkan kuasa China akan menjadi lebih mantap dengan penguasaan ke atas Selat Melaka? Dalam hal ini, apakah sekutu yang diyakini di Kuala Lumpur akan dapat merealisasikan harapan tersebut?

Dalam pengertian ini, Amerika berpendapat pucuk pimpinan yang ada sekarang tidak sesuai bagi tujuan tersebut.

Ini kerana Malaysia terbukti telah mewujud dan mengekalkan persahabatan melalui peningkatan perdagangan dan pelaburan dengan China. Kini China rakan perdagangan global paling besar Malaysia, sementara Malaysia pula rakan perdagangan paling besar China di rantau ASEAN.

Dalam pada itu, China masih ingat betapa Malaysia di bawah pentadbiran Tun Abdul Razak muncul sebagai negara bukan Komunis pertama di Asia Tenggara menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara itu pada 1974.

Apabila anak beliau, Najib menjadi Perdana Menteri pada April 2009, China negara pertama di luar ASEAN dipilih beliau untuk dilawati. Selain itu, di beberapa forum serantau dan antarabangsa, Malaysia sentiasa menyatakan China bukan ancaman kepada negara-negara jirannya dan China tidak berhasrat untuk mendapatkan kuasa dominan global.

Ini antara pandangan-pandangan yang tidak disetujui atau disenangi oleh kuasa sebenar Amerika. Pada mereka China tetap musuh yang perlu diawasi, maka disebabkan ini mereka mahukan pertukaran rejim di Kuala Lumpur.

No comments: