Sunday, October 2, 2011


Pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan, Chin Peng kelmarin dilaporkan dalam keadaan nazak di sebuah hospital swasta di Bangkok, Thailand.

Berita itu bagaimana pun, tidak dapat dipastikan, lebih-lebih lagi apabila pada Ahad muncul peguam beliau Chan Kok Keong memaklumkan pemimpin PKM itu dalam keadaan sihat.

Tidak kiralah sama ada dia kritikal di hospital atau sihat, tetapi yang penting apa yang sedang berlaku dan akan berlaku berdasarkan legasinya.

Usia beliau begitu lanjut, dah melebihi 90 tahun tetapi ideologi Komunis yang dipegangnya dirasakan masih kental. Ini dapat dirasakan apabila kita melihat kepada pembelaan terhadap ‘perjuangannya’ di kalangan beberapa kelompok generasi muda di Malaysia sekarang ini.

PKM dan ideologi yang dipupuk seolah-olah diberikan nafas baru sejak beberapa tahun kebelakangan apabila diberitakan Chin Peng sering menjadi fokus perjumpaan di kalangan penyokong baru dan saki baki anggota pengganas PKM sama ada di Bangkok, Haadyai atau lain-lain lokasi di Thailand.



Dalam satu wawancara bersama seorang wartawan kanan akhbar terkemuka Bangkok Post, Achara Ashayagachat di Thailand pada 2009, Chin Peng pernah ditanya sama ada masih boleh ditubuhkan sebuah parti politik Komunis di Malaysia sekiranya pemimpin parti itu seorang Melayu.

Chin Peng menjawab sesiapa pun boleh menjadi pemimpin parti tersebut, tetapi buat masa sekarang ia dipimpin orang Cina.

Beliau seterusnya menambah akan menyerahkan kepimpinan (PKM?) kepada orang lain di masa akan datang kerana beliau tidak mahu memikulnya hingga akhir hayat.

Kalau dalam istilah perfileman, apa yang berlaku selepas wawancara itu dan sebelum berita terbaru kononnya Chin Peng dalam keadaan kritikal di hospital sejak beberapa hari lalu, akan dilabelkan sebagai ‘fade to black.’ Ia bermakna pengisahan tergantung begitu saja…

Banyak yang boleh ditafsirkan daripada kata-kata akhirnya dalam wawancara tersebut, dan satu daripadanya ialah kemungkinan PKM masih terus hidup walau pun Chin Peng sudah mati.

Daripada apa yang berlaku sebelum perhimpunan BERSIH 2.0 yang diharamkan tidak lama dulu di mana polis dikatakan telah merampas bahan-bahan berbaur Komunis di Pulau Pinang dan beberapa lokasi lain, kita boleh melewati semula hipotesis itu – bahawa PKM bernafas semula.

Oleh yang demikian dirasakan tidak terbabas atau salah bagi pihak polis bertindak, walau pun tindakan mereka dicemuh dan ditertawakan pembangkang kononnya kerajaan takut dengan bayang-bayang.

Rasanya apa yang dianggap momokkan itu bukan sesuatu yang kosong…ada kesahihannya.

Yang dipersoalkan di sini bukan ideologi yang boleh dipegang sesiapa sama ada secara terbuka atau tidak, tetapi elemen bahaya seperti yang digunakan PKM pada zaman Darurat dulu.

No comments: