Saturday, January 14, 2012

Ambiga minta Pakatan tubuh badan pengampunan ‘ikan bilis’


Apabila permintaan sebegini datang daripada seorang tokoh guaman terkemuka seperti bekas pengerusi Majlis Guaman Malaysia Datuk Ambiga Sreevenasan, maka timbul pelbagai soalan penting yang perlu dijawab.

Bagi pemerhati politik, apa yang disarankan beliau itu lebih condong kepada usaha membentuk pendirian populis untuk manfaat Pakatan Rakyat yang kononnya memperjuangkan rakyat biasa.

Bagaimana pun, sebagai seorang pengamal undang-undang yang ketara berdiri teguh menyokong asakan pembangkang ke arah Putrajaya untuk membentuk kerajaan, pendirian tersebut amat memalukan.

Prinsip undang-undang sebenarnya tidak memilih bulu, dan jika yang ditangkap dan didakwa itu individu daripada golongan bawahan, maka proses undang-undang perlu dijalankan seperti mana yang perlu.

Usaha untuk menubuhkan satu badan 'bebas' bagi menggarap pengampunan pesalah ‘ikan bilis’ akan mewujudkan dwi-standard dalam pelaksanaan undang-undang di negara ini.

Selain itu, apa yang dicadangkan Ambiga seolah-olah mencerminkan minda perundangannya yang setengah masak hingga sanggup memikirkan hingga ke tahap itu.

‘Dalam hal ini, maksim ‘without fear or favour’ yang bermaksud mengambil pendirian tegas dan tidak berat sebelah seolah-olah sesuatu mainan yang hanya wujud sebagai prinsip sewaktu beliau mengikuti kursus undang-undang dulu.

Pada Ambiga, lembaga mitos ‘blind justice’ atau jika diterjemahkan secara literal bermaksud ‘keadilan yang buta’ dengan itu akan menjadi satu lambang sistem keadilan yang celik tetapi pincang.

Beliau patut sedar betapa statistik ‘ikan bilis’ seolah-olah lebih tinggi daripada statistik jumlah pertuduhan atau pendakwaan individu berprofil tinggi bukannya disebabkan sikap memilih bulu, tetapi disebabkan faktor kelicikan para peguam berpendidikan undang-undang sekular.

Dalam konteks ini, beliau juga perlu sedar betapa sebahagian besar daripada pengamal undang-undang lebih mengutamakan faktor keuntungan dan wang. Ini dapat dilihat apabila kita meneliti bagaimana para peguam sedaya upaya berusaha mencari kesilapan teknikal bagi memaksa mahkamah mengetepikan pertuduhan atau menggugurkan langsung sesuatu kes.

Paling baru kita menyaksikan betapa seorang tokoh berprofil tinggi dibebaskan daripada tuduhan salah laku kerana ketidakupayaan pihak pendakwa mengajukan bukti-bukti sokongan yang lebih sahih bersabit pertuduhan tersebut. Justeru, disebabkan peguam bela yang pernah menyatakan di parlimen bahawa bekas tertuduh itu sememangnya melakukan liwat menunjukkan betapa prinsip undang-undang seolah-olah dilacurkan.

Dan dari situlah kita dapat merasakan betapa prinsip keadilan tidak wujud pada ramai pengamal undang-undang masa kini. Yang lebih terserlah ialah usaha mereka untuk memperjuangkan kepentingan material atau sebagainya melalui kelicikan memanipulasikan proses undang-undang.

No comments: