Tuesday, April 26, 2011

Kejayaan DAP di Sarawak Petanda Buruk kepada Kaum Cina

Ramai yang melihat kemenangan besar kerusi kawasan Cina di Sarawak sebagai sokongan berlipat ganda mereka terhadap pembangkang, terutama DAP.

Apakah status quo ini akan kekal dan terus bertambah pada pilihan raya umum ke 13 nanti?

Apakah sebenarnya perspektif DAP dalam hal ini?

Mungkin ramai di kalangan pihak parti lawan berpendapat ia menunjukkan sikap kaum Cina yang lebih sentiasa berjuang mendapatkan kelebihan hak tanpa mengambil kira percaturan serta inti pati tersirat kontrak sosial yang dipahat sejak merdeka.

Persepsi ini amat lantang hingga ramai di kalangan penyokong Barisan Nasional (BN) merasakan seolah-olah pintu air telah dibuka untuk masyarakat Cina berjuang mendapatkan pegangan kemudi yang akan mencorakkan masa depan negara.

Secara kasar memang kita tidak dapat lari daripada pendapat bahawa DAP hanya menumpukan perhatian untuk mendapatkan sokongan padu daripada orang Cina tanpa mempedulikan kaum-kaum lain.

Ini terbukti apabila sewaktu kempen pilihan raya negeri Sarawak berjalan baru-baru ini pemimpin-pemimpin DAP amat risau keadaan di Batu Kawah yang berada di kawasan bandar raya Kuching kerana calon mereka terpaksa berhadapan dengan nama besar dalam BN.

Apakah kebimbangan itu benar-benar kerana DAP amat taksub dengan misi untuk menambat sokongan pengundi Cina sebagai pemangkin dan pelancar ‘ofensif’ lebih besar pada PRU 13 nanti?

Sekiranya dilihat keadaan secara makro, apa yang dilakukan DAP memang sebahagian daripada strategi lebih besar yang bakal dilancarkan.

Di Sarawak mereka berhasrat memecahkan mitos kononnya negeri itu merupakan simpanan tetap BN yang amat berharga.

Ini mereka berjaya lakukan walaupun hakikatnya mereka masih belum mampu meraih pegangan dua pertiga yang terus dipertahankan BN.

Kegagalan memperoleh penguasaan dua pertiga di DUN Sarawak tidak disambut mereka dengan kekecewaan kerana hakikatnya sejak dari mula lagi DAP meramalkan amat payah untuk menguasai negeri tersebut.

Disebabkan jangkaan itulah apabila keputusan sekadar menunjukkan kegemilangan di kawasan bandar, rata-rata mereka termasuk sekutu mereka dalam pembangkang tidak merasakan kekesalan mendalam.

Bagaimana pun di sebalik senario persepsi yang dipegang penyokong BN, apa yang nyata DAP tidak mungkin mampu terus berbangga dengan kejayaan di kawasan-kawasan bandar yang majoritinya kaum Cina.

Bagi merealisasikan objektif memantapkan kehadiran mereka dalam cita-cita wawasan mewujudkan sistem dua parti di negara ini, mereka perlu berhadapan dengan satu hakikat penting, iaitu menambat hati bukan saja kaum Cina, tetapi juga kaum Melayu, India dan lain-lain.

Memang benar DAP tidak mungkin boleh berganjak lebih jauh tanpa sokongan daripada masyarakat kaum-kaum lain di Malaysia. Penguasaan kawasan Cina akan mengembalikan parti itu kepada status quo asal mereka sebelum dan sejurus selepas peristiwa Mei 13, 1969.

Visi DAP tidak lagi bersifat ‘insular’ tetapi lebih terbuka dan tidak berat sebelah. Parti itu perlu memecahkan tanggapan kononnya ia hanya parti orang Cina.
Disebabkan faktor ini selepas kejayaan di kawasan-kawasan bandar di Sarawak, DAP kini lebih bersikap rendah diri dan tidak mahu dilihat sebagai berbangga dengan kejayaan tersebut.

Apa yang berlaku apabila DAP pada 16 April lalu memenangi 12 daripada 15 kerusi yang ditandingi ialah satu kejutan yang pada mulanya amat manis, tetapi lama kelamaan bertukar menjadi satu faktor yang menggerunkan, sekurang-kurangnya di kalangan pucuk pimpinan dan jentera strategi parti tersebut.

Mereka tidak menjangka kaum Cina di Sarawak begitu teruja dan memberikan pukulan habis bagi memastikan kecemerlangan DAP. Sememangnya mereka mahukan kemenangan, tetapi bukanlah kemenangan yang macam ini.

Jika dilihat dari aspek perwakilan bagi kaum Cina, nampaknya DAP lebih berjaya berbanding rakan sejawatnya dalam BN, iaitu MCA.

Sekali lagi ini tidak diterima dengan hati terbuka oleh pucuk pimpinan DAP. Mereka turut memberikan kredit kononnya kemenangan mereka di Sarawak turut dijayakan sokongan daripada kaum Iban.

Dengan ini maka terselak sudah apa yang tersirat di sebalik benteng agenda parti itu. Hasrat sebenar mereka bukan untuk hanya menguasai kawasan Cina, tetapi juga kawasan-kawasan majoriti masyarakat lain.

Tanpa disedari akar umbi dan penyokong, pucuk pimpinan DAP tidak suka digambarkan sebagai sebuah parti cauvinis yang hanya menjuarai dan memperjuangkan isu-isu kaum Cina.

Di sini kita dapat melihat betapa jentera pilihan raya dan jentera propaganda DAP gagal.

Apa yang tersirat di hati penggubal strategi dan agenda parti itu tidak selari dengan apa yang diinginkan oleh pengundi dan penyokong akar umbi.

Sikap cauvinis yang begitu terkenal di kalangan orang Cina konservatif menjadi laungan perjuangan, justeru menenggelamkan keperluan sebenar mereka di bawah lambang 1Malaysia yang mahu tidak mahu mereka turut kongsi bersama.

Selepas apa yang berlaku mereka menukar rentak tarian. Mereka tidak lagi berpaut kepada usaha untuk menjatuhkan pegangan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud yang sudah pun memberikan kata putus kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berundur dalam masa terdekat.

Isu Taib Mahmud sudah menjadi sejarah silam. DAP kini cuba meyakinkan apa yang sedang mereka lakukan di Sarawak ialah mengenai harapan dan perubahan.

DAP bukan berhasrat untuk melukakan hati orang Melayu, atau setidak-tidaknya itulah hasrat yang ingin ditaja oleh Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan konco-konco mereka
Bagaimana pun, hakikatnya itulah yang berlaku. DAP telah menegakkan semula galang polarisasi.

Sekiranya BN pandai mengupas inti pati keadaan, inilah bukti yang dinanti-nantikan- bukti bahawa majoriti kaum Cina masih belum dapat menerima apa yang tersirat di sebalik slogan 1Malaysia.

Selain itu kejayaan DAP di Sarawak dilihat akan lebih merugikan kaum Cina daripada apa yang ditanggapi.

No comments: