Wednesday, April 27, 2011

Memperkasakan Remaja Lelaki Melayu: Mengapa Tidak?


Nampaknya rata-rata masyarakat Melayu seolah-olah memandang ringan isu remaja lelaki Melayu yang semakin bertukar memanifestasikan diri menjadi ‘lembut.’

Apabila terdengar suara-suara yang mempersoalkan perkara ini, maka dengan itu juga kedengaran riuh rendah orang ramai di sana-sini mendebatkan isu tersebut.

Bagaimana pun, ia tidak bertahan lama. Selepas beberapa hari redalah segala keresahan, kritikan, dan bidasan sama ada oleh yang menyokong atau menentang. Semuanya lenyap begitu saja.

Masalah tersebut bukan saja terus kekal, malahan semakin berkembang dengan sihat.
Hampir setiap spektrum media memainkan peranan membantu melonjakkan lagi keterujaan terhadap fenomena jengkel ini, seolah-olah apa yang berlaku pada zaman Nabi Lut hanya tinggal sebagai hiasan sejarah agama semata-mata.

Sementara itu, sesetengah bukan Islam yang begitu ghairah menentang usaha pemulihan ini seolah-olah lupa akan pengajaran yang terkandung dalam kisah ‘Sodom dan Gomorrah’ dan ‘The Book of Genesis’ – mereka tidak kurang lantang mengecam usaha pihak berkuasa di Terengganu untuk cuba membantu memulihkan apa yang ditentukan oleh Yang Maha Berkuasa selari dengan hukum alam.

Paling menyedihkan apabila terdapat pemimpin tinggi dalam kerajaan yang turut mengkritik tidakkan tersebut tanpa usul periksa. Mereka yang bertanggung jawab dalam hal ehwal wanita dan kanak-kanak tiba-tiba terus berasa terpanggil untuk turut mengecam inisiatif tersebut.

Fenomena ‘kelembutan’ pada remaja lelaki Melayu sesuatu yang amat membimbangkan. Kita amat memahami sekiranya keadaan itu berlaku secara semula jadi dan disahkan oleh sains perubatan, tetapi sekarang ini apa yang berlaku sebenarnya disengajakan. Ia dilihat sebagai trend yang amat mendorong keadaan.

Puncanya perlu diketahui secara ‘empirikal’ dan bukan sekadar berdasarkan keadaan luaran dan persepsi popular.

Masyarakat Melayu perlu melihat ke dalam diri – ke dalam pegangan dan iman yang diterapkan Islam. Janganlah segala pegangan itu sekadar menjadi proses ritual atau amalan yang dirasakan tidak boleh diingkari, tetapi mengetepikan rasional spiritual yang dibawanya.

Maka disebabkan inilah semakin ramai remaja lelaki Melayu bukan saja mengambil ringan ‘manifestasi’ kelembutan pada diri mereka yang sengaja dipupuk itu, malahan berbangga dengan keadaan diri mereka.

Lihat saja pada nisbah lelaki dan wanita masa kini. Ketara jumlah perempuan lebih ramai dan imbangan alam semakin terbabas apabila perempuan menjadi pengkid mengamalkan ‘lesbianisme’ dan lelaki menjadi lembut, lantaran terdorong ke lembah homoseksual dan sodomi. Mereka terbabas daripada landasan kelelakian.

Apakah masyarakat Melayu berbangga dengan hal ini? Apakah dengan bertambahnya nisbah kumpulan lembut dan lesbianisme, orang Melayu akan terus perkasa? Tentu sekali tidak.
Oleh yang demikian mengapa harus berdiam diri? Mengapa perlu mereka yang mengecam usaha memulihkan keadaan berbuat demikian?

Renungkanlah keadaan dan jangan memeluk tubuh dan berdiam diri apabila anasir-anasir liberalisme mencemuh muka terhadap usaha ini, kononnya di atas nama hak asasi manusia dan sebagainya.

Usaha membetulkan remaja lelaki Melayu yang terdorong ke arah kelembutan atau mengenakan kekangan ke atas fenomena seperti pengkid dan lesbianisme itu sebenarnya membantu ke arah mengemas dan mempertahankan kemanusiaan dan kesinambungan hak asasi lelaki dan wanita.

No comments: