Friday, October 14, 2011

Mencari Pelesit...


Terlalu kerap petualang penggugat di Indonesia mencabar kesabaran Malaysia, hinggakan mencapai tahap yang mungkin membahayakan.

Bagaimana sekali pun, memang mudah sesetengah pemimpin mengatakan keadaan terkawal dan jangan dirisaukan sangat insiden-insiden sedemikian kerana ia sekadar dilakukan segelintir rakyat Indonesia dan bukan mencerminkan pendirian kesemua 238 juta orang penduduk republik itu.

Cukuplah dengan retorik. Tidak kurang ramai rakyat di Malaysia sudah mual dengan retorik-retorik yang diucapkan.

Bagaimana pun, rakyat Malaysia yang juga sudah muak dengan perangai buruk dan tidak bertamadun segelintir penggugat diplomatik di Indonesia itu, masih mahu berpegang kepada tatasusila, seperti mana tatasusila juga menjadi antara asas falsafah kenegaraan Indonesia, iaitu Pancasila.

Premis ini jelas diperturunkan pada bahagian kedua dokumen tersebut yang menekakan ‘SILA KEMANUSIAAN YANG ADIL DAN BERADAB’

Oleh itu, berpandukan falsafah tersebut kita di Malaysia ingin bertanya ke mana perginya pegangan terhadap ‘peradaban’ apabila tindakan biadab dan rakus yang dalam insiden terbaru mengancam kekebalan perwakilan diplomatik kedutaan Malaysia di Jakarta?

Munafik benar mereka yang berhimpun dalam demonstrasi itu menggugat hingga mencederakan anggota keselamatan bangsa sendiri yang ditugaskan menjaga ketenteraman. Lebih munafik lagi apabila mereka dengan bangga mengibarkan bendera ‘Sang Saka Merah Putih’ yang hakikatnya merupakan manifestasi falsafah ‘SILA KEMANUSIAAN YANG ADIL DAN BERADAB’ seperti yang terpahat pada pegangan keramat Pancasila.

Cukuplah dengan retorik, lebih baik kita di Malaysia mencari jalan untuk menangani masalah berkenaan, tanpa perlu semata-mata bergantung kepada retorik ahli politik di sini untuk apa jua yang tersirat.

Di antara pendekatan segera yang perlu di ambil ialah berhubung pengambilan pembantu rumah dari Indonesia. Cukuplah sampai di sini.

Kita akur betapa pernah berlaku kebiadaban rakyat kita yang mendera dan bertindak zalim terhadap seorang dua orang pembantu rumah Indonesia. Ia merupakan kesalahan jenayah yang tidak mengecualikan sesiapa pun di Malaysia. Keadaan di sini tidak seperti di sesetengah negara Timur Tengah yang langsung menafikan hak asasi pembantu rumah Indonesia dalam satu dua insiden.

Kita juga akur dan masih bersabar apabila keganasan yang dihalakan kepada kedutaan kita di Jakarta sebenarnya disebabkan isu sempadan yang tidak seperti didakwa mereka.


Oleh itu, apa kata di Malaysia kita membelakangkan kemasukan pembantu rumah Indonesia? Kita bertindak lebih keras dan segera ke atas mereka yang berada di sini secara haram dan mereka yang banyak menyebabkan kadar jenayah ganas meningkat, walaupun statistik polis menunjukkan sebaliknya.

Kita jangan lagi menghantar pelajar kita menuntut di Indonesia. Kita larang usaha sama perniagaan di bumi mereka selagi kepimpinan nasional Indonesia tidak bertindak tegas terhadap segelintir manusia yang menggelar diri ‘pejuang’ rakyat Indonesia.


Merekalah ‘pelesit’ yang dimaksudkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Pelesit yang cuba sedaya upaya menghancurkan titi silaturahim di antara kedua-dua negara.


Lebih daripada itu, kita melihat ‘pelesit’ lebih besar yang begitu nyata di depan kita, iaitu sikap kealpaan dan lemah mengambil tindakan ke atas anasir-anasir pincang di Indonesia itu.

Mungkin mereka merupakan penunjuk perasaan upahan yang sanggup melakukan apa saja demi sesuap nasi atau sedikit sebanyak duit saku bagi memenuhi agenda rakus dan populis sesetengah ahli politik di negara itu. Atau mungkin juga mereka menjadi sasaran yang mudah diperalatkan oleh elemen-elemen politik di Malaysia sendiri yang mahukan sesuatu berlaku supaya mudah dicatur keadaan demi agenda tertentu. Atau mungkin juga mereka didorong, diupah atau disalah asuh oleh anasir-anasir tertentu di Barat supaya mengganggu gugat keharmonian di rantau ini bagi tujuan dominasi mental dan politik?

Walau apa sekali pun kaedahnya, kita di Malaysia boleh melakukan sesuatu, dan melakukannya segera tanpa melanggar peradaban dan kemanusiaan.

3 comments:

anti bohmau said...

'pelesit' biasanya ada tuannya. cari siapa tuannya dulu, baru boleh hapuskan pelesit tu...

mrk hanya mencari sesuap nasi dgn menjadi pelesit gitu....

Anonymous said...

keluarkan pati 2 dulu, jangan sampai jadi kerajaan Troy.

Cloud 9 said...

Nice post