Friday, October 21, 2011

Pelajar Afrika: Khalid Nordin Perlu Berpijak Di Bumi Nyata


Amat mudah bagi Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan kita tidak boleh menghukum 20,000 pelajar Afrika kerana hanya 66 orang membuat hal.

Pandangan sebeginilah yang sering kali dianggap rakyat sebagai terlalu mudah dan tidak berpegang kepada keadaan yang sebenarnya dirasai di bumi nyata.

Hakikatnya, jika Khalid sudi meninggalkan sebentar platform politik dan protokol yang tentu banyak memakan masa beliau sebagai seorang menteri dan turun ke padang untuk bertemu ramah secara empat mata dengan rakyat, kemungkinan besar perspektif beliau berhubung perkara ini akan bertukar.

Ambilah cuti ‘sabatikal’ walau pun sebentar dan kunjungilah ke kawasan-kawasan seperti Subang Jaya, Bandar Utama/Kayu Ara, Nilai dan sebagainya, beliau akan tentu sekali sedar betapa meruncingnya perkara ini.

Bagi memantapkan kredibiliti, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) tidak seharusnya memandang remeh masalah-masalah yang menggugat rakyat seperti ini. Statistik jenayah polis bukannya dituduh salah, tetapi keadaan sebenar terselindung disebabkan banyak faktor lain.

Walau pun bukan kesemua pelajar dari Afrika terbabit dalam jenayah, tetapi dengan mata kasar rakyat dapat melihat betapa cara hidup mereka di sini memandang enteng kepada undang-undang negara.

Bayangkan apa reaksi orang ramai apabila mendengar laporan mengenai seorang pensyarah universiti berhadapan dengan pelajar Afrika yang pada nama saja berdaftar di institusi berkenaan, tetapi tidak langsung menghadiri kelas, sebaliknya bergiat dalam aktiviti-aktiviti mencurigakan.

Apa reaksi dan perasaan apabila pelajar Afrika itu mencabar pensyarah tersebut dengan bertanya, “apa kamu boleh buat kerana kolej sudah ambil duit aku?”

Berhadapan dengan keadaan sebegini, apakah tangan pihak berkuasa terus terikat? Tidakkah boleh difikirkan secara ‘out-of-the-box’ atau menangani keadaan dengan cara lain selain mengetepikan saja masalah dengan berkata ia kejadian terpencil atau ‘isolated?’

Jika dibiarkan keadaan ini berlarutan, di manakah agaknya hala tuju negara dalam usaha menangani isu-isu lebih besar seperti pengedaran dadah, pelacuran, pengaruh sosial negatif, pemerdagangan manusia dan sebagainya di Malaysia?

Blogger ini tidak mahu melihat negara Malaysia dipandang serong walaupun ia sekadar tanggapan luaran seperti mana berlaku berhubung isu pembantu rumah yang semakin merebak membabitkan Cambodia dan Filipina.

No comments: