Thursday, August 11, 2011

Mengapa Islam di Malaysia diperkotak-katikkan?


Tidak berapa lama dulu penulis ini pernah mempersoalkan beberapa tindakan bukan Melayu dan juga beberapa orang Melayu/Islam ‘liberal’ yang mengecam apa yang dianggap tindakan rasis dan diskriminasi.

Insiden-insiden yang dimaksudkan membabitkan pegangan dan amalan agama Islam di negara ini.

Terbaru yang menjadi kontroversi hangat tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat pemeriksaan ke atas majlis di Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya berikutan aduan yang mendakwa terdapat sekumpulan orang Islam cuba dipengaruhi ajaran Kristian.

Terbaru kelmarin, Ahiruddin Atan yang mengendalikan blognya ‘Rocky Bru’ telah mempersoalkan tindakan akhbar arus perdana berbahasa Inggeris The Star menyiarkan sisipan mengenai hidangan Ramadan.

Yang memalukan dan dianggap begitu tidak sensitif di pihak akhbar tersebut apabila pada muka surat tujuh sisipan itu disiarkan promosi restoran baru ‘Morganfields’ yang memperkenalkan hidangan tulang rusuk babi yang ‘pasti akan menyeronokan deria rasa anda.’

Adakah ini sengaja atau pun jika tidak disengajakan, akhbar The Star hingga ke hari ini masih belum mengambil sebarang tindakan atau meminta maaf kepada orang Islam di Malaysia.

Apakah mereka begitu tidak sensitif terhadap sentimen orang Melayu/ Islam pada bulan mulia Ramadan? Begitu ironis sekali mereka yang turut melaung-laungkan slogan 1Malaysia dan mahukan kesamarataan hak dan lain-lain masih tidak berusaha untuk memahami sentimen keagamaan dan lunas-lunas yang perlu dihormati oleh orang Islam?
Bukan itu saja, awal Ramadan ini juga mereka membuat kecoh apabila TV8 menyiarkan sebuah klip perkhidmatan pengumuman awam (PSA) yang pada dasarnya bertujuan mengajar dan menasihati bukan Melayu supaya lebih hormat kepada orang Melayu/Islam yang mengerjakan ibadah puasa.

Klip tersebut, bagaimana pun disanggah dan dilabelkan sebagai rasis dan melampau kerana boleh menyentuh perasaan orang Cina. Apakah sensitiviti terhadap sesuatu hal hanya boleh dirasakan boleh mereka, walhal orang Melayu juga mempunyai sensitiviti?
Justeru disebabkan tentangan daripada bukan Melayu dan juga segelintir Melayu/Islam yang begitu terpengaruh dengan liberalisme dan pluralisme, pihak pengurusan 8TV terus menarik balik klip tersebut, walhal pada pendapat penulis ini mereka tidak perlu berbuat demikian.

Fahamilah apa sebenar satu 1Malaysia sebelum dengan gah menggunakannya sebagai alat untuk memperjuangkan hak-hak tertentu.

No comments: