Monday, November 14, 2011

Najib Popular, Anwar Kurang Popular Kalangan Wanita


Baru-baru ini sewaktu sambutan perayaan Rumah Terbuka Deepavali 2011, beberapa orang yang hadir ditanya mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Soalan yang diajukan oleh akhbar The Star itu mendapat pelbagai reaksi yang kebanyakannya menyatakan sokongan padu kepada pimpinan Najib.

Tidak payahlah kita mengupaskan apa yang sememangnya positif itu kerana ia amat jelas. Bagaimana pun, ada di antaranya yang berkata mereka amat menyokong Najib tetapi mereka tidak menyukai Barisan Nasional (BN).

Jawapan sebeginilah yang perlu dikupas dan direnungkan. Apa yang diperkatakan para responden yang ditemui itu menggambarkan betapa ada di kalangan rakyat yang tidak sangsi dengan niat Najib untuk membetulkan negara melalui program transformasinya, tetapi apakah faktor yang menyebabkan mereka ‘tidak suka’ kepada BN?

Reaksi-reaksi sedemikian mengingatkan kita beberapa sorotan lewat tahun lalu yang menggambarkan Najib seperti pulau subur di tengah-tengah samudera yang dicemari kotoran.

Tajuk rencana dan analisis seperti ‘Najib is Alone’ (Najib Keseorangan) menjelaskan kepada kita kepayahan yang mungkin dihadapi beliau. Di sebalik kepayahan itu, hakikatnya kita tidak dapat menafikan betapa beliau berkorban demi rakyat dan negara, walaupun terpaksa mengharungi pelbagai tentangan dan cabaran.

Istilah ‘berkorban’ amat sesuai digunakan dalam konteks ini kerana sememangnya jika sekadar inginkan populariti Najib tidak perlu menentang arus. Bagaimana pun, beliau tekad dengan pendiriannya dan di sinilah kita melihat kaliber kepimpinan beliau.

Tetapi, apa yang menyebabkan sesetengah rakyat memberikan sokongan penuh kepada beliau dan membenci BN? Ini perlu dikaji secara mendalam, walaupun hasil ‘post mortem’ beberapa pihak, terutama sejurus selepas keputusan menggugat Pilihan raya Umum 2008 menyerlahkan banyak faktor.

Di kalangan rakyat, apa yang penting selain menyokong usaha mempertahankan kedudukan ekonomi mereka, ia aspek personaliti pemimpin dalam BN sendiri.

Mungkin dianggap picisan di kalangan pengkaji politik dan cendekiawan, tetapi persepsi kesombongan, sikap bongkak dan menunjuk-nunjuk di kalangan ahli politik BN di beberapa lapisan kepartian merupakan sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan. Ia boleh melonjakkan BN ke paras lebih tinggi atau menghumban parti itu ke tepian jalan.

Tetapi, bagi ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pula lain ceritanya.
The Malaysian Insider pada Isnin melaporkan betapa Pakatan Rakyat (PR) semakin kehilangan pengaruh untuk memenangi hati dan minda pengundi wanita, yang kebanyakannya menganggap beliau secara negatif.

Berlandaskan satu pengundian dalaman yang dilakukan PKR di empat buah negeri di semenanjung, hasilnya mendapati 56% daripada wanita lebih cenderung mengundi BN pada PRU akan datang berbanding 43% lelaki.

Senario berat sebelah ini juga menunjukkan 53% wanita berkata mereka tidak menyokong Anwar berbanding hanya 31% yang melihat beliau secara positif.

Sebanyak 69% daripada responden yang terdiri daripada wanita Melayu memandang serong terhadap bekas pemimpin UMNO itu, sementara hanya 24% menyatakan sokongan.

Sebaliknya, 50% daripada pengundi wanita mempunyai pandangan positif terhadap Najib, dengan 55% responden lelaki menyokong beliau.

Dalam pada itu, isteri Anwar dan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula lebih popular di kalangan wanita Melayu dengan 46% daripada mereka menyukai beliau dan 44% tidak.

Kajian tersebut juga mendapati PR disukai pengundi muda, dengan 54% mereka yang berumur di antara 21-29 dan 30-39 berkata mereka akan menyokong pembangkang pada PRU akan datang. Ini berbanding 43% dalam kumpulan mereka yang berumur 40 ke atas.

Selain graduan universiti, kajian tersebut turut mendapati tahap sokongan lebih tinggi terhadap PR di kalangan kumpulan berpendapatan sederhana dan tinggi.
Kumpulan berpendapatan RM3,000 ke bawah menunjukkan tahap sokongan lebih rendah terhadap PR.

Kajian PKR itu dilakukan dia antara 22 Ogos dan 15 September lalu dan membabitkan 1,000 pengundi di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Johor.

No comments: