Friday, October 7, 2011

Bajet Puting Kosong, Bajet Kartun


Kira-kira 33 tahun lalu saya bertugas di Kota Bharu, Kelantan. Masih saya ingat bagaimana pada setiap pagi orang ramai yang keluar sama ada ke tempat kerja atau untuk ke pasar akan bertemu dengan seorang tua yang lengkap beruniform, bertopi komando penuh dengan lencana, siap dengan wisel, tercegat berdiri mengawal trafik yang menghala ke bangunan PAS , depan Bangunan Tabung Haji. Tidak seorang pun yang mengambil peduli kerana dia sebenarnya kurang siuman.

‘Fast forward’ ke hari ini. Beberapa hari lalu insiden yang agak sama berlaku di Parlimen apabila seorang bekas Menteri Kewangan yang pernah 16 tahun dalam kerajaan melakukan perkara yang sama seperti apa yang dilakukan orang tua di Kota Bharu itu.

Bagaimana pun, karakter yang dibawa bukan sebagai polis trafik, tetapi sebagai Menteri Kewangan membentangkan Bajet 2012 Pakatan Rakyat yang tidak mendatangkan kesan walaupun dipenuhi dengan pelbagai janji manis.

Dikira kalau dilaksanakan apa yang terkandung pada bajet pakatan tiada lagi rakyat Malaysia yang miskin, terutama di Permatang Pauh yang dikuasai beliau turun temurun sejak 1959 apabila ayah beliau Ibrahim Abdul Rahman menjadi wakil rakyat pertama bagi kerusi parlimen Seberang Tengah.

Dalam senario di parlimen baru-baru ini yang berbeza dengan orang tua di Kota Baharu itu ialah penonton dan pendengar. Tidak kurang ramai juga yang hadir mendengar pembentangan bajet kartun tersebut, termasuk seorang bekas Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) serta seorang Ahli Parlimen veteran yang pernah 42 tahun menjadi ahli parlimen, dan seorang bekas pensyarah ekonomi lulusan Universiti Oxford, yang berkelulusan Imperial College, University of London.

Mimipi Kuasa

Anehnya Ahli parlimen veteran itu pernah menjadi musuh ketat bekas Menteri Kewangan berkenaan. Kali ini dia turut diperbodohkan apabila beliau pada tahun lepas mengisytiharkan diri ‘sebagai Perdana Menteri,’ lantaran mencetuskan keterujaan hingga ramai yang berangan-angan melihat diri masing-masing sebagai menteri itu, menteri ini dan setiausaha politik.

Ceritanya tidak habis di situ saja. Di dalam Dewan Rakyat kini ramai wakil rakyat PAS, terutama dari Shah Alam dengan angkuh merasakan diri mereka benar-benar berkuasa. Mungkin mereka begitu yakin dengan Bajet Kartun yang dibentangkan pemimpin kesayangan mereka.

Bajet kartun yang dibentangkan itu merupakan bajet atas angin bernilai RM220 bilion, kurang RM14 bilion daripada apa yang dibelanjakan kerajaan barisan Nasional (BN).


Ada Musang Berbulu Ayam?

Agaknya ada musang berbulu ayam di Kementerian Kewangan yang membocorkan maklumat sebelum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentang Bajet 2012 pada Jumaat. Jika benar berlaku sedemikian, persoalannya apakah ia tidak bertentangan dengan piagam yang menjanjikan keterampilan berhemah, telus dan bertanggung jawab?

Dan di pihak bekas Menteri Kewangan itu pula kerakusan beliau memperlekehkan orang lain di atas persepsi beracuankan pelbagai retorik sinis sepanjang 16 tahun berada di dalam kerajaan seolah-olah dialah pemimpin paling bersih.

Di kalangan mereka yang tidak mengenali bekas menteri Kewangan itu, sikap beliau mudah memperlekehkan orang dan menganggap diri sebagai ‘maha tahu’ amat asing sekali. Tetapi bagi yang tahu asal usul beliau yang dulu hanya seorang guru mengajar Kertas Am di Yayasan Anda hinggalah dibawa masuk menyertai UMNO pada 1982, mereka tidak akan terikut-ikut.

Bekas Menteri Kewangan itu tidak pernah mempunyai pengalaman bekerja di mana-mana organisasi besar selain pertubuhan belia yang mendapat geran bantuan kerajaan.

Sebahagian besar Bajet Kartun yang dibentangkan tidak lebih dari platform membelasah mantan Perdana Menteri dan PM sekarang. Bekas Menteri Kewangan itu lupa sewaktu beliau menguasai Kementerian Kewangan, negara nyaris terjerumus menjadi keldai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Mujurlah beliau sempat dipecat daripada kerajaan.

Apahal dengan Kroni-Kroninya?

Beliau juga lupa segala kerosakan yang telah beliau lakukan, bermula dengan pengambilalihan New Straits Times dan TV3 oleh rakan karib beliau, Nazri Abdullah, Mohd Nor Mutalib, Kadir Jasin dan Khalid Haji Ahmad oleh syarikat RealMild yang hanya bermodalkan RM100,000 hingga mampu menguasai sebuah syarikat bernilai RM800 juta menggunakan syarikat MRCB yang dikuasai Kumpulan Hong Leong.

Kawan kita ini agaknya sudah lupa bagaimana MRCB menguasai Sikap Power yang berjaya mendapat lesen penjana tenaga bebas (IPP) dan seterusnya membina stesen jana kuasa bernilai RM3.5 bilion. Mungkin kerana terlalu kerap makan kari kepala ikan ‘nyok-nyok’ beliau lupa sepanjang menjadi Menteri Kewangan beliau sama-sama terlibat memluluskan projek penswastaan, 12 projek BOT, lapan projek Management Contract, tiga projek Management Buy-Out, sembilan lesen termasuk loteri, IPP, Satelit dan Telekomunikasi dan Pengkorporatan enam buah agensi kerajaan.

Kebanyakan daripada aktiviti tersebut secara langsung membabitkan rakan-rakan beliau yang mempunyai kepentingan dalam IWK, penswastaan POS, Radicare dan beberapa buah projek di bawah MRCB. Beliau juga mungkin.

Banyak dari aktiviti di atas melibatkan secara langsung sahabat-sahabat beliau termasuk IWK, penswastaan Pos , Radicare dan beberapa projek di bawah MRCB. Beliau juga mungkin lupa gelaran ‘bapa pink forms’ yang diberikan kepadanya, kerana sewaktu penguasaan beliau dalam kerajaan begitu banyak ‘pink forms’ dikeluarkan bagi penyenaraian syarikat-syarikat seperti TNB, HICOM, Petronas Dagangan, Petronas Gas.

Kesemuanya membabitkan rakan karib beliau dalam ABIM, termasuk Ahli Parlimen Tumpat yang semasa menjadi Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri amat rapat dengan Joseph Chong, Vincent Tan dan menjadi pengarah di dalam berpuluh buah syarikat termasuk Westmont, Sabah Shipyard , Linear City dan sebagainya.

Nama-nama seperti Ishak Ismail, Nazri Abdullah, Salamon Selamat, Sarit Jusoh, Kamarudin Md Nor, Tong Koi Ooi , Kwek Len Chan, dan Vincent Tan sering dikaitkan dengan sahabat-sahabat beliau. Beliau juga lupa ketika berkuasa, ayah beliau sendiri menjadi Pengerusi IOI, saudaranya menguasai syarikat tersenarai seperti Penas, dan bapa mertuanya menjadi Pengerusi Stamford College. Malah ramai di kalangan pemimpin PAS dan PKR yang menjadi Setiausaha Politik dan Pegawai Khas turut menumpang kekayaan tak sepadan dengan gaji mereka yang tak sampai pun RM 10,000 sebulan. Mereka inilah yang bercakap tentang ketelusan, anti rasuah; bak kata pepatah, berkokok berderai derai, ekor penuh dengan tahi.

Menteri Kewangan Pasir Berdengung ini yang juga mempersoalkan tentang monopoli lesen teksi, lupa bahawa salah seorang kawan baik beliau juga terlibat dalam Airport Limo, sebuah kontrak yang diluluskan semasa beliau berkuasa.

Amat memalukan apabila beliau mempersoalkan tentang anak mantan PM yang menguasai syarikat berkaitan Petronas. Beliau lupa bahawa sahabat karib beliau juga pernah mendapat kontrak jangka panjang FPSO bernilai puluhan bilion dan sekarang tersenarai sebagai syarikat awam.

Beliau juga lupa projek bernilai berbilion ringgit projek diberikan kepada syarikat-syarikat seperti Abrar, Lankhorst, Projas, termasuk projek KLIA , PLUS , serta hospital yang hampir kesemuanya gagal.

Beliau juga tidak perlu mempersoalkan RM52 bilion saham awam yang diberikan kepada pelabur Bumiputera, kebanyakannya semasa beliau menjadi Menteri Kewangan. Kalaulah saham-saham seperti HICOM, TNB, dan Telekom yang ketika itu ditawarkan dengan harga begitu tinggi, apa akan terjadi dengan harga pasaran sekarang yang tidak sampai 50% daripada harga tawaran?

Beliau patut berbangga kerana pemegang saham telah mengaut keuntungan semasa harga melambung tinggi dan mereka terlepas daripada membayar balik kepada bank. Tidak seperti ramai rakan beliau yang tamak menguasai saham dalam syarikat awam, tetapi kini ramai yang sudah tidak keluar rumah dan tak kurang juga yang sudah berhijrah ke luar negara membawa harta yang mereka rampas.

Persoalkan Akta

Agak memalukan bila bekas Menteri ini mempersoalkan pelbagai Akta, seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Media Cetak , OSA dan AUKU. Beliau berada selama 16 tahun di dalam kerajaan, termasuk sebagai Menteri Pelajaran tetapi tidak punya keberanian meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti berbanding Khalid Nordin yang walaupun tak sepetah beliau, tetapi masih berani meminda akta tersebut.

Pengumuman PM meminda beberapa akta KDN, Akta Media Cetak dan beberapa lagi akta yang akan turut dimansuhkan menunjukkan betapa beraninya kerajaan membuat perubahan drastik, sesuai dengan kehendak majoriti rakyat yang selama ini terus memberi sokongan kepada BN. Malah usaha PM membuat perubahan dengan memberikan keutamaan kepada rakyat bawahan dengan pembukaan Kedai 1Malaysia, Klinik Rakyat, tambahan peruntukan untuk Amanah Ikhtiar, kenaikan gaji tentera, polis dan bonus kakitangan awam, menunjukkan rakyat bawahan menjadi kumpulan sasar, termasuk kakitangan awam dan kakitangan beruniform yang majoriti kaum Bumiputra.

Tak perlulah Bajet Kartun beliau menjanjikan pelbagai insentif untuk kakitangan awam, guru, suri rumah dan warga emas. Seharusnya ini dilakukan semasa beliau punya kuasa, bukan semasa beliau sudah tidak punya sebarang kuasa seperti sekarang. Cumanya mimpi berzina tidak berdosa, begitu juga berjanji syurga tidak salah kerana tidak mungkin tercapai dari segi realitinya.

Agak menghairankan juga apabila beliau mempersoalkan kredibiliti Suruhanjaya Pilihan raya dalam bajet atas angin yang dibentangkan beliau. Beliau lupa sejak 1959 Parlimen Permatang Pauh sendiri sering bertukar tangan bermula dengan ayah beliau pada 1959 dan 1964, kemudian diambil alih oleh Mustapha Husin dari Parti Gerakan pada 1969, Arifin Daud dari BN pada 1974 dan kembali semula kepada Haji Zabidi mewakili PAS pada 1978.

Bermula dari 1982 apabila Tun Mahathir membuat kesilapan besar menerima beliau ke dalam UMNO, kerusi parlimen tersebut kembali menjadi milik keluarga beliau di mana isteri beliau menjadi Ahli Parlimen semasa beliau berehat di sungai Buloh atas tuduhan liwat. Ia kembali menjadi milik sementara jawatan isterinya sebagai Presiden PKR diminta mengosongkan Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan beliau menjadi PM.

Kalaulah Suruhanjaya Pilihan raya tidak telus, apakah mampu calon Gerakan , PAS dan PKR menang di Permatang Pauh? Apa kah mampu Pakatan Pembangkang menang di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan? Sepatutnya mereka perlu sedar kenapa rakyat Terengganu menolak mereka pada 2004 selepas mereka menutup Tadika, merampas tanah untuk di faraidkan kepada penyokong mereka.

Sepatutnya pengundi Kelantan sedar setelah 20 tahun mereka dibuaikan dengan janji syurga hingga bekalan asas seperti air pun tak dapat Kerajaan negeri sediakan , inikan pula soal yang lebih rumit seperti Hudud. Seharusnya mereka perbetulkan Undang-undang Keluarga Islam Kelantan, selesaikan soal cerai berai, dan masalah sumbang mahram yang makin ketara.

Sepatutnya kerajaan negeri berusaha melatih 10 orang setahun doktor pakar sakit puan dari kalangan wanita Islam Kelantan. Jika itu dilakukan bermakna sudah ada 200 pakar sakit puan Islam di Kelantan dan tidaklah isteri mereka yang bertutup di atas tetapi terbuka di bawah semasa pemeriksaan sewaktu mengandung dan melahirkan anak. Ini yang sepatutnya di suarakan oleh Wakil Rakyat PAS daripada memikirkan tentang hal-hal yang tak mampu mereka laksanakan.

Bagi saya bajet Mat Jenin yang beliau bentangkan tidak lebih daripada menyuap puting kosong kepada anak - walaupun syok menghisap tapi tidak bersusu, sekadar menelan air liur sendiri. Malah kalau tidak dibasuh menambahkan kembung perut kanak-kanak tersebut.

Anehnya ramai wakil rakyat PAS dan DAP sanggup diperbodohkan dengan Bajet Puting Kosong tersebut walaupun ramai di kalangan mereka terdiri dari kalangan peguam, pakar ekonomi dan lulusan Pengajian Islam. Walhal kalaulah mereka imbas kembali apa yang dilakukan oleh pemimpin berkenaan pada 1982, di mana setelah membuat pakatan dengan ABIM, CCC dan DAP untuk menghadapi Pilihan raya 1982, pemimpin tersebut lari meninggalkan mereka hingga PAS tinggal hanya dua kerusi, iaitu Pengkalan Chepa dan Rantau Panjang. DAP hanya mendapat dua kerusi di Pulau Pinang iaitu Bukit Bendera dan Jelutong, tiga kerusi Wilayah, satu kerusi di Melaka, satu kerusi di Sabah, tiga di Sarawak dan tak ada satu pun di Perak, Negeri Sembilan dan Selangor. Malah tahun berikutnya (1986), PAS hanya berjaya mengekalkan kerusi Pengkalan Chepa walaupun DAP menambah kerusi kepada 24.

Pendek kata sikap “ Sesumpah Politik “ yang diamalkan oleh pemimpin pembangkang ini bukan sahaja ditunjukkan beliau semasa berpolitik di Malaysia tetapi juga di mana sahaja beliau berada. Lihat bagaimana pada awal 70an beliau begitu lantang mengkritik Amerika dan Yahudi tetapi di depan pemimpin Amerika dan Yahudi beliaulah menjadi hero mereka.

Biarlah Mat jenin terus dengan angan-angannya, cuma jangan sampai terlepas tangan hingga jatuh pokok kelapa !


Roslan Latif
Presiden ALMA

No comments: