Tuesday, July 5, 2011

Dr Chandra: Pihak Soros Terbabit Dalam BERSIH?


Menurut sumber sahih, seorang pegawai daripada sebuah pertubuhan diasaskan dan dibiayai oleh spekulator kewangan, George Soros berada di Kuala Lumpur baru-baru ini untuk mengadakan pertemuan dengan para pemimpin parti politik dan NGO yang menganggotai BERSIH.

Pegawai tersebut, Maureen Aung-Thwin merupakan Pengarah ‘Projek Burma / Inisiatif Asia Tenggara’ yang dikendalikan Open Society Foundations (OSF) berada di Kuala Lumpur dari 27 Jun hingga 2 Julai, 2011.

Pertubuhan Open Society Foundations digunakan oleh Soros bagi membangunkan program-program membina keupayaan di atas nama demokrasi di beberapa bahagian dunia.

Sebenarnya program-program tersebut merupakan sebahagian daripada agenda lebih besar Amerika Syarikat bagi memperluaskan kuasa global dan pengaruhnya dengan alasan untuk memampatkan demokrasi.

Open Society Foundations beroperasi secara terus atau tidak terus di Eropah Timur, Utara Afrika, Amerika Latin, Asia Tengah, Asia Barat dan Asia Tenggara. Usaha membina keupayaan yang dimaksudkan termasuk pembiayaan organisasi-organisasi tempatan dan mengadakan kursus latihan serta seminar. Tumpuan penting program OSF ini ketika akan berlangsung pilihan raya di sesebuah negara.

Saya berharap kerajaan akan menjalankan penyiasatan terperinci pembabitan OSF yang didalangi Soros dalam pergerakan BERSIH. Pembabitan OSF perlu dikaji dalam konteks dakwaan pembabitan NGO-NGO Eropah dan Amerika Syarikat dalam aktiviti-aktiviti BERSIH dan kumpulan-kumpulan berkaitan dengannya.

Saya amat memandang berat pembabitan pihak Soros berikutan sesuatu yang berlaku sewaktu saya berada dalam Parti Keadilan Nasional (kini Rakyat) sebagai Timbalan Presiden dari 1999 hingga 2001.

Beberapa minggu sebelum pilihan raya 1999, Maureen Aung-Thwin datang ke pejabat saya di Petaling Jaya berhubung permintaan daripada Anwar Ibrahim bagi membiayai Keadilan pada pilihan raya.

Apa yang nyata, pembantu Anwar yang paling dipercayai, Azmin Ali telah menghubungi pemilik media Zionis, Rupert Murdoch bagi pihak Anwar mengenai bantuan kewangan. Permintaan tersebut kemudian disampaikan kepada sahabatnya, George Soros, yang kemudian menghantar Maureen sebagai misi ke Malaysia.

Saya memberitahu Maureen Keadilan tidak akan menerima bantuan kewangan daripada mana-mana sumber luar, dan persoalan penerimaan dana daripada Soros atau sesiapa saja bagi membiayai kempen pilihan raya tidak timbul sama sekali.

Pada sebelah petangnya saya memaklumkan kepada Presiden, Dr. Wan Azizah Ismail mengenai pertemuan saya dengan Maureen dan memohon supaya beliau bertanya kepada Anwar sama ada apa yang disampaikan oleh Maureen kepada saya itu benar.

Menurut Wan Azizah, Anwar menafikan sebarang pengetahuan mengenai permintaan mendapatkan bantuan daripada Murdoch serta pembabitan Soros. Saya percaya kepada Anwar dan membiarkan perkara tersebut berlalu. Bagaimana pun, beberapa perkembangan selanjutnya yang mengaitkan beberapa orang pemimpin Zionis di Amerika Syarikat dan Anwar meyakinkan saya Anwar sebenarnya berbohong.

Kini, 12 tahun kemudian, persekongkolan yang melibatkan Maureen Aung Thwin dan Soros timbul sekali lagi dalam politik Malaysia – kali ini menerusi BERSIH.

Rakyat Malaysia mempunyai hak untuk mengetahui segala-galanya daripada Anwar, BERSIH dan Soros.


Dr. Chandra Muzaffar,
Timbalan Presiden, Parti Keadilan Nasional (April 1999-November 2001)
5 Julai 2011

No comments: