Wednesday, January 25, 2012

Isu Mitos Hang Tuah, Hang Li Po Perlu Dikupas Secara Sihat


Tidak kurang ramai pihak yang ditemui menganggap isu yang dibangkitkan sejarawan negara Tan Sri Khoo Kay Kim mengenai mitos hulubalang Melayu Melaka Hang Tuah dan kewujudan Hang Li Po sesuatu yang tidak perlu berlaku.

Ada yang melihatnya sebagai satu sorotan oleh seorang sejarawan yang sememangnya mempunyai tanggung jawab berbuat demikian tanpa perlu dikaitkan dengan sebarang agenda atau pendirian partisan kepada mana-mana pihak, sama ada pegangan politik atau lain-lain.

Menjawab amaran sesetengah pihak akan membuat laporan polis berhubung pandangan beliau yang kedua-dua tokoh legenda tersebut tidak pernah wujud, Prof Khoo terbaru menyatakan kesediaan untuk disoal siasat dan memberi keterangan .

Menurut apa yang dicakapkan kepada MStar, beliau berkata akan ‘memalukan’ sesiapa yang bercadang berbuat demikian kerana beliau mempunyai banyak bukti berhubung perkara tersebut.


Sejarawan Negara, Tan Sri Prof Khoo Khay Kim


Jika dihalusi secara lebih terperinci pendapat Prof Khoo mengenai kedua-dua ‘tokoh’ itu, kita akan mendapati ia bukan sesuatu yang baru, malah telah dibangkitkan beberapa kali sepanjang zaman.

Polemik bukan sekadar berkisar mengenai kewujudan Hang Tuah, tetapi mengenai keturunan etnik pahlawan tersebut, tempat dia disemadikan, kononnya hilang, dan sebagainya.

Logiknya, sejarah sebagai sesuatu yang ‘hidup’ tidak sepatut dilihat sebagai sesuatu yang tidak mungkin berubah mengikut penemuan atau hasil kajian-kajian baru menggunakan kaedah teknologi terkini atau melalui pelbagai cara lain.

Persoalan Prof Khoo bukan terhad kepada realiti kewujudan Hang Tuah, tetapi juga mempersoalkan sama ada Hang Li Po yang dikatakan seorang puteri maharaja China sewaktu dinasti Ming benar-benar wujud sepertimana diperturunkan dan perkembangkan dari mulut ke mulut, justeru hingga terpahat dalam kitab Sejarah Melayu yang dihasilkan Tun Sri Lanang.

Hakikatnya, logik berdasarkan fakta adalah sesuatu yang perlu dalam pengabdian sejarah. Pegangan kepada mitos dan legenda hanya sepatutnya boleh diterima jika ia membantu membentuk sesuatu manifestasi realistik. Dalam erti kata, sesuatu sebutan elemen-elemen mitos dalam sejarah digunakan sebagai pelapik atau penyebab sesuatu tindakan dan pegangan, dan yang diguna itu perlu disebut secara ketara sama ada ia mitos atau fakta.

Dalam konteks ini, kita tidak boleh sebulat hati menafikan kewujudan tokoh-tokoh mitos berkenaan, tetapi sekadar membangkitkan percampuran elemen mitos dan fakta dalam sejarah supaya diasingkan dan diperkatakan secara logikal.

Dalam senario yang agak sama, boleh juga dibandingkan isu berhubung pendapat Prof Khoo dengan pendirian benar pihak berkuasa dalam usaha membanteras fahaman serta pegangan kepada elemen-elemen syirik di kalangan orang Islam.

Dalam banyak hal, disebabkan mitos, legenda yang dimanifestasikan melalui kepercayaan kepada keramat, saka, nenek moyang dan sebagainya amat bertentangan dengan Islam, tetapi masih tegar dipegang oleh sesetengah pihak.

Dapatkah kita melihat kaitan halus di antara kepercayaan kepada benda syirik berlapikkan tokoh-tokoh mitos yang kemudiannya menjadi sebati dengan pelbagai kepercayaan dan amalan karut? Memang ada.

Dalam hal Hang Tuah dan Hang Li Po, bukankah sekarang bukan masa sesuai bagi subjek tersebut diketengahkan dan dibincangkan melalui dialog dan simposium, seperti “Simposium Dunia Islam, Dunia Melayu”?

Bukankah pendekatan yang dicadangkan ini sesuatu yang sihat demi kemantapan sejarah negara?

Hang Tuah dan Hang Li Po mungkin wujud, tetapi seperti mana sifat yang terdapat pada rentetan sejarah lisan turun temurun, ia tidak dapat tidak sentiasa dihiaskan dengan pelbagai elemen berwarna-warni yang menjauhkan aspek-aspek realiti dengan perlakuan yang payah diterima akal waras.

2 comments:

Juasseh Cafe said...

sejarah berdasarkan fakta, tetapi fakta bukan semestinya kebenaran

Anonymous said...

Menurut Andaya (2002), Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi adalah pemimpin ulung kaum Orang Asli. Kekuasaan Orang Asli dalam pemerintahan Melaka serta kerajaan-kerajaan melayu yang lain mengalami kemerosotan dengan kematian ketiga-tiga tokoh ini. Pendapat ini dipetik dari Pagan Races of the Malay Peninsula, Macmillan, London 1906 karangan Skeat, W.William and C.O. Blagden.

Andaya juga memetik pendapat Juli Edo, seorang ahli antropologi dari etnik Semai yang mengatakan bahawa Hang Tuah dan Hang Jebat adalah Orang Asli. Hang Tuah ialah Orang Jakun (Winstedt, 1935). Hang Tuah dan keluarganya berpindah ke Hulu Perak selepas kematian Hang Jebat.