Tuesday, December 20, 2011

‘Checkmate’ Hasan Ali, 'Kata Dua' Kepada Pucuk Pimpinan PAS


Terbaru, dalam apa yang dilihat sebagai pergerakan catur yang pintar dan licik, bekas pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali menggesa PAS jejaki kembali denai ke arah penubuhan sebuah negara Islam – tanpa dibebani biawak hidup, DAP.

Reaksi terbaru Hasan dilihat ramai pemerhati sebagai satu pergerakan strategik yang bukan saja boleh menyebabkan musuh-musuh beliau dalam kumpulan Erdogan PAS terkedu seketika, dan DAP terpinga-pinga sebelum terkial-kial mencari modal bagi mengubati perkembangan negatif terbaru ini.

Mungkin sejak beberapa hari kebelakangan ini DAP hanya menunggu, melihat dan berharap segala-galanya yang menggugat PAS berikutan penyisihan Hasan dan Nasharudin Mat Isa akan berlalu begitu saja, sama seperti yang berlaku secara luaran dengan isu hukum hudud tempoh hari.

Bagaimana pun, kali ini Hasan mengeluarkan senjata simpanannya dan mencabar PAS tampil telus menjejaki semula niat dan perjuangan asal bagi menubuhkan sebuah negara Islam.

Kenyataan terbaru Hasan pasti akan menyebabkan DAP, khususnya bekas Singa Jelutong Karpal Singh bangun menyergah dengan harapan Hasan akan takut dan tunduk seperti pemimpin-pemimpin PAS yang lain.

Tetapi, dengan Hasan rasanya Karpal bakal bertemu buku dengan ruas, kerana sejak daripada mula lagi, terutama jika memori beberapa bulan lalu boleh dihidupkan semula, Hasan tidak pernah berundur daripada pendirian beliau – seperti berhubung isu dakwaan usaha pemurtadan orang Islam di Selangor yang mencetuskan kontroversi pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor, JAIS ke atas gereja Damansara Utama Methodist (DUMC) di Seksyen 13, Petaling Jaya.

Dan hari ini Hasan bangun mengingatkan kembali tentang prinsip perjuangan PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam yang dicetuskan sejak parti tersebut menyertai persekongkolan dengan parti-parti pembangkang di bawah payungan Pakatan Rakyat.

Seperti yang pernah kita dengar apabila satu atau dua suara cuba mempertahankan agenda hudud PAS, seperti itu juga Hasan menegaskan perjuangan PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam sebagai sesuatu yang tidak boleh di bawa berbincang, walaupun ‘perjanjian keramat’ dalam Pakatan Rakyat mewajibkan mereka membelakangi matlamat tersebut demi menjaga hati DAP.

Beliau dengan lantang menuding kepada Karpal sebagai satu-satunya halangan bagi PAS merealisasikan matlamat berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu tidak berhenti di situ saja, malahan beliau mengecam rancangan bagi menubuhkan negara berkebajikan sebagai sesuatu idea yang sengaja diwujudkan puak Erdogan dalam PAS bagi mencairkan azam kukuh yang sejak sekian lama menjadi pegangan perjuangan parti tersebut.

Hasan berkata, "Untuk meletakkan asas negara Islam, kita perlukan ulama yang muktabar, berfikiran jauh dan dapat garap Islam dalam konteks kehidupan moden ini. Saya yakin satu masa dahulu ulama PAS telah berjaya meletakkan inti-inti agama dalam kehidupan masyarakat moden…”

Keras dan tegas apa yang diungkapkan beliau dan sekiranya para ulama seperti Musryidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Hadi Awang mempunyai ‘conscience’ atau suara hati, apa yang suarakan Hasan pasti akan menyusuk jauh ke dalam qalbu dan membuahkan kesedaran dan keinsafan.

Walau bagaimana pun, apa yang disuarakan oleh Hasan sebenarnya menggambarkan betapa PAS kini berada di persimpangan sempit yang amat payah baginya untuk berundur tanpa menjejaskan kredibiliti dan sokongan akar umbi.

1 comment:

Anonymous said...

Pemimpin2 PAS yang kutuk Datuk Dr. Hasan Ali semakin banyak mereka bercakap, nampak lebih bangang dia orang ni. Nak buat macam mana, yang duduk sebelah bagi nasihat dan panduan adalah ... terasa cock.