Tuesday, May 10, 2011

Menggarap Agenda Liberal Di Sebalik Alasan Kebebasan Rakyat


Apa dengan campur tangan negara-negara barat di Libya dan sebelum itu, di Tunisia, Mesir dan lain-lain negara Afrika utara dan Timur Tengah?

Pada yang sudah lama menyedari apa yang sebenarnya tersirat di sebalik segala desakan dan kecaman ke atas negara-negara Islam di Timur Tengah yang digambarkan sebagai pincang dan menidakkan hak asasi manusia, pendirian mereka amat jelas. Mereka sebulat hati menolak campur tangan barat melalui sama ada Bangsa-Bangsa Bersatu atau NATO.

Pada yang lebih berfikiran terbuka dan tidak taksub, apa yang berlaku di negara-negara tersebut memang patut pun. Ini kerana hukum alam tidak akan mengecualikan mana-mana pihak dari detik penentuan.

Segala kerakusan ekoran kegilaan kuasa dan cengkaman terhadap rakyat yang merempat sejak sekian lama pasti berakhir apabila mereka berhadapan dengan tembok penghalang di penghujung jalan. Bila tiba ke tahap ini, seluruh rakyat yang sudah sekian lama terhimpit dan menderita seolah-olah diperkasakan oleh rasa serik dan kemarahan yang tidak lagi terbendung.

Mereka bertindak balas dengan apa cara sekali pun. Dan apabila tiba di saat inilah maka elemen-elemen dari luar mengambil kesempatan untuk mencurahkan minyak ke api yang sedang membara.

Inilah peluang bagi Amerika, rejim Zionis dan konco-konconya dalam NATO masuk daun untuk memperhebatkan asakan. Segala-galanya sudah tersedia. Yang diperlukan hanya kudrat dan usaha untuk menyemarakkan kemarahan rakyat terhadap pemerintah.

Dalam hal ini ada pihak yang berasa terpanggil untuk menyarankan supaya pencerobohan pihak bersekutu di Libya dibawa ke Mahkamah Antarabangsa.

Mereka berpendapat bukan saja jenayah kerakusan Muammar Gaddafi yang perlu dibicarakan, tetapi juga pencerobohan oleh negara-negara barat di negara itu.

Jika disorot pergolakan yang dialami banyak negara di dunia, angin perubahan sudah lama berhembus hingga menggerakkan negara-negara yang terbabit mengambil langkah proaktif dan positif untuk berubah.

Nafas kebebasan menghembus di mana-mana saja dan disebabkan itu kita menyaksikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini perubahan yang amat menggalakkan sedang berlaku di serata dunia.

Keputusan pilihan raya di Singapura yang masih mengembalikan parti PAP ke persada kuasa pemerintahan telah menukar landskap persepsi rakyat. Mereka mahukan perubahan, dan perubahan sudah mula berlaku dengan anjakan sihat melalui kemenangan parti WP (Workers Party).

Ke arah menggarap apa yang disebut sebagai ‘participatory democracy’ banyak negara semakin rancak dan agresif melancarkan kempen anti-rasuah dan program pemupukan tahap integriti dalam kerajaan. Parti-parti pemerintah yang terlalu taksub dan terlalu lama dihanyut kuasa tidak terbendung, mula terasa terpanggil untuk berubah, atau jika ingkar, menerima padah.

Segala perubahan ini bukannya baru mula berlaku. Ia dapat dilihat sejak robohnya tembok Berlin pada tahun 80an dan runtuhnya sistem pemerintahan komunis Soviet Union. Perubahan juga digerakkan dengan pantas oleh kerajaan Komunis Republik Rakyat China selepas peristiwa berdarah Tiananmen.

Dalam konteks kedua-dua negara, perubahan muncul sebagai parang dua mata yang tajam, memotong di sebelah atas dan di sebelah bawah. Penghapusan sistem Komunisme di Rusia menimbulkan masalah sosial dan politik lain. Di China, kebebasan ekonomi dan perniagaan mencorakkan masyarakat yang menyaksikan jurang perbezaan ketara di antara yang kaya dan yang miskin. Kini jurang perbezaan itu hanya menunggu saat untuk terungkai, justeru mengulangi sejarah silam apabila rakyat yang miskin dan terhimpit bangun untuk memberontak.

Di sini kita dapat melihat tidak ada mana-mana sistem pemerintahan yang kekal bersih dan mampu bertahan jika hak asasi dan kebajikan rakyat dipandang remeh.

Dan seperti parang bermata dua, kebebasan dan liberalisme juga tidak akan mampu mengubati segala keresahan dan masalah rakyat. Ia sekadar bantuan awal yang lambat laun akan hilang maya dan mengembalikan pelbagai kepincangan.

Oleh itu, selagi kerajaan-kerajaan di dunia tidak bermuhasabah dan menyedari betapa dunia telah berubah, selagi itulah mereka akan mendapati negara masing-masing terdedah kepada pelbagai penggugatan daripada kuasa luar.

Tidak guna kita mengecam imperialisme barat, Zionisme atau apa saja bentuk ‘adventurisme’ yang menghasut dan mengancam kestabilan. Penyelesaiannya ada dalam diri, ia itu melangkah mengikut rentak perubahan semasa.

Ini sedang dilakukan oleh kerajaan di Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, tetapi walaupun menyedari bahawa perubahan tidak akan boleh berlaku dalam sekelip mata, pembangkang yang di dokong kuasa-kuasa luar terus bertindak, tanpa menyedari agenda sebenar mereka untuk menguasai negara ini.

No comments: