Friday, November 4, 2011

‘Sexuality Merdeka’: Apa Sebenarnya Yang Mereka Mahukan?


Pada dasarnya festival ‘Sexuality Malaysia’ yang berlangsung di Kuala Lumpur digambarkan sebagai “Satu-satunya festival yang meraikan hak asasi mereka yang mempunyai kepelbagaian orientasi seksual dan identiti jantina .”

Festival yang dilaungkan sebagai satu-satunya seumpama itu di negara ini diadakan sejak 2008. Bagaimana pun, kali ini ia dilihat cuba dipromosikan secara lebih bertenaga, apatah lagi dalam keadaan dunia diserang demam hak asasi yang bukan saja merentas sempadan, etnik dan pegangan spiritual, malahan cuba merangkumi apa saja tanpa had dan batasan.

Hak asasi manusia dijadikan pasport untuk melangsungkan apa saja agenda atau tujuan, tanpa mengambil kira lunas undang-undang, peradaban dan budaya yang dipegang sesuatu masyarakat. Ia bukan kerana Datuk Ambiga Sreevenasan antara yang membabitkan diri dalam festival tersebut, dan juga bukan untuk mendiskriminasikan mereka yang lain perangai.

‘Sexuality Malaysia’ diusahakan oleh gabungan pelbagai NGO, penggiat seni, aktivis dan individu, seperti Pang Khee Teik sebagai di antara pengasasnya.

Secara makro, kumpulan pelbagai orientasi seksual dan jantina ini wujud dalam masyarakat Malaysia dan sebenarnya sudah begitu lama ‘diterima’ tanpa perlu dijadikan isu.

Tetapi, sejak kebelakangan ini mereka ketara menyerlahkan diri tanpa mengambil kira sensitiviti dan sempadan agama yang menentukan kedudukan dan orientasi pegangan mereka.

‘Penerimaan’ yang dimaksudkan dalam konteks ini ialah penerimaan mereka yang bukan secara fizikal tergolong dalam kategori jantina laki-laki atau perempuan. Penerimaan tersebut, walaupun tidak menjadi isu besar kerana individu-individu sedemikian bukanlah sebenarnya makhluk asing, tetapi merupakan, abang, adik atau kakak di kalangan sistem kekeluargaan kita sendiri.

Berdasarkan premis inilah maka mereka sebenarnya telah lama ‘diterima’ Tetapi, apakah yang mereka mahukan sekarang?

Hak mengundi? Mereka tidak dibezakan dalam hal ini, sama juga dengan hak-hak lain, hinggakan imej mereka yang keterlaluan pun diterima masyarakat walaupun dengan hati yang agak berat. Itulah ‘liberalnya’ masyarakat di Malaysia mengenai kumpulan yang dewasa ini melabelkan diri sebagai LGBT (Lesbians, Gays, Bisexuals dan Transgenders) yang lantang memperagakan perbezaan mereka di jalanan dan di mana-mana saja.

Menyorot segala apa yang mereka perjuangkan, kita dapati mereka sebenarnya mahu supaya di benar melakukan apa saja menurut kehendak hati mereka tanpa disekat undang-undang dan norma-norma kehidupan masyarakat arus perdana.

Hakikatnya mereka mahukan perhatian. Apa tidaknya, kebanyakan daripada mereka seolah-olah merupakan pakej-pakej individu yang memerangkap ego, sentimen dan keinginan lain dari yang lain.

Tahap menonjolkan diri mereka lebih mengatasi jantina-jantina normal kerana seperti si lelaki yang inginkan ciri-ciri ‘kewanitaan’ atau perempuan yang inginkan ciri-ciri ‘kelelakian,’ mereka berasa terpaksa untuk menayang ciri-ciri luaran itu.
Lihat saja betapa yang perempuan mahu berlagak ‘sejantan’ yang boleh di khalayak ramai apabila berdamping dengan pasangan mereka, dan sebaliknya.

Sikap penonjolan dan lagak keterlaluan inilah yang menyentuh sensitivi ramai. Kenapa? Kerana sebahagian besar daripada pengamal pegangan songsang atau pemesongan seksual ini berada dalam keadaan tersebut dengan sengaja, walaupun pada dasarnya aspek-aspek fizikal mereka sejak mula dilahirkan adalah normal belaka. Mereka sengaja melayan fantasi kelainan seksual hingga terus tiba pada satu ketika mereka merasakan diri seolah-olah telah bertukar, justeru melayan desakan mahukan supaya identiti baru mereka itu diterima masyarakat.

Tiada keluarga yang menyisih atau membuang mereka. Tiada negara yang menarik balik taraf kerakyatan mereka dan tiada agama yang menyisih mereka. Mereka tidak kira semua ini, kerana mereka mahukan supaya dunia yang mengikut mereka, walaupun mereka adalah minoriti.

Lantaran disebabkan keinginan membuak-buak ini, mereka memperagakan kelainan mereka di jalanan dan mempengaruhi minda dan pemikiran orang lain supaya mengikut saya. Mereka mahukan agama dilenturkan supaya menerima amalan seksual mereka yang dilaknat dan dilarang berdasarkan hukum prokreasi sejak Adam dan Hawa.

Namun begitu, masyarakat masih menerima mereka. Mereka dibenarkan bekerja mengikut kelayakan tanpa didiskriminasikan. Malahan mereka boleh buat apa saja.

Yang disebutkan ini sekadar berlandaskan pegangan individualisme. Tetapi, di satu penjuru lagi kita melihat bagaimana mereka sebenarnya cuba mendiskriminasikan peradaban apabila bersatu untuk menggugat institusi-institusi masyarakat yang ‘established.’

Mereka dengan rakus melanggar pegangan hukum agama dan peradaban masyarakat dan mendakwa keengganan agama menerima perlakuan seksual pincang mereka sebagai diskriminasi hak asasi manusia.

Justeru, bagi mengukuhkan ‘perjuangan’ mereka itu, mereka membuka diri kepada pengaruh dan bantuan elemen-elemen politik yang seterusnya menggunakan sindrom pemangsaan diri mereka sebagai modal untuk menghentam dan menyerang norma-norma kemasyarakatan sedia ada. Mereka diterima berpersatuan di atas platform ‘liberalisme dan pluralisme’ Dan dari situ maka terserlah agenda sebenar mereka sebagai kumpulan merentasi sempadan global.

Dan di sinilah letak bahayanya.

1 comment:

KL BOYZ said...

Salam sejahtera, mohon dilink blog hamba disini. Blog LenggongValley telah dilink di blog hamba.
Terima Kasih.
http://klboyzwangsa.blogspot.com/