Monday, December 5, 2011

Mohd Ariff Sabri Perli JASA, Asah Parang Musuh…


Tertarik membaca kupasan bekas ADUN Pulau Manis, Pekan, Pahang (BN), Mohd Ariff Sabri dalam laman berita alternatif ‘Free Malaysia Today (FMT)’ hari ini.

Pada kala amat ‘macho’ bagi sesetengah orang UMNO menjuarai pelbagai isu yang turut dikongsi perjuangannya bersama persekongkolan Pakatan Rakyat, dalam diri ini timbul persoalan apakah patut pendirian begitu dipupuk?

Pernah dengar dalam amalan seni persilatan, adalah pantang sekali pahlawan ‘mengasah senjata’ musuh menerusi kata-kata.

Bagaimana pun, rasional yang diberikan orang-orang UMNO ‘maverick’ seperti Mohd Ariff dan tidak kurang juga Saifuddin Abdullah, inilah hakikat yang perlu dihadapi.

Setuju. Ia hakikat dan ia realiti tetapi apakah ia pendekatan perjuangan yang baik?

Perjuangan yang baik menurut bijaksana ialah sekadar melihat dan mengambil iktibar secara senyap, tetapi jangan sekali-kali ‘mengasah senjata’ musuh.

Jadi, kembali kepada Mohd Ariff. Dalam artikel beliau di laman FMT itu, beliau mengulas wawancara TV3 bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Dalam wawancara tersebut Muhyiddin berkata pilihan raya umum ke-13 sesuatu yang amat mencabar bagi UMNO dan BN. Pendapat itu ditafsirkan Mohd Ariff sebagai akur kepada kenyatan.

Tetapi mungkin bagi menambah kepedasan untuk tujuan kebaikan atau sebaliknya, Mohd Ariff seterusnya berpendapat kemungkinan Muhyiddin enggan ‘diperdayakan’ oleh laporan terlalu bersifat optimis daripada JASA (Jabtan Hal Ehwal Khas Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan).

Mohd Ariff mentertawakan episod yang padanya amat melucukan itu, sambil bertanya sama ada laporan-laporan tersebut ditulis sewaktu pegawai-pegawai JASA sedang khayal minum kopi tiam, menikmati keropok lekor, atau semasa berada di keempukan katil sebelum tidur di rumah. Dia berkata mereka di ibu pejabat tidak mungkin akan dapat membezakan apa-apa pun yang ditulis dan dilaporkan.

Dia mengagak mungkin Muhyiddin juga sedang memikirkan tentang kawasannya di Johor.

Mohd Ariff memberikan gambaran agak gelap dalam hal ini apabila seterusnya menambah tentang bekas presiden MCA, Ong Kah Ting yang tidak akan bertanding, dan kerusinya mungkin akan diambil oleh pembangkang.

Inilah antara kupasan Mohd Ariff dalam konteks Johor sebagai kubu UMNO.

Senada dengan itu, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein, menurutnya akan beralih ke Kota Tinggi, dan ini bermakna Syed Hamid Albar juga tidak akan bertanding semula kerana beliau dianggap tidak lagi calon yang ‘winnable.’

Dan kerusi Sembrong juga akan lenyap, selain kawasan Bakri. Dr S. Subramaniam menurut Mohd Ariff, boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Segamat, sementara kerusi Pasir Gudang dilihat amat goyah.

Namun begitu, Mohd Ariff berkata Johor akan terus bertahan sebagai kubu UMNO, tetapi kali ini beberapa kerusi akan dirampas pembangkang.

Turut disenaraikan sebagai berisiko, termasuk kerusi Labis, Pulai dan Gelang Patah, sementara bagi Johor Baru pula, sekiranya Shahrir Samad tidak bertanding, kerusi itu juga akan terlepas.

Mohd Ariff berpendapat kesemua kerusi itu tidak mungkin diambil PKR, tetapi apa yang pasti DAP nampaknya sudah bersedia untuk menguasai sesetengah kerusi.

Dengan itu, menurut Mohd Ariff lagi, pembangkang nampaknya akan menambahkan bilangan kerusi parlimen mereka di Johor daripada satu buat masa ini kepada tujuh.

Bekas penasihat ekonomi, Tun Daim Zainuddin pernah meramalkan pada 2008 BN akan hilang lima negeri.

Tetapi, pada waktu itu ramai yang berkata Daim sudah tua dan apa yang dikatakannya tidak boleh diambil serius.

Bagaimana pun, kali ini Daim masih meramalkan perkara yang sama.

Apakah segala yang ditulis oleh Mohd Ariff Sabri itu sesuatu yang harus diterima?

Jika berpandukan ikrar yang dibuat perwakilan sewaktu majlis penutup Perhimpunan Agung UMNO 2011 pada Sabtu lalu, perspektif dan pendirian begini tidak seharusnya berlaku. Ini kerana pihak akar umbi yang telah memberikan mandat kepada perwakilan untuk bertindak bagi pihak mereka, sumpah perjuangan keramat itu perlu diterima, bukan begitu?

Oleh demikian, bukankah mesej yang sama akan disampaikan oleh perwakilan Pekan, Pahang kepada orang UMNO seperti Mohd Ariff Sabri?

Jika itu hakikatnya, memang tidak elok kita mengasah parang orang…

2 comments:

cinnamon.com said...

Assalamualaikum, salam kenal :)

cinnamon.com said...

Assalamualaikum, salam kenal :)