Friday, December 16, 2011

Duri dalam daging bagi PAS, bonus bagi UMNO


Datuk Dr Hasan Ali dan sekutunya dalam PAS Nasharuddin Mat Isa jelas tidak digemari oleh kumpulan Erdogan yang masih di bawah payungan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat, walaupun sebenarnya mereka lebih berkuasa daripada veteran ulung PAS itu.

Bagi Hasan dan Nasharuddin, frasa ‘tak kisah’ seolah-olah masih kental kerana mereka sedar betapa kukuhnya sokongan yang diberikan kepada pendirian masing-masing dalam PAS. Ini memeningkan kepala walaupun berpandukan retorik yang kita dengar, parti tersebut juga mengambil pendirian yang sama – kononnya tak kisah kalau Dr Hasan berhasrat meninggalkan parti tersebut.

Aneh sekali keadaan dengan Dr Hasan kerana jika difikirkan, PAS yang mendabik dada sebagai parti yang memperjuangkan Islam dan sentiasa berusaha menegakkan syiar agama, sepatutnya berdiri teguh di sisi beliau dalam menyekat sebarang pencerobohan terhadap aqidah.

Bagaimana pun, apa yang berlaku berlainan pula apabila melihat ahli exco adat Melayu dan agama Islam Selangor itu disisih macam sampah oleh pucuk pimpinan PAS.

Alasan yang cuba diberi oleh ketua penerangan PAS Selangor Shaari Sungip kononnya Hasan digugurkan daripada senarai calon PAS Selangor kerana beliau
tidak mendapat pencalonan yang mencukupi daripada cawangan bagi melayakkan dirinya dicalonkan semula untuk kerusi negeri Gombak Setia yang dimenangi beliau pada 2008.

Ekoran penyisihan Dr Hasan itu, beberapa NGO Islam bergegas berdiri di belakang beliau bagi menunjukkan sokongan padu kepada seorang tokoh Islam yang gigih mempertahankan pelbagai inisiatif liberal dan songsang yang diasak oleh pembangkang.

Badan-badan Islam yang menyokong Dr Hasan turut mempersoalkan hak PAS menjuarai agama Islam, walhal hakikatnya parti itu tunduk mengikut telunjuk DAP apabila cuba menerapkan dasar bagi mengembalikan imej sebagai persada perjuangan politik Islam – atau sekurang-kurangnya itulah wayang yang dimainkan.

Berbanding para ulama dan elemen-elemen Erdogan dalam PAS kini, Hasan sebenarnya lebih layak menjadi pemimpin utama parti tersebut berbanding Nik Aziz atau Haji Hadi Awang.

Tidak dapat dibayangkan betapa butanya mata dan hati pengikut PAS hinggakan sanggup melihat kedaulatan agama Islam disisih di tanah air sendiri yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

Berhadapan dengan apa yang dianggap sebagai pendirian munafik kumpulan Erdogan dan para ulama yang tunduk di bawah telunjuk mereka, Hasan tidak gentar dan tidak berganjak sedikit pun daripada pendiriannya. Beliau terus mengecam mereka yang mengkritik beliau dan mengatakan sekiranya digugurkan pun beliau tak akan ambil kisah.

Begitulah kentalnya komitmen dan ketokohan seorang pejuang Islam.

Apabila melihat ketegaran positif Hasan berbanding situasi ‘hina’ para pemimpin yang menyisih beliau dalam soal mempertahankan syiar Islam, presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang pantas bertindak cuba menafikan pengguguran Hasan dengan alasan kononnya parti belum memutuskan apa-apa.

Tersirat pada tindakan menyisih Hasan dan Nasharuddin kerana mereka dikenal pasti sebagai antara tokoh-tokoh yang dikaitkan dengan usaha perpaduan Melayu bersama UMNO.

Selain itu, khususnya bagi kumpulan Erdogan dalam PAS, kehadiran Hasan dan Nasharuddin dalam parti itu menyulitkan usaha-usaha liberal persekongkolan pakatan rakyat untuk mengetengahkan dasar-dasar liberal dan kerjasama dengan DAP.

Kumpulan Erdogan yang sebenarnya tidak ambil kisah sama ada Islam timbul atau tenggelam, menganggap Hasan dan Nasharuddin sebagai duri dalam daging yang bertentangan dengan hasrat mereka untuk meyakinkan majoriti pengundi bukan Islam menyokong PAS pada pilihan raya umum ke 13 nanti.

Puak Erdogan licik bermain wayang dalam hal ini. Mereka masih berpendirian terbuka berhubung isu hudud, walaupun hakikatnya platform ideal mereka tidak lain daripada menyokong gerakan pluralisme agama dan penerapan liberalisme dalam Islam. Mereka masih berpaut kepada hudud bagi terus meyakinkan penyokong-penyokong Melayu/Islam.

Ini sesuatu yang berbahaya, dan UMNO sedar betapa ia boleh membakar diri sendiri. PAS sebenarnya sedang menyediakan arena untuk melakukan ‘harakiri’ politik demi memuaskan agenda DAP.

Mungkin inilah balasan kepada sikap mereka terhadap bangsa dan agama. Mungkin untuk mengatakan ia berdosa agak subjektif kerana pertama, itu urusan Allah, dan kedua, bagi mereka sendiri apa yang dilakukan sesuatu yang ‘dituntut’

Balasan yang bakal mereka terima mungkin berupa kehilangan ribuan penyokong setia yang mempersoalkan pendirian dan penerimaan kalangan Erdogan dalam memperjuangkan idealisme liberal serta sikap menyerah kepada bukan Islam.

Mungkin Dr Hasan dan Nasharuddin yang sejak sekian lama bersabar dengan sikap kumpulan Erdogan ‘mencucuk hidung’ para ulama PAS sudah tidak dapat membendung perasaan, lantaran mengetepikan landasan parti dan berdiri bertindak.
Mereka tahu agenda puak Erdogan yang telah membasuh pemikiran dan meruntuhkan pegangan orang seperti Nik Aziz yang dulunya amat bersemangat mempertahankan Islam, tetapi kini tunduk dan mengikut saja.

Mereka tidak juga sedar bahawa kumpulan Erdogan sebenarnya berhasrat membersihkan PAS daripada elemen-elemen yang menentang agenda mereka untuk membentuk satu agama Islam yang lemah bagi memudahkan usaha memanipulasi akidah.

Sehubungan itu, sekiranya Hasan atau Nasharuddin menyingkirkan diri atau disingkirkan, maka lebih kurang akan selesailah operasi pembersihan dalam PAS.

No comments: