Wednesday, April 6, 2011

Kemenangan Mutlak Pembangkang Jauh Sekali, Tetapi Mereka Terus Bakar Hati Rakyat

Lim Guan Eng berceramah di 101 Food Court, Kuching malam ini
Foto: Lenggong Valley


Seperti jiran yang iri hati, pembangkang dari semenanjung bersungguh mengapi-apikan perasaan orang Sarawak.

Dua isu yang membayangi kempen pilihan raya negeri Sarawak kali ini ialah Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan Tanah Adat Orang Asal.

Pada pilihan raya kali ini Taib akan terus cuba mempertahankan kerusi DUN Balingian, iaitu tanah keturunannya.

Ramai yang berpendapat sebenarnya Taib tidak perlu berkempen di Balingian kerana rata-rata orang ramai menganggap kawasan itu akan kekal menyokongnya.

Kira-kira 70% pengundi di Balingian berketurunan Melanau – sama dengan Taib sendiri.

Walau pun persepsi positif sentiasa dilemparkan mengenai sokongan mampat pengundi Balingian terhadap Taib, apa yang nyata gegaran yang dirasai sejak kebelakangan ini di Sarawak menyedarkan beliau betapa apa jua boleh berlaku kali ini. Beliau tidak mampu berjudi dalam aspek ini.

Kempen pilihan raya yang dengan rasminya bermula hari setelah penamaan calon diadakan di 71 kawasan di seluruh Sarawak seolah-olah pintu ketuhar tiba-tiba terbuka meluahkan bahang panas.

Pihak pembangkang yang kebanyakannya berpusat di semenanjung sedar kemenangan mutlak tidak mungkin berlaku kerana sentimen berbeza penduduk di Sarawak dan keterasingan pembawa isu-isu yang dimainkan.

Pembangkang hanya berusaha untuk menggugat dan sentiasa menunjukkan taring supaya mereka jangan dipandang remeh.

Pelbagai isu akan dimainkan sepanjang 10 hari jangka masa berkempen, dan di tengah-tengah segalanya dua isu, iaitu Taib dan Tanah Adat akan dimainkan secukup-cukupnya bagi mencetus dan mengapungkan rasa tidak sedap di kalangan rakyat Sarawak.

Isu pertama membabitkan Taib dan keluarganya, terutama berhubung kekayaan yang diperoleh dan rangkaian kepentingan perniagaan yang merentas dunia.

Setelah berada di puncak kepimpinan negeri selama 30 tahun, kedua-dua isu ini mudah dieksploitasi sepenuhnya oleh pembangkang, sama seperti apa yang berlaku pada beberapa pemimpin sebelum ini.

Dalam menggunakan kedua-dua isu tersebut pembangkang tidak dapat tidak akan sentiasa cuba menyamakan keadaan dengan apa yang berlaku kepada pemimpin yang lama memegang kuasa di timur tengah dan lain-lain negara.

Mereka begitu mudah menaikkan sentimen ketidakpuasan hati kerana hakikat dunia komunikasi global masa kini sentiasa mencelikkan rakyat mengenai apa yang berlaku di negara lain – tak kiralah sama ada isu-isu yang dilaporkan agensi-agensi berita antarabangsa sering kali begitu partisan, begitu berat sebelah.

Inilah di antara peluru yang digunakan pembangkang. Boleh dikatakan pada kempen pilihan raya kali ini, 60% daripada usaha dijayakan oleh media antarabangsa amat pro agenda kuasa-kuasa besar tertentu, terutama di negara-negara Arab Afrika Utara dan Timur Tengah.

Dan dengan menunggang apa saja isu bagi memanaskan rasa tidak puas hati rakyat, ceramah-ceramah yang diadakan di serata pelosok negeri Sarawak oleh pembangkang sentiasa menarik ribuan hadirin. Tetapi jumlah hadirin yang tinggi tidak mungkin dapat menjanjikan kemenangan.

Pembangkang akur dengan nasib yang menunggu mereka diakhir pilihan raya.

Apa pun, yang penting bagi mereka ialah gugat dan terus menggugat.

Jika di kawasan-kawasan bandar pembangkang seperti DAP dan konco-konconya dalam Pakatan Rakyat mencuit hati kaum Cina untuk bangun mendesak supaya diperluaskan pemangkin kuasa dan pengaruh mereka, pendekatan menggugat di pedalaman tertumpu kepada hak tanah adat, terutama di kalangan masyarakat Dayak.

Walaupun kedua-dua isu merupakan isu tempatan sepenuhnya, namun ia tidak menghalang pembangkang memperalatkannya sejauh yang mungkin untuk menabur fitnah dan mencetuskan rasa tidak puas hati.

No comments: