Saturday, December 10, 2011

Eloklah Tu!: Wakil Rakyat Perak Majoriti Kecil Sedia Undur


Wakil Rakyat Perak Menang Majoriti Kecil Dalam PRU Ke-12 Sedia Berundur:Zambry

Beberapa wakil rakyat Perak yang berkhidmat lebih daripada tiga penggal dan menang dengan majoriti kecil dalam pilihan raya umum ke-12 (PRU-12), telah menyatakan hasrat untuk berundur daripada bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kemenangan tipis itu menjadi indikasi terbaik kepada mereka berundur bagi memberi ruang peluang kepada generasi pelapis mengambil tempat.

"Yang itu memberi satu indikasi yang cukup baik kepada mereka untuk melihat bahawa dalam suasana (politik) kini dan saya nak beritahu bahawa mereka pun sedar, ada yang dah datang jumpa saya memaklumkan bahawa sudah sampai masa untuk mereka memberi ruang kepada generasi baru atau barisan pelapis.

"Mereka juga sedar kalau berkekalan tidak akan berlaku proses kesinambungan kepimpinan dalam kerajaan dan parti," katanya mengulas sama ada calon yang memperoleh kemenangan tipis dan berkhidmat lebih tiga penggal perlu dikekalkan atau sebaliknya pada PRU-13.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ke-57 di sini hari ini, Zambry bagaimanapun enggan menyatakan jumlah mereka yang bertemunya menyatakan hasrat sedemikian.

Mengenai bilangan penggal sesuai bagi seseorang menjadi wakil rakyat, beliau berkata ia tidak menjadi persoalan sebaliknya diukur dari aspek sejauh mana mereka diterima rakyat atas khidmat bakti yang diberikan.

"Tidak kira soal berapa penggal tetapi biasanya kita yang dah jadi pemimpin dah tahu berhenti walaupun atas alasan rakyat suka.

"Ada juga calon yang lama dan telah berkhidmat dengan baik, rakyat sendiri mahukan supaya calon ini kekal tetapi ramai juga (tidak mahu nafikan) yang mahu supaya mereka yang telah berkhidmat begitu lama memberikan ruang kepada generasi baru," katanya.

Mengenai laporan akhbar tiga wakil rakyat Umno di Perak yang menarik kembali hasrat untuk menarik diri daripada bertanding pada PRU-13, Zambry berkata mereka bukan menarik balik kenyataan sebaliknya hanya mengatakan bahawa bersedia sekiranya tidak dicalonkan tetapi bukan bermakna tidak bersedia untuk terus menjadi calon.

"Ini yang disebutkan oleh mereka tetapi kalau sekiranya tidak dipilih pun mereka telah menyatakan bahawa akan memberikan taat setia kepada parti dan memastikan Barisan Nasional akan berjaya di kawasan masing-masing," katanya.

Mereka ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Baharu, Datuk Hamidi Abu Bakar, ADUN Lintang, Datuk Ahamad Fakeh Adam dan ADUN Belanja, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan.

-Bernama

No comments: