Tuesday, November 1, 2011

Apakah pendirian kerajaan berhubung PPSMI muktamad?


Yang mahukan supaya dasar PPSMI diubah sememangnya merupakan majoriti, tetapi rasional dan apa yang diluahkan kumpulan-kumpulan yang mahukan supaya dasar tersebut diteruskan perlu juga diberi perhatian.

Dalam hal ini. Elok juga bagi kita meletakkan kepentingan politik dan lain-lain yang menjurus kepadanya ke tepi terlebih dahulu.

Pertama yang perlu diperjelaskan, bagaimana Kementerian Pelajaran mahukan supaya pengajaran Bahasa Inggeris diperkukuhkan berdasarkan kepentingan lingua franca itu, sementara sekali gus mahukan supaya pengajaran mata pelajaran - mata pelajaran penting seperti Matematik dan Sains dilakukan dalam Bahasa Malaysia.

Meneliti persoalan ini, apa yang ingin didengar oleh mereka yang mahu supaya PPSMI dikekalkan ialah ke mana perginya pendirian konsisten visi nasional untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang 2020?

Konsisten dalam konteks ini ialah hakikat bahawa Bahasa Inggeris realiti yang perlu kita hadapi, seperti mana ia juga diterima pakai walaupun perit oleh beberapa buah negara Eropah, termasuk di Perancis, Belanda dan sebahagian besar negara-negara di Asia.

Di Perancis, rakyat negara itu begitu bangga dengan bahasa mereka, hinggakan penggunaan Bahasa Inggeris oleh mereka yang tidak memahami Bahasa Perancis dicemuh. Keadaan itu telah menimbulkan pelbagai kesan hinggakan tiba pada satu ketika mereka juga terpaksa akur kepada realiti bahawa Bahasa Inggeris lebih diterima pakai sebahagian besar dunia.

Dalam keadaan sebegitu orang Perancis terus mempertahankan bahasa mereka dan mempromosikan keunggulannya di peringkat antarabangsa. Ini merupakan strategi kerana dalam keadaan sejarah dunia berputar dan berulang, apa yang berada di bawah pada satu masa kelak akan berada di atas dan yang di atas akan ke bawah.

Orang Perancis sentiasa menaruh harapan bahasa mereka akan satu hari kelak mengatasi Inggeris, tetapi mereka sedar visi tersebut penuh dengan liku-liku memerlukan pemantapan dari dalam.

Begitu juga dengan Jepun dan Korea. Di Jepun mereka amat berbangga dengan nihongo, iaitu bahasa rasmi negara Jepun yang digunakan lebih 127 juta orang. Sejak sebelum perang dunia kedua Jepun tegar memegang kepada kedaulatan bahasa mereka hingga visi ke arah mencapai konsep 'Sfera Kemakmuran Meluas Asia Timur (Dai-t?-a Ky?eiken) yang diperjuangkan penjajah militer pada zaman pertumpahan darah perang dunia kedua itu turut diterapkan kepentingan memperkasakan bahasa Jepun di wilayah-wilayah yang ditakluki.

Generasi tua, termasuk bekas Perdana Menteri kita Tun Mahathir Mohamad sendiri pun pasti boleh menceritakan keadaan ketika itu apabila beliau bersama rakan-rakannya mungkin menyaksikan bagaimana rakyat Malaya dipaksa mempelajari Nihongo.

Beberapa dekad selepas perang, Jepun semakin sedar betapa visinya yang terlalu berpegang kuat kepada semangat samurai dan etika-etika kepahlawanan Jepun yang diterap di hampir seluruh pelosok masyarakat Jepun belum bersedia untuk menandingi pengaruh bahasa dunia. Justeru, orang Jepun semakin membuka mata dan hati untuk turut bergerak mengikut aliran popular. Seperti orang Perancis, pelonggaran pegangan bahasa itu tidak bererti bahasa ibunda mereka dikorbankan.

Pemantapan budaya kerja yang membawa kepada pelbagai kejayaan industri negara itu menjulang nama Jepun di persada antarabangsa hinggakan jenama-jenama seperti Honda, Toyota dan sebagainya yang dulunya dianggap hanya produk tin buruk, kini mampu menyaingi jenama-jenama lebih 'established' seperti Chrysler, Mercedes dan sebagainya.

Berdasarkan contoh di atas apa yang dapat kita rasakan di Malaysia?

Nyata, Jepun dan Perancis mengambil sikap proaktif dalam memperkasakan bahasa masing-masing. Tetapi, lebih daripada itu, pendirian tersebut bukan berdiri sendirian. Ia merupakan sebahagian daripada serampang dua mata strategi melonjakkan tanda tangan bangsa dan bahasa masing-masing melalui pengukuhan daya saing ekonomi negara di arena antarabangsa.

Erti segala ini ialah kesedaran kita untuk mentransformasikan psike (psyche) rakyat Malaysia supaya memperkasakan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan, dan pada masa sama berusaha secara serius meningkatkan tahap penguasaan bahasa antarabangsa yang, sama ada kita menyedarinya atau pun tidak, ialah Bahasa Inggeris.

Bagi menyokong premis di atas, ada suara-suara berpengaruh di Malaysia yang bertanyakan ke mana agaknya visi para pemimpin dan juga hala tuju negara ini jika bukan berasaskan penguasaan Bahasa Inggeris yang kini begitu jauh merosot.

Sejauh mana Malaysia dapat membangun jika bukan disebabkan kebijaksanaan lampau dalam mempromosikan pengajaran dan penggunaan Bahasa Inggeris?

Disebabkan inilah maka mereka melihat penolakan dasar PPSMI dilihat sebagai merugikan.

Juga hakikatnya, pendidikan merupakan hak asasi penting bagi semua. Memang mudah jika sebagai seorang ibu atau bapa kita tidak menghiraukan tentang mutu pelajaran yang anak kita peroleh kerana kita mampu menghantar mereka ke sekolah-sekolah swasta yang mahal atau ke sekolah-sekolah elit.

Tetapi, apa pula dengan mereka yang tidak mampu berbuat demikian? Apakah mereka akan terus terima saja apa yang ditawarkan walaupun ia tidak dapat menjanjikan kecemerlangan atau mampu membekalkan anak-anak kita dengan senjata bagai menyerlah di persada global kelak?

Jika ini berlaku, dan ia sememangnya sejak sekian lama berlaku, air mata penulis ini akan mengalir mengenangkan betapa anak bangsa kita keciciran. Tidak, mereka tidak akan ketinggalan. Mereka masih mampu menampung hidup, tetapi setakat mana, memandangkan tahap kecemerlangan membuka peluang tersedia untuk anak-anak golongan yang lebih berkemampuan.

Oleh yang demikian, eloklah dasar mengenai PPSMI diperkukuhkan lagi demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

1 comment:

kaynote said...

pening main tukar2 dasar ni.