Friday, October 28, 2011

Barat pengaruhi kita tentang hari-hari akhir Gaddafi


Tanpa disedari ramai di antara kita, persepsi tentang rentetan peristiwa berhubung hari-hari terakhir Muammar Gaddafi lebih dicorakkan agenda terselindung kuasa-kuasa barat.

Walau pun kita tidak dapat menafikan bibit-bibit yang mencetuskan kebangkitan rakyat terhadap pemerintah Libya itu, namun realitinya segala-gala lakaran mengenai keburukannya ditenggelamkan pelbagai imej hitam yang sengaja diperbesarkan seperti mana berlaku di negara-negara sasar lain.

Dalam krisis perang saudara untuk menggulingkan Gaddafi dan mencorakkan semula sejarah moden Libya itu, di mana seharusnya diletakkan batasan di antara segala yang baik dan kejahatan? Atau apakah sebenarnya label ‘pertukaran rejim’ dan ‘kebangkitan rakyat’ benar-benar bertujuan untuk melindungi negara itu?

Rakyat Libya lebih mengetahui segala-galanya kerana mereka yang mendakwa dirundung kesengsaraan buat sekian lama di bawah pemerintahan kuku besi Gaddafi dan konco-konconya.

Apabila beliau dibunuh selepas ditawan oleh gerila Majlis Transisi Nasional (NTC) di bandar Sirte pada Khamis minggu lalu, dunia disentak pelbagai reaksi.

Liputan media arus perdana antarabangsa hanya fokus kepada tema penggulingan seorang pemimpin yang amat zalim yang dilukis umpama kejayaan segala yang baik dalam menundukkan kejahatan.

Gaddafi mengambil alih kepimpinan Libya dalam satu rampasan kuasa tidak berdarah apabila berjaya mengetepikan pemerintahan beraja yang dipatungkan British pada 1969.

Bagaimana pun, era pemerintahan beliau digenangi pelbagai insiden tumpahan darah yang ganas dan brutal.

Pengeboman penerbangan Pan Am 103 di ruang udara Lockerbie di Scotland pada 1988 yang mengorbankan 273 orang penumpang antara paling didendamkan banyak pihak.

Terdahulu, pada 1986, Gaddafi dikatakan telah mengarahkan serangan bom ke atas sebuah kelab malam di Berlin, Jerman, yang menyebabkan dua orang terbunuh dan lebih 50 orang lagi cedera.

Kedua-dua serangan itu betul-betul mencabar kesabaran Amerika Syarikat hingga mendorong Presiden Ronald Reagan mengarahkan pelancaran serangan udara ke atas istana Gaddafi.

Pada 1996, Gaddafi juga dituduh mengarahkan pembunuhan beramai-ramai membabitkan 1,200 orang banduan di penjara Abu Salim di Tripoli, yang antara lain turut menempatkan mereka yang mengkritik dan membantah cara Gaddafi memerintah Libya

Tetapi, apa yang digambarkan setakat ini keganasan dan aspek-aspek negatif pemerintahan Gaddafi. Apa pula dengan jasa beliau dalam usaha membasmi kemiskinan dan pembangunan infrastruktur pendidikan dan kesihatan negara itu?

Pembangunan di Libya amat berbeza daripada kebanyakan negara-negara dunia ketiga yang berada di bawah sistem ‘demokrasi’ ala barat dalam konteks program-program penstrukturan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Segala pencapaian itu meletakkan Libya di antara tahap tertinggi berbanding negara-negara lain di Afrika. Malahan Libya dilihat sebagai sebuah negara yang kaya dengan pelbagai kemewahan yang hanya dapat dimimpikan oleh rakyat di negara-negara lain, termasuk tahap hak wanita lebih tinggi di antara negara-negara Arab.

Di Libya tiada sistem peminjaman wang berdasarkan riba’ atau sindiket-sindiket cekik darah kerana Gaddafi memastikan pinjaman dapat diperoleh oleh setiap warganegara tanpa dikenakan faedah oleh bank-bank milik kerajaan.

Di samping itu hak untuk memiliki rumah yang dikira sebahagian hak asasi rakyat Libya, membolehkan pasangan yang baru berkahwin diberikan 60,000 dinar (kira-kira AS$50,000 atau RM155,000) oleh kerajaan bagi membeli rumah pertama mereka.

Sebelum Gaddafi mengambil alih kuasa, hanya sekitar 25% rakyat Libya celik huruf, tetapi kini 83% daripada bilangan penduduk seramai 6.4 juta terdiri daripada graduan universiti.

Bekalan elektrik pula diberikan secara percuma untuk semua, sementara para petani diberikan tanah, rumah, jentera pertanian, benih tanaman dan haiwan ternakan bagi memulakan usaha mereka, tanpa kos.

Rakyat Libya yang membeli kereta diberikan subsidi 50%, petrol pula dijual pada harga AS$0.14 (44 sen) seliter.

Negara Libya tidak dibebani hutang luar dan sebaliknya mempunyai simpanan berjumlah sehingga AS$150bil (RM469bil), yang sekarang dibekukan oleh negara-negara barat NATO – pertubuhan yang memimpin serangan udara ke atas rejim Gaddafi.

Persoalannya di sini, apakah dari sudut moral dan undang ‘peperangan’ itu sah?

Kesemuanya telah dirancang atau seperti retak menunggu belah apabila Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan terburu-buru meluluskan dua resolusi ke atas Libya berdasarkan dakwaan yang belum tentu sahih kononnya Gaddafi sedang ‘membunuh rakyatnya di bandar Benghazi.’

Bagaimana pun, bermula dengan peranan ‘terhad’ berdasarkan prinsip ‘Tanggungjawab untuk Melindung’ (R2P) yang dibenarkan oleh PBB, peranan NATO dilihat lebih fokus kepada matlamat sebenar, iaitu menjatuhkan dan seterusnya menggantikan rejim Gaddafi.

Apa yang berlaku, lebih 3,000 orang rakyat Libya terbunuh, sementara ribuan orang awam terpaksa meninggalkan rumah dan kampung halaman berikutan lebih 9,000 serangan udara yang dilancarkan pesawat-pesawat negara luar.

Berikutan itu bandar-bandar , jalan raya, sistem bekalan air dan elektrik dimusnahkan.

Tindakan di bawah prinsip R2P merupakan campur tangan ketenteraan bertujuan menyusahkan negara itu – supaya terpaksa berhutang dengan barat, umpamanya di bawah pengawasan institusi seperti Bretton-Woods yang berpusat di Washington, Amerika Syarikat.

Ironinya, setelah berjaya mengambil alih kekayaan sumber minyak Libya serta segala aset kewangan di seberang laut, negara-negara barat kini mula menawarkan pakej pinjaman bagi Libya ‘membina semula’ negara itu.

Segala ini amat ketara, tetapi disebabkan kita begitu taksub mempercayai agenda yang dipaparkan media barat hingga mempercayai segala-galanya dari barat, maka kita payah untuk menggambarkan betapa jahat dan liciknya agenda kuasa asing ke atas Libya.

Segala kekejaman Gaddafi kini digantikan dengan kekejaman yang lebih ‘berhemah’ oleh petualang-petualang barat.

No comments: