Wednesday, December 28, 2011

Tokoh UMNO, Blogger Dipelawa Pembangkang


Kini timbul lagi khabar kononnya pembangkang menjemput orang UMNO menyertai barisan pembangkang.

Jemputan itu bukan dibuat secara rambang, tetapi ekoran kajian terperinci setelah sekian lama mengikuti nada kelantangan pihak yang dipelawa dari dalam UMNO atau BN.

Ura-ura bekas ADUN Pulau Manis, Pekan turut dipelawa menyertai DAP bertiup kencang sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Jemputan juga dipanjangkan kepada Aspan Alias, seorang ahli UMNO dan juga beberapa orang blogger lain.

Mohd Ariff yang mengendali blog sakmongkol.blogspot.com menjemput pelbagai kontroversi selepas tsunami PRU-12 pada 2008.

Bagi beliau, ada yang melihat apa yang tulisnya sebagai sesuatu yang konstruktif dan membangun kerana berani menegur kesilapan atau mengambil pendirian duri dalam daging bagi mencetuskan kesedaran dalam UMNO.

Tetapi sebahagian besar orang UMNO tidak selesa dengan apa yang dilahirkan dalam blog beliau, lantaran beliau dikatakan tidak berpegang kepada mentaliti berkumpulan dan menyisihkan diri daripada perjuangan.

Walau apa pun, Mohd Ariff hanya keseorangan berdiri di pesisir lautan UMNO, dan dalam situasi demikian beliau mudah sekali dianggap sebagai ancaman.

Jika didasarkan kepada betapa 'kesepaduan' yang ditonjolkan para perwakilan sewaktu Perhimpunan UMNO ke-26 baru-baru ini, Mohd Ariff boleh dianggap sebagai seorang 'Fifth Columnist' atau musuh dalam selimut.

Turut terheret dalam kontroversi, blogger Aspan Alias yang pada satu ketika dulu amat intim dikaitkan dengan Tengku Razaleigh Hamzah.

Kelantangan kedua-dua 'tokoh' UMNO yang berpendirian berbeza, terutama di alam siber tidak disenangi, walaupun ada yang berpendapat apa yang mereka luahkan tidak semestinya dianggap sesuatu yang boleh membinasakan UMNO.

Persepsi yang dikaitkan dengan mereka berdua begitu subjektif dan terpulang kepada penilaian seseorang.

Bagaimana pun, apabila persepsi diasak dan dibentuk oleh kekuatan ratusan ribu ahli UMNO, apa jua yang positif dengan cepat boleh bertukar menjadi negatif, dan dalam masa yang singkat Mohd Ariff dan Aspan Alias dilakarkan sebagai musuh dalam UMNO.

Mungkin cara mereka berjuang terlalu berbeza hingga menjadi satu macam 'kejutan budaya' kepada sebahagian besar ahli UMNO. Tetapi, apa pula impak dan persepsi mengenai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Najib Tun Razak apabila bukan sekadar meluahkan retorik, tetapi mempraktikkannya dalam bentuk keberanian memansuhkan proklamasi darurat, dan Akta Keselamatan dalam Negeri?

Najib juga boleh menjadi seperti Mohd Ariff dan Aspan sekiranya beliau tersisih di antara 'langit' dan 'bumi' seperti situasi yang dihadapi kedua-dua ahli UMNO dan blogger itu.

Bezanya di antara Najib dan mereka berdua, ialah diplomasi dan peradaban yang kental berpegang kepada sentimen Melayu. Ini sesuatu yang tidak mudah dipraktikkan, tetapi mungkin bagi Najib kualiti sedemikian lahir secara semula jadi.

Dalam bahasa Inggeris, kualiti tersebut ialah 'wisdom', atau kebijaksanaan. Mungkin inilah elemen yang kurang pada diri Mohd Ariff dan Aspan. Bagi Mohd Ariff, kepetahan dan penguasaan bahasa Inggeris yang hebat tidak dapat menandingi 'wisdom' yang sama ada wujud secara semula jadi atau tidak wujud sama sekali. Itulah hukum alam.

Berbalik kepada pelawaan yang dipanjangkan DAP. Bagi blogger-blogger yang juga mendapati ruang terbuka bagi mereka untuk menyertai platform 'perjuangan' pembangkang, isunya lain pula.

Dengar khabar mereka tersisih atau 'dianaktirikan' oleh pihak-pihak tertentu. Jika mereka pada mulanya dibela dan dijaga, tetapi apabila berlaku pertukaran dalam struktur-struktur tertentu dalam UMNO dan BN, mereka kini mendapati diri tersisih dan terdampar tanpa pembelaan atau dikenangkan jasa yang ditabur. Bagi mereka soalan yang timbul dalam benak, "Inikah dunia, atau inikah budaya dalam UMNO yang menyebabkan cemuhan berpanjangan?"

Jika berpandukan strategi dan 'wisdom' Sun Tzu, apa yang berlaku dan bakal berlaku bukan sesuatu yang boleh diketepikan dengan mudah.

Seperti pernah ditweetkan oleh seorang tokoh patriot @aloneandok, " they sideline these bloggers at their own peril…" (mereka akan menghadapi risiko berikutan penyisihan para blogger tersebut).

No comments: