Monday, May 23, 2011

Apa lagi yang tinggal jika bukan 1Malaysia?

Kadangkala hati ini bimbang setiap pagi sebelum melihat (belum lagi membaca) muka depan surat khabar.

Mengapa bimbang? Kerana pasti sebahagian besar berita yang dipaparkan mungkin merunsingkan pemikiran dan memerosotkan hati, yang tanpa disogok berita-berita sedih dan perit dah pun berasa terhimpit. Stress.

Stress kerana tekanan akibat tanggung-jawab untuk menyara keluarga dengan pendapatan yang tak seberapa di bandar raya mencabar seperti Kuala Lumpur ini.

Ini belum lagi membaca pergolakan politik yang memeningkan. Kadangkala rasa macam tak mahu saja membaca surat khabar. Bagaimana pun, ada kaedahnya jika kita tidak mengikut perkembangan semasa?

Kontroversi berikutan isu yang dibangkitkan Utusan Malaysia di bawah tajuk “Kristian Agama Rasmi” mengejutkan ramai. Bukan hanya orang Melayu/Islam, tetapi juga bukan Melayu.

Polemik yang menyusul mencorakkan satu lagi tahap rendah dalam kehidupan di Malaysia. Sudahlah kita begitu perit mengharungi kehidupan mencabar dengan iklim ekonomi dunia yang tidak mengecualikan kita di Malaysia daripada tempias dan akibatnya.

Berhubung kontroversi itu terpanggil kita untuk bertanyakan sejauh mana setakat ini keberkesanan agenda 1Malaysia? Hakikatnya, apa yang dibawa slogan tersebut memang sesuatu yang amat baik – jika dipraktikkan semua.

Tetapi melihat apa yang berlaku berikutan kegemparan isu Kristian itu, terpanggil kita bertanyakan sejauh mana 1Malaysia digarapkan.

Jika sesuatu seperti cetusan isu tersebut berlaku, apa yang patut dilakukan?

Orang kata kalau tiada angin takkan pokok bergoyang? Dalam konteks ini tak masuk akal bagi Utusan sengaja menimbulkan isu gempar tersebut.

Apa yang dilakukan akhbar tersebut sekadar melaporkan apa yang ditulis oleh dua orang blogger sebelum itu, yang masing-masing berasa bertanggung-jawab untuk mempersoalkan sejauh mana kebenaran aduan berkenaan.

Sangat tidak adil jika hanya dipersalahkan pihak editorial Utusan Malaysia, kerana jika dilihat sebelum ini akhbar vernakular lain lebih dahsyat menggembar-gemburkan isu-isu lebih sensitif yang sering menaikkan kemarahan orang Melayu.

Tak payahlah kita mengupas lebih lanjut tentang apa yang dilakukan kedua-dua belah pihak, kerana hakikatnya dalam semangat 1Malaysia tiada satu, dua, atau tiga pihak dalam hal sebegini.

Apa yang perlu ialah kebertanggungjawaban setiap orang.

Dalam konteks tanggung-jawab rasanya hampir seluruh rakyat Malaysia yang waras tidak mahu perkara seperti ini berlaku.

Tetapi ia berlaku juga kerana bukan semua orang serupa.

Bagaimana pun, perkara-perkara menjurus ke arah cubaan mencuit sensitiviti kaum di Malaysia amat perlu dilihat daripada perspektif situasi politik semasa.

Mahukan tidak elemen-elemen dalam sayap kanan Melayu melenting jika terasa dicabar sebegitu? Janganlah dibangkitkan atau dipersoalkan ke mana perginya suara-suara moderat.

Dalam Islam, seperti juga dalam agama lain, mana ada moderat? Yang ada hanya pegangan kepada apa yang ditetapkan sebagai tiang agama.

Justeru dalam situasi runcing dan tidak menentu ini, tindakan Melayu hanya sekadar mempertahankan kedudukan selari dengan apa yang diperturunkan pada perlembagaan. Dengan berbuat demikian mereka begitu mudah dilabelkan sebagai melampau dan mencuit landasan sensitiviti.

Apabila ini berlaku ramai yang berkata agenda 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak berjaya.

Selepas pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini semakin memuncak kepercayaan bahawa Barisan Nasional, terutama UMNO payah untuk menebus kembali keyakinan daripada bukan Melayu, terutama orang Cina.

Oleh demikian, strategi alternatif bagai ialah dengan menumpu sebahagian besar perhatian kepada orang Melayu.

Langkah ini tentu sekali meletakkan usaha di bawah slogan 1Malaysia sebagai hanya satu impian selagi hati dan minda sesetengah pihak tidak berubah.

Suara-suara lantang dari dalam UMNO terus berkata mengapa beria-ia menarik kaum lain, terutama Cina menyokong BN setelah amat terbukti apa yang tersirat di hati mereka?

Tetapi saranan sebegitu hanyalah satu cetusan kekecewaan segelintir pejuang dalam UMNO dan elemen-elemen ‘fifth columnist’ yang sengaja mengeruhkan keadaan.

Hakikatnya di luar sana bukan hanya orang Cina yang menolak BN, tetapi tidak kurang ramai juga orang Melayu yang lebih condong ke arah lain. Ia membuktikan dengan lebih ketara bahawa Melayu kini telah berpecah.

Dianggarkan sekurang-kurangnya 30 peratus orang Melayu masa kini komited kepada PAS. Mereka tidak akan memilih UMNO.

Itulah hakikatnya.

Jika dulu realiti memaksa UMNO cuba menarik undi daripada bukan Melayu bagi menguasai Dewan Rakyat, kini peranan itu telah diambil alih oleh PAS yang dilihat sebagai lebih terpanggil untuk berdamai. PAS lebih bersifat inklusif berbanding UMNO.

Dalam pada itu, tekanan dan pendirian pejuang Melayu bermakna apa yang digarapkan BN di bawah panji-panji 1Malaysia seolah-olah sia-sia belaka.

Kemerosotan pemahaman dan kerjasama yang merentasi perbezaan kaum dan agama kini menjadi duri dalam daging bagi BN.

Kalau dah macam ini bagaimana BN hendak mendapatkan sokongan daripada minoriti lain?

Jika inilah pendirian orang Cina seperti yang dibuktikan di Sarawak, hanya masa akan menentukan pendirian orang India dan kaum-kaum lain di Sabah dan Sarawak

Dan dengan pendirian lebih terbuka PAS bukan Melayu lebih berminat untuk menyokong parti itu sebagai parti Melayu alternatif.

Mereka lebih melihat kepada potensi untuk PAS menyerlah.

Jika dilihat dari dalam konteks isu-isu yang mencetuskan kelantangan pejuang Melayu sejak kebelakangan ini kita dapat bayangkan apa yang menunggu BN di penghujung jalan kelak.

Segala ketidaktentuan yang berlaku akan menghakis keyakinan pelabur luar, mengalirkan tenaga manusia mahir ke luar dan mencetuskan pelarian modal (capital flight).

Tak payah dipersoalkan strategi bukan Melayu dan pembangkang untuk menang, tetapi UMNO sebagai tonggak perjuangan Melayu yang asal perlu bermuhasabah dan mencari kaedah untuk menenteramkan keadaan.

Yang lain tu tak lagi boleh diharap.

Antara caranya mencari kumpulan-kumpulan berpengaruh dan lebih tenang dan waras untuk berusaha menebus kembali kepercayaan.

Memang lebih ramai yang berfikiran waras berbanding elemen-elemen perungus dan mudah melenting dalam semua kaum. Mereka inilah harapan 1Malaysia. Gunakanlah mereka sebagai platform untuk mempengaruhi yang lain-lain.

Utusan Malaysia dan mereka yang begitu marah dengan isu terbaru ini tidak perlu dipersalahkan. Mereka perlu ditenteramkan dengan cara mengambil pendekatan yang tidak berbentuk sensitif dan konfrontasi.

No comments: