Thursday, November 10, 2011

Macam Mat Rempit, Pakatan Buat ‘U-Turn’


Yang ini jelas tindakan populis. Persetan keperluan dan usaha mempraktikkan teori ekonomi yang kononnya demi untuk menyelamatkan negara.

Setidak-tidaknya itulah yang dirumuskan oleh pihak pembangkang berikutan beberapa aspek negatif dalam laporan Ketua Audit Negara 2010 baru-baru ini.

Bagi Pakatan Rakyat (PR) apa yang diumumkan dalam laporan tersebut seperti peluru berpandu yang boleh diguna untuk dipantulkan terhadap pihak musuh, iaitu kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN). Namun belum pun peluru mengenai sasaran ia terpaksa dibinasakan kerana ketelanjuran strategi.

Kini separuh jalan, setengah masak atau ringkasnya kecetekan menghalusi keadaan menyebabkan peluru tersebut dipantulkan balik untuk memakan diri.

Itulah yang berlaku sekarang kepada PR berikutan keceloparan membantai perkhidmatan awam yang dianggap terlalu ‘buncit’ dan dipenuhi dengan kayu-kayu reput.

Juga apabila berada di separuh jalan, tanpa menghalusi impak dan kesan strategi menghentam kakitangan kerajaan, mereka tiba-tiba tersentak apabila menyedari betapa kumpulan 1.2 juta orang penjawat awam merupakan ‘simpanan tetap’ mana-mana kerajaan yang memegang kuasa di negara ini.

Bagi sebahagian besar kakitangan awam, menyokong kerajaan yang memerintah satu hakikat yang tidak boleh dinafikan. Mereka berpegang kepada peribahasa ‘Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’

Setidak-tidaknya itulah harapan setiap kerajaan yang memerintah, dan dalam konteks ini sekiranya pembangkang berjaya membentuk kerajaan pusat selepas pilihan raya umum ke-13 nanti, peribahasa yang sama juga mungkin masih laku digunakan oleh pihak penjawat awam.

Disebabkan senario yang boleh mengundang bahaya kepada kedudukan pakatan itu, belum pun mereka melangkah memasuki gelanggang pilihan raya yang dijangka paling sengit nanti, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa membuat ‘U-turn’ mendadak sebagai ‘damage control.’

Beliau mengesahkan Pakatan Rakyat tidak akan mencantas atau mengurangkan jumlah penjawat awam. Kenyataan beliau itu sebagai menafikan laporan yang disiarkan oleh beberapa akhbar arus perdana pro-BN yang menyiarkan komen-komen yang dibuat oleh pemimpin DAP Tony Pua mengenai niat pembangkang mengurangkan jumlah kakitangan di sektor awam jika berjaya membentuk kerajaan pusat.

Bagi penulis ini apa yang dilakukan itu mencerminkan minda pembangkang, termasuk Anwar, yang sentiasa digambarkan sebagai seorang pemimpin yang ‘bersih’, ‘telus’ dan ‘patriotik’.

Kini apabila berhadapan dengan ancaman sebegitu yang bakal mengundang padah kepada perjuangan beliau, dengan pantas rancangan tersebut dihentikan hingga bergegas para blogger dan media pembangkang menerkam ke komputer masing-masing untuk mengusahakan ‘spin’ terbaru bagi membalikkan cerita yang terlanjur itu.

Di manakah pegangan Anwar kepada prinsip murni yang dilaungkan selama ini apabila terbaru beliau berkata “walaupun sememangnya ia wajar dilakukan di segi ekonomi, namun apabila berhadapan dengan realiti politik, ia tidak masuk akal.”

Apa yang dimaksudkan beliau, walaupun memang praktik rancangan mencantas saiz penjawat sektor awam, namun disebabkan betapa mereka diperlukan bagi membantu menegakkan kedudukan sesebuah kerajaan, pelan tersebut perlu ditarik balik.

Apakah namanya itu? Kemunafikan atau pendekatan wajar?

1 comment:

Bingai @ Bangang said...

Di manakah pegangan Anwar kepada prinsip murni yang dilaungkan selama ini apabila terbaru beliau berkata “walaupun sememangnya ia wajar dilakukan di segi ekonomi, namun apabila berhadapan dengan realiti politik, ia tidak masuk akal.”

Satu kenyataan yang menghina khidmat kakitangan awam! apakah saiz kakitangan awam yang besar hanya untuk berhadapan dengan realiti politik?